Wednesday, July 7, 2010
6 PERKARA MENDORONG SESEORANG?
8 Julai 2010 by Zaini Sairi
“Kalau aku nak mengumpat,aku hanya akan mengumpat ibuku sendiri”-kata Imam al-Ghazali.Begitu halus pemikiran Imam al-Ghazali itu..Perkataan ‘kalau’ tu bukan la menunjukkan Imam al-Ghazali buat,tapi oleh kerana mengumpat seseorang itu akan menyebabkan pahala orang yang mengumpat akan diberikan kepada orang yg diumpat,maka lebih baik umpat ibu sendiri kerana pahala akan diberikan kepada ibu…daripada diberikan kepada orang yang tidak ada kaitan dengan kita..tapi jangan la pula pakat mengumpat ibu sendiri plk nanti..itu hanya perumpamaannya sahaja.
Sikap suka mengumpat atau menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain dilaknat oleh Allah. Mereka yang bersikap demikian, secara disedari atau tidak mencela dan mengaibkan orang lain yang hukumnya berdosa besar. Ketika berbual, sama ada secara sengaja atau tidak, mereka menceritakan keburukan ketuanya, jiran, saudara mara dan orang yang lalu di hadapan mereka. Firman Allah bermaksud : “ Hai orang yang beriman, kalau datang kepada kamu orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan sampai mencelakakan suatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal di atas perbuatamu itu. “ (Surah al-Hujurat, ayat 6) Sabda Rasulullah saw seperti yang diriwayatkan oleh Al- Thabrani daripada Abu Hurairah bermaksud : “ Yang paling dikasihi Allah antara kamu ialah mereka yang baik akhlaknya, merendah diri, suka pada orang dan disukai orang. Dan yang paling dimarahi Allah ialah mereka yang membawa fitnah, mencerai beraikan di antara sesame saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah. Imam Al- Ghazali ada menyebut enam perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat : 1) Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain.Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam 2) Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang 3) Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah 4) Disebabkan dengki, iri hati dengan orang lain yan lebih beruntung dan berjaya, ia seoerti dinaikkan gaji dan pangkat 5) Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain dan 6) Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain. Harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar serta hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.
Anak atau bapa yang derhaka?
8 Julai 2010 by Zaini Sairi
Seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab r.a. mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya. Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?” Umar menjawab: “Ya.” Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?” Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).” Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran. Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruj dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.” Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.
Musibah bagaimana menanganinya?
8 Julai 2010 by Zaini Sairi
Pagi tadi ana ada mendengar Ustaz Zahazan menghuraikan tajuk sabar dalam menghadapi musibah..terus ana muatkan dlm blog ini untuk dikongsi bersama.Akhir-akhir ini,kita sering terdengar atau terbaca musibah yang melanda di serata tempat. Pelbagai bencana alam yang menimpa kat merata-merata tempat, isu Palestin yang tidak sudah-sudah dan banyak lagi musibah yang berlaku akhir-akhir ini.
Kita juga seringkali ditimpa musibah,walaupun ianya bukanlah musibah sehebat gempa bumi dan seumpamanya,namun setiap kesusahan yang menimpa kita juga dinamakan musibah,dan setiap musibah menuntut kesabaran bagi orang yang menghadapinya. Persoalannya,apakah kita sabar dan redha melaluinya???. Kalau musibah itu kena pada orang lain, dengan mudah kita akan katakan ia sebagai bala dari Tuhan. Kalau musibah itu kena pada kita sendiri, mulalah kita menyalahkan takdir. “Mengapa aku yang kena?” “Aku dah berusaha kenapa aku masih gagal?” “Aku dah banyak doa, solat. Kenapa aku yang dapat musibah?” Soalan-soalan yang tidak munasabah mula terpacul di mulut, paling tidak pun berlegar-legar dalam fikiran, sebagai tanda tidak puas hati terhadap kesudahan yang menimpa dirinya. Seolah-olah dia berhak mempersoalkan keputusan Allah yang menentukan qada’ dan qadar. Seolah-olah dia layak menentukan kesudahan mana yang dia suka..
Kita mesti menerima hakikat bahawa hidup kita merupakan ujian. Susah senang yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya telah diatur rapi oleh Allah untuk kita. ia mewarnai kehidupan kita sebagai seorang manusia. Hidup mudah tanpa kesusahan pasti membosankan. Kesusahan yang berterusan pasti mengecewakan. Lumrah kehidupan pasti ada naik dan turun, menang dan kalah, berjaya dan gagal. Itu sudah menjadi sunnatullah, Allah yang lebih memahami sifat makhlukNya. Tugas kita (sebagai hamba Allah) hanyalah menjalankan apa yang disuruhNya bukan menentukan kesudahan sesuatu perkara. Biarlah ketetapan/kesudahan sesuatu perkara itu menjadi hak milik Allah semata. Dan sesungguhnya Allah Maha Adil. Teringat ana sebuah drama melayu yang memaparkan kesusahan yang dihadapi oleh seorang suami,namun dia sabar menghadapinya dan sering berkata”…hanya insan-insan terpilih sahaja yang diuji oleh Allah dengan musibah…”’
Sikap kita sebagai orang yang beriman hendaklah sepertimana yang diucapkan oleh Rasulullah saw.
Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah saw bersabda: ”Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya”.
(Riwayat Muslim)
Hendaklah kita menerima segala apa yang berlaku di dunia ini dengan keredhaan yang mutlak kepada Allah. Syukur dan sabar adalah respon kita yang paling baik untuk setiap perkara, senang atau susah. Syukur kerana pasti ada rahmat disebalik kesusahan yang menimpa, sabar kerana itulah tanda orang yang beriman.
Abdullah ibn Umar ra apabila ditimpa musibah akan mengucapkan alhamdulillah dan redha kerana:
musibah yang datang bukan urusannya
tahu musibah yang lebih besar boleh terjadi
Allah akan kasih padanya
Allah akan beri pahala
Antara rahmat Allah yang akan kita dapati apabila ditimpa musibah ialah sebagai penghapus dosa, menambah pahala dan pencetus hidayah. Semua ini boleh kita dapati hanya apabila kita syukur dan sabar. Apabila kita bersikap sebaliknya, yang kita dapati juga adalah sebaliknya. Ia akan menambah dosa kita, mengurangkan pahala dan kita akan semakin jauh dari hidayah Allah. Na’uzibillah, moga dijauhkan.