Tuesday, January 3, 2012

Jangan kalah dengan tipu daya dunia

Apa yang ingin saya kongsikan dalam entri ini- 1 Safar 1433H bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. Setiap amalan kita adalah antara kita dengan ALLAH tidak perlu dimaklumkan kepada umum. Jika ianya memberi manfaat dan tidak menjadikan saya ujub dan sombong, maka ianya perlu dikongsi. Jika tulisan ini memandu saya kearah kesombongan maka ALLAH tetap selayaknya saya memohon ampun dan taubat.
Ketika saya meniti hening pagi Subuh pada 1 Muharram 1433H, saya menilai pencapaian diri sebagai seorang muslim. Dengan menapak melebihi 1km dari tempat penginapan ke Masjid Raya/Agung Kota Bandung, saya berkira-kira dengan amalan yang bakal di bawa bertemu ALLAH. Di kiri kanan sepanjang perjalanan, kelihatan ramai juga penarik beca sedang tidur di beca masing-masing. Bagaimana mereka bisa tidur dalam suasana sejuk di luar?
Tiba di Masjid jam 3.30 pagi, suasana luarbiasa menghinggap mata. Ianya tidak sama dengan suasana jam 3.30pagi di Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Kelihatan ramai peniaga-peniaga kecil tidur di kaki lima masjid. Bukan setakat lelaki malah ramai juga muslimah dengan anak kecil.
Hati ini tersentuh….
“Saya ngak ada rumah Pak. Kami Cuma menumpang ihsan di Masjid Agung ini. Kira pemimpin Masjid ini menghalau kami, kami ngak tahu ke mana mahu berteduh.” Itulah luahan hati di pagi 1 Muharram 1433H… sangat-sangat menyentuh hati saya yang keras ini…
Ada juga antara mereka bangun jam 4 pagi untuk bertahajud dan berdoa. Di satu sudut Masjid, danau mata hitam ini menitis mengenangkan bahawa di kala kita mampu ke KFC dan McDonald, ramai lagi hamba Tuhan yang Ikhlas hidup merempat namun tidak kalah dengan kehidupan. Airmata ini tidak mampu lagi bertahan sebagaimana kenikmatan airmata taubat dan keinsafan di Raudah dan di Makam Ibrahim.
Maka saya teringat kejadian di daerah Cipanas. Ketika saya memberi sedikit wang kepada seorang muslimah kerana membantu isteri saya, beliau menangis. Tangisannya agak lama. Bila reda beliau berbicara,
“Setiap malam saya bangun Tahajud. Saya berdoa supaya rezeki datang ke pintu rumah. Sudah 3 bulan wang persekolahan anak-anak saya tidak dapat saya sempurnakan. Anak kecil yang sakit pula hanya perlu ketemu dukun. Tidak mampu ke hospital. Saya tidak kalah dengan kehidupan kerana saya yakin doa saya didengari Tuhan. Dan hari ini, bapak memohon bantuan kecil saya, dan hari ini doa saya dimakbulkan Tuhan.”
“Bapak dan Ibu. Wang yang bapak dan ibu beri ini lebih dari mencukupi untuk kami sekeluarga. Terlalu banyak jika dibanding dengan bantuan kecil saya. Saya dan suami tidak mampu membalasnya Cuma doa kami moga kita ketemu di Syurga ALLAH dan saya mahu menyaksikan bapak, Ibu dan seisi keluarga meniti Titian Sirat dengan selamat.”
ALLAHU AKBAR!

Di satu sudut Masjid Agung Bandung ini, bisikan madah ini amat menyentuh hati saya….. Airmata tidak mampu saya kawal lagi. Terlalu berat untuk emosi diri ini mengendungnya. Kerana mata, hati dan perasaan saya bersama mereka. Processor fikiran ini terhenti bila beduk dipukul dan Azan berkumandang. Subuh Awal Muharram yang menginsafkan….. Saya sujud syukur kerana ALLAH mengizinkan saya menjadi tetamuNYA dan tetamu rakan-rakan yang menjemput saya.

Kita semua manusia yang hina di sisi Rabbul jalil.
Kita amat kerdil di sisi Tuhan
Ramai lagi insan yang hidup sukar
Mereka tidak kalah dengan kemiskinan
Cuma kita sahaja yang kecundang
Dengan kenikmatan…

No comments:

Post a Comment