Monday, June 27, 2011

7 SEBAB TIMBULNYA HASAD DENGKI

IMAM AL-GHAZALI TELAH MERUMUSKAN BAHAWA TERDAPAT 7 SEBAB MENGAPA TIMBULNYA SIFAT HASAD DENGKI DALAM DIRI MANUSIA, IAITU :
PERTAMA : Perseteruan Dan Kebencian – ianya merupakan sebab yang paling kuat dan paling jelas. Seseorang yang disakiti kerana suatu sebab tertentu, ataupun yang tidak disetujui oleh orang lain di dalam sesuatu hal yang bercanggah dengan kehendak peribadinya, maka perasaan marah akan mengatasi kesabaran di dalam dirinya sehingga boleh mencetuskan perseteruan dan kebencian. Orang yang sedemikian akan merasa gembira apabila apa sahaja kesusahan atau bencana yang menimpa ke atas diri orang yang dimarahi dan dibencinya, sebaliknya dia akan rasa berdukacita dan bersedih jika orang yang dimusuhinya mendapat nikmat dan kesenangan. Firman Allah s.w.t, yang bermaksud :
"Jika kamu memperoleh kebaikan, nescaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira kerananya…"
( Surah Ali Imran : Ayat 120 )
KEDUA : Bangga dengan Kedudukan dan Kemuliaan – iaitu terasa begitu berat dalam hatinya atau terasa begitu sakit dalam hatinya dengan sebab orang lain lebih atas darinya. Jika ada di antara mereka yang setaraf dengannya mendapat sesuatu yang lebih darinya, sama ada tentang pangkat atau ilmu pengetahuan ataupun harta kekayaan, maka dia merasa bimbang kalau-kalau teman setarafnya itu bersikap angkuh atau takbur ke atas dirinya. Dia rela kalau temannya itu terus berada dalam keadaan atau kedudukan yang sama taraf dengan dirinya, sebaliknya tidak rela kalau temannya itu lebih mengatasi darinya.
KETIGA : Angkuh (Takbur ) – angkuh serta meninggi diri dengan memperkecil-kecilkan apa yang dimiliki oleh orang lain dan mengharapkan agar orang lain yang diperlekehkannya itu terus mengikut serta menuruti kehendaknya. Beliau sentiasa bimbang dan takut jika orang lain yang diperkecilkannya itu tidak lagi menurut ataupun mengikut segala kehendak hatinya. Sifat hasad yang berpunca daripada takbur ini adalah suatu sifat yang dipunyai oleh kebanyakan orang bangsawan Arab Jahiliah.
KEEMPAT : Ta’ajub – rasa ta’ajub atau rasa hairan dengan kenikmatan, kemuliaan dan kelebihan yang ada pada diri. Boleh juga disebut sebagai bangga diri, tetapi tidak sampai kepada tahap angkuh dan sombong. Orang yang sedemikian akan sentiasa menceritakan kebaikan dirinya di khalayak ramai dan suka orang lain membodek serta memuji dirinya ( suka diampu ). Akan lahir rasa sakit dalam hatinya jika ada orang memuji orang lain yang lebih baik darinya.
KELIMA : Bimbang dan Takut Cita-Cita Tak Tercapai – perasaan ini terkhusus bagi mereka yang saling berlumba untuk merebut satu tujuan atau cita-cita yang yang sama, seperti adik-beradik yang berhasad dengki sesama mereka bagi mendapatkan kepercayaan bapanya. Perasaan ini juga banyak terdapat di kalangan orang-orang politik yang sentiasa bersaing untuk mendapatkan pengaruh daripada pemimpin atasan. Jika sampai ke tahap orang lain itu boleh menyekat cita-cita ataupun menghalang matlamatnya, maka hasad dengki akan menguasai dirinya bagi membolehkan dirinya berjaya dan pesaingnya gagal.
KEENAM : Gilakan nama dan Kemasyhuran dalam Bidang-Bidang tertentu – seperti seseorang yang bercita-cita untuk mencapai kejayaan atau untuk menjadi juara dan jaguh dalam satu-satu bidang tertentu yang tidak ada tandingannya, ataupun yang berusaha agar rekodnya tidak dapat ditandingi oleh orang lain dengan tujuan supaya dirinya sentiasa disanjungi dan dipuja oleh orang ramai. Orang yang sedemikan, jika mendengar berita tentang terdapatnya orang lain yang mampu menandingi serta mengatasinya maka akan sakitlah hatinya. Ianya lebih suka jika pencabarnya itu diragut maut atau hilang keistimewaan yang dinikmatinya, supaya dia kekal sebagai juara tanpa ada tandingan atau saingan.
KETUJUH : Busuk Hati – hasad yang berpunca daripada busuk hati ini payah untuk dirawat kerana sifat busuk hati ini semacam sudah sebati dalam dirinya. Orang yang hasad kerana busuk hati adalah seorang yang paling bakhil, kerana ia beranggapan bahawa orang lain yang mendapat kelebihan darinya itu telah meragut sesuatu dari miliknya, sedangkan apa yang diperolehi oleh orang lain itu adalah datangnya dari milik Allah. Orang ini cukup bakhil dan busuk hatinya kerana apa yang hendak diberi oleh Allah kepada orang lainpun beliau sanggup mempertikaikan Allah kerana memberi kenikmatan kepada orang lain.
KESIMPULAN : Jika dalam diri kita bermaharajalela hawa nafsu yang berpunca daripada ketujuh-tujuh sebab ini, maka akan lahirlah perasaan hasad dengki dan khianat dalam diri kita. Jika ianya tidak dapat dihindarkan ataupun kita tidak berusaha untuk menepisnya keluar dari dalam hati kita, maka hasad dengki dan khianat ini akan sebati dalam darah daging kita. Justeru, cara merawatnya supaya sifat hasad dengki ini terhindar dalam diri kita ialah dengan kita melakukan tindakan-tindakan positif yang bertentang dengan maksud ketujuh-tujuh punca kejahatan yang disebutkan di atas.

No comments:

Post a Comment