Thursday, August 21, 2014

Hukum Tafakur dan Hari Berkabung MH17 Dalam Islam



Untuk info semua, tarikh 22 Ogos 2014 merupakan Hari Berkabung bagi seluruh rakyat Malaysia bagi menghormati ketibaan jenazah MH17 ke tanah air. Pada hari tersebut, rakyat Malaysia diarahkan supaya bertafakur selama 1 minit dan mematuhi peratuan Hari Berkabung iaitu memakai baju gelap atau suram serta menangguhkan segala program hiburan. 

Soalan Lazim
Saya ingin bertanya tentang isu tafakkur dan berkabung. Adakah dalam Islam ada amalan tafakkur sebagai tanda kedukaan atas kematian sepertimana dalam ke MH17. Begitu juga tentang amalan berkabung. Dalam Islam apa yang sepatutnya dilakukan. Mohon penjelasan. Terima kasih.
Penjelasan JAKIM
Faham bertafakkur dalam Islam tidaklah sama dengan apa yang dilakukan sekarang ini yang dipanggil ‘moment of silence’ (tunduk selama beberapa minit) bagi menghormati orang yang mati. Tafakkur membawa makna “kegiatan hati untuk memahami makna setiap perkara bagi mencapai apa yang dihajati. Tafakkur juga merupakan pancaran hati yang dengannya kebaikan, keburukan, manfaat dan kemudaratan akan menjadi jelas (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, ms.77)
Namun perbuatan tunduk selama beberapa minit (moment of silence) bagi menghormati orang yang mati tidaklah bertentangan dengan syarak kerana ia sekadar tanda penghormatan yang bersifat universal dan tidak melibatkan apa-apa ritual bacaan dan pergerakan yang menyerupai amalan keagamaan agama lain. Penekanan dalam perbuatan ‘moment of silence’ lebih kepada bagi menunjukkan kesedihan, ingatan dan penghormatan kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Namun sekiranya perbuatan tersebut disertai dengan ritual keagamaan agama lain seperti menyalakan lilin atau bacaan-bacaan tertentu maka ia menjadi tidak selari dengan amalan Islam dan dilarang oleh syarak.
Asas terhadap keharusan tersebut boleh diambil dari perbuatan Rasulullah yang bangun menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan baginda atas dasar kemanusiaan. Begitu juga dengan kisah seorang Sahabat Nabi bernama Qays Ibn Syamas yang pernah menyatakan hasratnya kepada Rasulullah untuk menghadiri majlis kematian ibunya yang beragama Nasrani, Nabi membenarkan dan menyuruhnya berjalan di hadapan jenazah sebagai tanda hormat. (Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Ahkam ahl Zimmah, vol.2 ms. 434).
Walaupun apa yang dilakukan oleh Nabi dan Qays, tidaklah benar-benar sama dengan perbuatan ‘moment of silence’, namun kedua-dua perbuatan tersebut memberi isyarat bahawa tidak salah untuk menghormati orang yang meninggal melalui perbuatan yang tidak bertentangan dengan syariah, termasuk bukan Islam. Islam sendiri menggalakkan kita mengambil iktibar dari kematian. Namun yang terbaik untuk dilakukan bagi menghormati orang Islam yang meninggal dunia ialah dengan mendoakan mereka dan membaca ayat-ayat suci al-Qur’an.
Sementara perbuatan berkabung bagi menunjukkan tanda dukacita kepada orang yang meninggal dunia seperti mengibarkan bendera separuh tiang dan memakai pakaian berwarna serba hitam atau suram adalah dibenarkan selagi ia tidak melibatkan unsur-unsur atau ritual keagamaan agama bukan Islam yang bertentangan dengan syarak.
Dalam perbahasan para ulama amalan berkabung banyak merujuk secara khusus kepada apa yang dilakukan oleh seorang wanita yang kehilangan suami. Istilah yang digunakan ialah al-ihdad/al-hadad yang bermaksud menahan diri daripada berhias.
Menurut istilah pula, perkabungan memberi erti meninggalkan perbuatan memakai haruman, perhiasan, celak, minyak, sama ada yang harum ataupun tidak, iaitu yang khusus bagi tubuh. Namun ia boleh dikiaskan kepada konteks yang lebih besar termasuk dalam konteks masyarakat dan Negara seperti dalam kes MH17. Maka keputusan untuk menetapkan beberapa hari untuk tujuan berkabung adalah termasuk dalam perkara yang harus.
Malah dalam hal memakai pakaian berwarna hitam, terdapat perbahasan yang mengatakan bahawa Keempat-empat mazhab mengharuskan (iaitu dalam konteks wanita kematian suami) untuk memakai pakaian berwarna hitam. (Wahbah al-Zuhayli, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jild 7. 662
Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment