Sunday, March 24, 2013

Kisah Seram Doktor Penggugur Janin




Kisah Seram Doktor Penggugur Janin | Kisah di bawah ini adalah tentang pengalaman seorang doktor yang sering menggugurkan kandungan bagi pasangan yang mengandungkan anak luar nikah. Tindakannya itu sebagai seorang doktor telah menyebabkan dirinya diselebungi ketakutan dan sering didatangi mimpi ngeri. Mimpi berdarah, anak tidak berkepala dan sebagainya. Kita harus tahu bahawa pengguguran janin ini bukan sewenang-wenangnya dilakukan kerana ia boleh jatuh hukum haram. Ikuti kisah di bawah ini.

 DI sebuah bilik yang gelap-gelita saya terkapai-kapai sendirian. Saya cuba mencari-cari arah keluar daripada kegelapan malam itu. Puas mencari akhirnya saya terpandang kilauan cahaya yang datang dari sebuah katil bujang berwarna putih bersih.Saya hampiri cahaya itu namun langkah saya terhenti kerana di hadapan saya ada seorang wanita sedang bermandikan darah duduk sambil melunjurkan kedua-dua belah kakinya. Wanita itu meratap sesuatu lantas saya tertanya-tanya.

Saya cuba memanggil, malangnya jeritan Saya tidak dihirau oleh wanita itu. Dia terus duduk sambil memerhatikan sesuatu yang berwarna kemerah-merahan.Tiba-tiba suara tangisan wanita itu bergema memenuhi segenap ruang bilik. Saya perhatikan gerak-gerinya, dia memegang sesuatu yang janggal bentuknya. Saya perhatikan lagi, ketulan apakah yang sedang dipegang wanita itu, daging yang berkepala, ada jari-jemari yang halus dan lebih mengejutkan, daging itu juga seolah-olah berkaki.

Hati saya terus berperang, siapakah dia? Dan kenapa wanita ini berkeadaan seperti itu. Menakutkan! Saya dengar wanita itu menangis lagi kemudian meneran kesakitan.Arrrrrggghhhh!!! Arggggghhhhhh!!!Suaranya semakin membingit telinga ini. Berketul-ketul daging Sebesar penumbuk tersembul keluar dari celahan kangkangnya. Saya tersentak, kenapa dengan wanita ini? Sakitkah dia? Keadaannya sungguh sengsara bagai menanti saat-saat untuk mati.

Saya termuntah bila melihat wanita itu menarik satu persatu daging yang keluar daripada alat sulitnya. Macam-macam bentuk dan rupa yang keluar. Ada yang berkepala, tetapi tidak berlengan. Ada yang berkaki tetapi kepalanya terputus. Mengerikan. sungguh!Wanita itu meratap lagi, saya turut mengalirkan air mata melihatnya sedang bertarung dengan maut. Saya mesti membantunya, keluarkan dia segera daripada kesengsaraan itu. Lalu kaki ini cuba melangkah merapati tubuh yang penuh sengsara itu.

Tetapi saya tidak mampu berganjak. Saya cuba gerakkan tangan, mahu saya capai tubuhnya. Pun demikian hajat ini tidak kesampaian. Saya tatap wajah wanita itu, rambutnya yang panjang menutupi muka membuatkan saya sukar melihat wajahnya.Saya menjerit sekuat hati memanggilnya. Wanita tersebut langsung tidak ambil peduli.”Hei kamu!!!” laung saya.Peliknya wanita itu tidak sekali-kali mahu berpaling, dia masih menarik-narik daging merah yang mengerikan. Sambil menangis ketulan-ketulan itu dicampaknya. Katil yang putih itu disimbahi darah pekat, baunya yang meloyakan menusuk-nusuk hulu hati ini.

Ketika dia berpaling, saya tatap wajahnya. Wajahnya mirip saya. Rambutnya, lengannya dan bentuk tubuhnya serupa tubuh saya. Saya tertanya-tanya sendirian, kenapa saya berada di atas katil itu? Kenapa darah-darah merah itu membasahi tubuh saya? Dan kenapa daging-daging merah itu keluar dari rahim saya?Saya cuba menarik wanita yang persis saya itu. Tapi saya tidak dapat selamatkan diri sendiri dan di saat itu tanpa disedari air mata saya mengalir. Saya menangis dan terus menangis menyaksikan diri sendiri dalam keadaan yang sungguh mengerikan.

“Tolonggggg! ! ! Tolonggggg! ! !” jerit saya cuba meminta orang datang membantu. Tapi tiada. Tiada, seorang pun yang saya lihat di dalam bilik kecil. itu. Hanya saya dan wanita yang wajahnya mirip saya yang berada di atas katil. Saya meronta-ronta, dan.Tiba-tiba saya tersentak. Tubuh saya basah, bukan basah kerana darah, tapi peluh. Mimpi! Ah… rupa-rupanya saya bermimpi. Mimpi itu sungguh ngeri sekali.

Sepanjang malam saya menangis, takut menyelubungi seluruh inci dan ruang diri ini. Saya tidak mahu apa yang saya lihat sebentar tadi akan menjadi kenyataan. Saya takut.Saya tidak mahu diri saya ini disakiti seperti mimpi tadi. Bukan saya yang melakukan semua itu. Bukan! Gadis-gadis muda di luar itulah yang menggugurkannya. Mereka yang bunuh janin sendiri, bukan saya. Tetapi… siapa yang melakukannya? Siapa yang menarik janin-janin itu keluar dari rahim mereka?

Saya gamam, sekali lagi perasaan takut menyelubungi diri ini. Lalu saya renung jari-jemari ini. Saya… sayalah orangnya. Sayalah yang membantu gadis-gadis itu menggugurkan bayi mereka.Perasaan bersalah mula bersarang dalam jiwa. Saya benar-benar rasa diri ini terlalu keji atas apa yang telah dilakukanselama ini. Saya pembunuh! pembunuh!Daging-daging kecil yang saya keluarkan dari rahim sendiri itu adalah sebahagian daripada janin-janin yang saya buang dahulu. Bukan milik saya tapi nyawa-nyawa yang tidak bersalah itu kepunyaan gadis-gadis yang datang menagih bantuan untuk membunuh anak dalam kandungan mereka.

Ya… saya bersalah! Memang sayalah yang bersalah kerana bersubahat melakukan perbuatan keji itu. Saya kejam terhadap insan yang bernama wanita. Sepatutnya saya bantu mereka, mereka kaum yang lemah sama seperti saya tapi kerana wang saya sanggup meracuni fikiran mereka. Saya suruh mereka bunuh nyawa yang tidak berdosa itu.Saya gunakan kepakaran yang ada pada jalan yang salah, yang merosakkan gadis-gadis muda dan mentah. Betapa berdosanya saya…

Mengenang apa yang telah saya lakukan selama hampir tiga tahun, air mata saya mengalir deras. Di atas katil saya terus menangis. Saya kesal dengan yang saya lakukan selama ini. Dan saat itu wajah Azimah datang menari-nari di ruang fikiran ini. Antara ratusan gadis yang pernah datang menggugurkan janin mereka, Azimahlah yang paling saya ingat kerana gadis ini kerap datang ke klinik. Saya berdosa padanya, saya paksa gadis itu mengugurkan kandungannya.

Kata saya; “Kamu mahu bayi ini atau tidak?”Azimah menggeleng. Wajahnya tiada langsung perasaan sedih.”Nah… kalau begitu gugurkan saja.Saya yakinkan gadis itu bahawa segala urusan akan selamat dan selesai, hanya mengambil masa dua jam saja. Setelah gadis itu menandatangani Surat perjanjian, saya mulakan tugas.Jari-jemari inilah yang membius tubuh Azimah dan saya bersama doktor telah bekerjasama membunuh janin itu serta menariknya keluar dari rahim.

Sejak itu Azimah sering keluar masuk klinik. Bukan sekali, tetapi empat kali berturut-turut wanita itu datang bertemu saya. Ini bermakna empat kali juga hidup gadis ini dijahanamkan oleh kekasihnya yang lepas tangan.Belum ada gadis yang seberani Azimah. Kalau ada pun hanya sekali dua yang datang. Tidak seperti Azimah yang empat kali menggugurkan janinnya.Pada kali kedua Azimah datang ke klinik saya mula bertanya bagaimana dia boleh terlanjur? Dia memberitahu semua itu gara-gara tinggal sebumbung dengan kekasihnya, Haris. Lelaki itulah yang menyuruhnya menggugurkan janin tersebut. Kalau tidak, dia akan tinggalkan Azimah.

Hanya dua kali saya melihat lelaki itu datang bersama Azimah sewaktu kali pertama pasangan ini menggugurkan bayi mereka. Selepas bayi itu digugurkan, Azimah tinggal serumah dengan Haris lagi.Kali ketiga Azimah datang, saya tanya mana Haris? Gadis itu diam. Apabila saya tanya, tidak sayangkah pada bayi dalam kandungannya itu. Azimah geleng kepala.Dan setelah doktor berjaya menggugurkan bayinya barulah Azimah ceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku. Kata Azimah, Haris salahkan dirinya kerana mengandungkan benihnya itu. Malah Haris juga hayunkan tangannya ke tubuh Azimah.

Kata wanita itu lagi, Haris marah kerana dia tidak berduit untuk menanggung perbelanjaan menggugurkan bayi. Jadi beberapa kali dia menumbuk perut Azimah, namun bayi itu terus membesar.Mahu tidak mahu Azimah pinjam duit daripada kawan-kawan sepejabat. Cukup RM600 Azimah ke klinik dan sayalah yang menguruskan segala-galanya.Saya simpati melihat Azimah yang datang dengan bibir pecah dan badan lebam sana sini. Saya nasihatkan gadis ini agar tinggalkan sahaja lelaki kejam dan jahanam itu. Kenapa mesti biarkan diri diperlakukan seperti binatang!

Azimah mengangguk. Dia berjanji mahu mulakan hidup baru tanpa Haris. Saya yang mendengarnya gembira. Saya berdoa agar gadis ini benar-benar sedar dan mengubah haluan hidupnya. Tapi kata-kata Azimah dusta semata-mata. Azimah terus hidup dalam pelukan lelaki kejam itu dan buat kali yang keempat, dia mengandung lagi.Saya terkejut bila melihat gadis ini datang dengan tubuh yang kurus cengkung. Saya jelaskan pada Azimah kesan dan akibatnya;

“Jangan gugurkan lagi, bahaya.”
Tapi Azimah menangis, merayu-rayu tetap mahu buang anak dalam perutnya itu. Katanya jika anak itu tidak digugurkan dia akan dibuang kerja dan sudah pasti masa depannya gelap-gelita. Azimah tidak mahu mengecewakan emak dan ayahnya di kampung. Dia juga tidak mahu Haris meninggalkannya terkontang-kanting.

Akhirnya saya terpaksa akur dengan keputusan Azimah. Saya bius gadis ini dan doktor yang bertugaslah yang menarik janin berusia tiga bulan itu keluar. Ketika Azimah sedar daripada pengsan, saya serahkan janin itu kepadanya. Saya tahu sebagai seorang yang beragama Islam mereka sepatutnya mengebumikan mayat itu.

Meskipun saya beragama Kristian, saya masih menghormati pesakit beragama Islam. Saya tahu sedangkan binatang pun harus dikebumikan dengan cara yang baik inikan pula anak yang digugurkan.Tapi seperti sebelum ini Azimah menolaknya. Dia menggeletar bila saya berikan bungkusan berisi mayat janinnya.”Buang saja. Saya tidak mahu,” ucapnya terketar-ketar.

Lalu saya campak saja mayat kecil itu ke dalam tong sampah. Bukan hak saya, jadi tidak perlulah saya menguruskannya.Seperti biasa pada setiap petang puluhan bungkusan janin yang kami gugurkan akan dicampakkan ke dalam sebuah tong besar di lorong kecil belakang klinik.Maka, anjing-anjing liar sekitar Bandar Raya Kota Kinabalu pun berpesta. Daging-daging itu akan menjadi santapan mereka. Daging berkepala kecil dan berjari halus itu dicarik-carik sebelum diratah berekor-ekor anjing yang ganas.

Saya menyaksikan sendiri bagaimana anjing-anjing liar menanti bungkusan berisi daging manusia kecil itu dihumban ke dalam tong sampah sebelum mereka menyelongkar dan memakannya.Memang sayalah yang bersalah. Saya bersalah pada kaum Hawa. Saya kejam, sama seperti lelaki yang merosakkan hidup gadis-gadis mentah itu.Pada siapa perlu saya memohon maaf? Pada gadis-gadis yang pernah datang menggugurkan anak? Atau pada Azimah yang kini hidup terumbang-ambing tanpa arah?

Saya takut sebaik sahaja mengenang apa yang telah saya lakukan. Saya takut mimpi buruk itu akan berulang. Saya tidak mahu melihat diri ini berdarah dan menarik-narik daging yang jijik itu lagi.Lalu saya ambil keputusan untuk meniggalkan alam pekerjaan itu. Saya tidak sanggup melihat lebih ramai lagi gadis yang menjadi mangsa kekejaman lelaki, datang meminta saya menggugurkan bayi mereka. Saya tidak mahu bersubahat.

Saya juga tidak mahu lebih ramai gadis seperti Azimah yang kecundang di tangan lelaki kejam yang berhati binatang!Cukuplah Azimah seorang yang menderita kerana saya mendapat tahu kini gadis itu hidup sengsara kerana lumpuh separuh badan akibat kerap kali menjalani pengguguran.Seperti yang saya katakan tadi, kami sudah memberi amaran pada Azimah tentang akibat buruk itu kalau dia menggugurkan janinnya buat kali keempat, tapi dia tidak pedulikan. Azimah lebih sayangkah Haris berbanding nyawa dan kesihatannya sendiri. Ternyata amaran kami itu benar-benar menjadi kenyataan.

Kini di atas kerusi roda, Azimah menghabiskan sisa-sisa hidupnya yang masih jauh dan panjang. Haris? Lelaki yang telah menjahanamkan hidupnya itu entah ke mana menghilang.Dalam keadaan Azimah memerlukan sokongan dan kasih sayang, Haris lenyap tanpa dapat dikesan. Lelaki itu kejam! Dayus! Lelaki seperti Haris tidak layak hidup di muka bumi ini!

No comments:

Post a Comment