Wednesday, February 3, 2016

Memegang Anjing Dalam Keadaan Tangan Kering

SamakSoalan:
Assalamualaikum. Terpanggil saya untuk bertnya sedikit mengenai kemaslahatan dan kemusykilan tentang hukum memegang anjing. Apakah kita wajib atau perlu menyamak apabila memegang anjing walaupun tangan dalam keadaan kering dan anjing itu juga dalam keadaan kering? Harap tuan dapat merungkai sedikit tentang masalah ini kerana saya terdengar beberapa perbezaan pendapat. Sesetengah mengatakan wajib menyamak dan sesetengah mengatakan tidak perlu. Sekian. Jazakallah.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam
Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaaAllah.
Tidak ada khilaf (perbezaan pendapat) mengenai memegang anjing (bulu atau kulitnya) semasa kedua-dua anjing dan si-pemegang itu dalam keadaan kering. Sepakat ulama’ mengatakan bahawa bersentuhan dengan anjing ketika itu tidak memerlukan tangan yang memegang itu di samak.
Yang menjadi perselisihan adalah, apabila salah satunya basah; iaitu samada si-pemegang atau anjing yang basah, menurut pandangan Mazhab Syafie, seseorang itu hendaklah menyamak untuk menghilangkan kenajisan tersebut; dimana basuhan pertama dengan tanah dan diikuti dengan 6 basuhan air mutlak.
Dari Abu Hurairah ra. bahawa Nabi S.A.W bersabda :
إذا ولغ الكلب في إناء أحدكم فليغسله سبع مرّات إحداها بالترا
ب
“Jika anjing menjilat bejana salah seorang dari kamu, maka hendaklah dia membasuhnya 7 kali, dan salah satu basuhan dengan tanah”(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadith ini juga ulama Syafie menjelaskan bahawa sedangkan mulut anjing ini merupakan semulia tempat bagi anjing pun apabila terkena mulutnya di suruh samak, inikan bahagian anjing yang lain, sudah sewajibnya jika tersentuh hendaklah disamak.
Secara ringkasnya, ulama Hanafi melihat bahawa anjing itu bukanlah najis ‘ain (yang Nampak) berbeza dengan babi. Bagi mereka, mulut, air liur dan tahi babi sahaja yang dianggap najis.
Bagi Mazhab Maliki, kesemua binatang itu asalnya suci. Kenajisan anjing hanyalah kepada air liur sahaja. Jika terkena air liur anjing, maka hendaklah dibasuh tempat yang terkena sahaja.
Menurut Mazhab Syafie dan Hanbali, anjing dan sejenis dengannya adalah najis ‘ain, termasuk sisa dan peluhnya. Maka bagi menghilangkan kenajisannya hendaklah di basuh sebanyak 7 kali, salah satunya dengan tanah, kerana telah tsabit hukum tersebut dari hadith diatas mengenai hukuman kenajisan mulut anjing. WA.
Sekian.
Rujukan :-
  1. Dr Wahbah al-Zuhaily. Al-Fiqh al-Islami wa adilatuh – 1. Cet ke 3. Beirut : Dar al-Fikir, 1989. ms 153-154.
  2. Dr Yusuf al-Qaradhawi. Fiqh al-Thahaarah. Cet ke 3. Kaherah : Maktabah Wahbah, 2006. ms 19.

No comments:

Post a Comment