Wednesday, July 21, 2010
TAJUK: Mari Berdemonstrasi Hari-Hari
Setelah pulang daripada demonstrasi anti-Yahudi, seorang Pak Cik berbual dengan saya sewaktu sama-sama menunggu giliran mendapat rawatan di sebuah klinik.
“Puas hati. Kami dah bakar bendera Israel. Hancur luluh dibuatnya. Gambar PM Israel pun banyak yang kami robek-robekkan. Kalaulah tidak mengenangkan undang-undang, kami dah bakar kedutaan Amerika. Tapi kami masih rasional.”
Saya mengangguk-angguk kepala sahaja.
“Tel Aviv akan bergegar minggu ini dengan demonstrasi oleh seluruh dunia Islam. Dijangka banyak lagi siri demonstrasi akan diatur minggu hadapan. Awak jangan lepas peluang.”
Saya mengangguk kepala. Mungkin kerana demam, saya banyak diam. Lagipun saya telah berjanji pada diri, dalam berinteraksi perlu menjadi pendengar.
“Eh, awak tidak ada respons langsung. Baru demam sikit… janganlah begitu. Rakyat Palestin dibom, ditembak dan disekat bekalan makanan dan keperluan. Itu lagi teruk.”
Kali ini saya senyum. Saya bersuara perlahan, “saya sokong tindakan Pak Cik dan demonstrasi menyatakan pendirian kita menentang kekejaman Yahudi.”
“Bagus. Suara saya serak melaungkan takbir semalam. Dada ni sakit-sakit sejak akhir ni.”
“Kenapa Pak Cik?”
“Rokok dik. Semuanya fasal rokok ni.”
“Pak Cik hisap rokok apa?” saya mula teruja untuk berbual.
“Masih Winston. Dah sebati sejak dulu.”
“Winston from America?” bisik saya perlahan.
Kali ini Pak Cik tu pula mengangguk-angguk.
“Sakit-sakit Pak cik pun masih kuat berdemonstrasi. Apa pandangan adik tentang demonstrasi ini?” kilasnya mengalih arah perbualan.
“Ada langkah yang lebih utama dan pertama daripada itu,” tegas saya.
“Apa dia?”
“Solat Subuh berjemaah.”
“Kita cakap bab jihad, awak bercakap bab ibadat.” Muka pak Cik itu mula memerah. Tangannya mula digenggam.
“Jihad dan ibadat tidak terpisah. Bahkan ibadat itulah yang akan membangunkan roh jihad yang sejati.”
“Kita mesti sanggup memikul senjata.”
“Betul. Tetapi kuakkan dulu selimut menutup umat yang masih tidur menjelang Subuh.”
“Saya tak faham.”
“Pak Cik, Israel mesti ditentang menurut kaedah yang menyakitkan mereka.”
“Apa yang menyakitkan mereka?”
“Mereka bimbang sekiranya bilangan orang Islam yang solat subuh berjemaah sama dengan bilangan orang Islam yang solat Jumaat! Ini diakui oleh cerdik pandai mereka sendiri.”
“Jadi?”
“Sebaik-baik ‘demonstrasi’ ialah didik umat ini bersolat Subuh secara berjemaah di surau-surau dan masjid. Solat itu hubungan kita dengan Allah. Jangan harap musuh akan kalah, kalau Allah tidak bantu kita. Lihat di Badar, lihat di Khandak, bagaimana Rasulullah saw dan sahabat akrab dengan Allah. Lihat pula Salehuddin, lihat pula Muhammad al Fateh, bagaimana teguhnya mereka menjaga solat dan ibadat-ibadat khusus yang lain.”
Hampir terlupa saya pada janji diri untuk lebih mendengar. Saya menarik nafas panjang. Kembali merenung Pak Cuik tersebut dengan senyuman.
“Awak rasa bakar bendera Israel tak perlu? Mana kemarahan awak?”
“Bakar bendera Israel boleh saja. Ayuh, bakarlah. Tetapi jangan membakar rokok Amerika dan sekutu Yahudi yang lain lebih perlu. Cukup kalau sebulan sahaja umat Islam berhenti merokok, mungkin jumlahnya sudah berjuta-juta ringgit. Dan wang yang terkumpul itu hantarkan ke misi bantuan kemanusiaan ke Gaza!”
“Awak sindir saya?”
“Pak Cik saya tidak menyindir. Kebanyakan umat Islam, termasuk saya, hanya bencikan Yahudi pada mulut sahaja tetapi pada tindakan tidak.”
“Saya dah bertindak. Saya dah demonstrasi!”
Lagi-lagi ke situ fikirnya.
“Pak Cik dalam Al Quran, Allah tegaskan orang Yahudi itu tidak akan redha selagi kita umat Islam tidak mengikut cara hidup mereka.”
“Siapa kata kita ikut cara hidup mereka?”
“Pak Cik, lihat betul-betul. Apakah masyarakat kita telah bangunkan cara hidup Islam?”
“Kita orang Islam. Cara hidup kita mesti Islam.”
“Tidak Pak Cik. Ramai umat Islam yang tidak amalkan cara hidup cara Islam.”
“Contoh?”
“Dedah aurat, pergaulan bebas, riba, judi, arak, tinggal solat, budaya hedonisme dan dualisme masih berakar umbi dalam masyarakat kita. Lihat sahaja unsur tahyul, mistik, seks bebas dan gosip yang mendominasi media-media umat Islam. Tidak ikut cara hidup Islam bererti terperangkap dengan cara hidup isme kapitalis, sosialis mahupun liberalis.”
Pak Cik itu terkejut sedikit, lantas menyampuk, “mana Yahudinya. Awak kata Yahudi, tapi yang awak sebut golongan hedonis, liberalis, kapitalis dan sosialis?”
“Ketiga-tiga isme itu sama.”
“Sama?”
“Kesemuanya dicipta oleh golongan yang sama… ZionisYahudi!”
“Jadi demonstrasi ini tidak berfaedah?”
Saya menggeleng-gelengkan kepala perlahan.
“Ada faedahnya. Tetapi ia bermusim dan agak bersifat agak artifisial. Kita perlu agenda yang konsisten dan ‘genuine’.”
“Misalnya?”
“Ajak orang Islam serius solat lima waktu dengan penghayatannya sehingga dengan solat itu mampu meninggalkan kejahatan dan kemungkaran.”
“Lagi?”
“Tinggalkan riba, judi, arak dalam kehidupan umat Islam. Wanita Islam didakwah dan ditarbiah secara berhikmah untuk menutup aurat dalam ertikkata sebenar dan tinggalkan pergaulan bebas!”
“lagi?”
“Pak Cik, cara hidup Islam itu terlalu banyak. Dengan mengamalkannya satu persatu kita boleh ‘berdemonstrasi hari-hari’ terhadap atas Yahudi. Bila kita boikot cara hidup berseronok-seronok yakni hedonisme, ertinya kita boikot cara hidup Yahudi yang disalurkan melalui dalang-dalang mereka di Holywood.”
“Idola Amerika?”
“Ya. Juga idola kita yang meniru persis mereka. Bangsa yang leka berhibur akan mudah dijajah.”
Pak Cik itu batuk-batuk.
Saya urut belakangnya.
“Dah lama Pak Cik batuk? Berhentilah atau kurangkan perlahan-lahan ya Pak Cik?” kata saya seakan-akan merayu.
“Semangat Pak Cik kuat, saya doakan Pak Cik berjaya. Amin.”
“Tak terfikir pula saya begitu jauh kita dibius oleh cara hidup musuh yang kita benci.”
“Kadang-kadang musuh ketawa melihat kemarahan kita. Bangunkan remaja kita untuk solat subuh berjemaah, Yahudi akan sakit hati. Tutup aurat remaja perempuan kita, Yahudi akan sakit hati. Tinggalkan riba, judi, arak, pergaulan bebas, insya-Allah, Yahudi akan gigit jari.”
“Tetapi kalau cara hidup kita mengikut telunjuk jari mereka, Zionis akan ketawa sekalipun berlambak-lambak bendera mereka kita dibakar. Jeritan Allah hu Akbar dalam demonstrasi itu baik, bersemangat tetapi ucapan takbir dalam solat lima waktu lebih besar maknanya. Apakah Allah akan nilai laungan Allah hu Akbar daripada umat yang tidak solat? “
“Eh, kami yang demonstrasi semua solat…”
“Bukan itu maksud saya. Tetapi seluruh umat Islam ini. Saya risau kerana ada kajian menunjukkan 80% umat Islam sudah tidak solat. Itu yang tidak solat langsung. Bayangkan pula yang solat tanpa ilmu, tanpa penghayatan dan tanpa khusyuk? Jadi berapa kerat umat ini yang benar-benar kompeten menghadapi Zionis dalam erti kata sebenar?”
Giliran Pak Cik itu tiba. Dia melangkah perlahan menuju bilik rawatan. Ditinggalkan sendirian begitu, saya lontarkan pandangan ke luar klinik. Terus merenung dan berfikir. Masih terbayang wajah pemimpin-pemimpin dan para pengikut yang ramai dalam demonstrasi seperti yang dipaparkan di dada akhbar dan di kaca televisyen. Alangkah indahnya jika demonstrasi dibuat seusai solat Subuh berjemaah dan sebelum itu didahului oleh qiamulail dan qunut nazilah?
Dan kemudian setelah selesai berdemonstrasi, para pemimpin dan ribuan pengikutnya itu terus sahaja mengamalkan cara hidup Islam dalam diri, keluarga, jabatan, unit, organisasi, masyarakat dan bahagian masing-masing. Bukan hari itu sahaja… tetapi hari-hari. Setiap hari!
Ah, bagaimana umat ini hendak disedarkan bahawa mengamalkan cara hidup Islam itulah cara penentangan yang paling dibenci oleh Yahudi? Firman Allah:
“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”
Dan alangkah baiknya jika jeritan Allah hu Akbar, dibuktikan dengan penegakan hukum Allah dalam seluruh sistem kehidupan sekali gus ‘mengecilkan’ pandangan akal sendiri dalam menyusun dan mengatur kehidupan ini?
OHISLAM: SAMPAIKANLAH ILMU WALAU HANYA DENGAN SATU AYAT.
Thursday, July 8, 2010
Renungan buat seorang lelaki By PEJINGGAHAN BLOG
Di akhirat nanti ada 4 golongan lelaki yg akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yg tidak memberikan hak kpd wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:1. AyahnyaApabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya didunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat,mengaji dan sebagainya Dia membiarkan anak2 perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dgn hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.( Duhai lelaki yg bergelar ayah, bagaimanakah hal keadaan anak perempuanmu sekarang? Adakah kau mengajarnya bersolat & saum?..menutup aurat?… pengetahuan agama?.. Jika tidak cukup salah satunya, maka bersedialah utk menjadi bahan bakar neraka jahannam.)2. Suaminya Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul! bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan utk suami tapi utk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yg alim dimana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dlm neraka.(Duhai lelaki yg bergelar suami, bagaimanakah hal keadaan isteri tercintamu sekarang?. Dimanakah dia? Bagaimana akhlaknya? Jika tidak kau menjaganya mengikut ketetapan syari’at, maka terimalah hakikat yg kau akan sehidup semati bersamanya di ‘taman’ neraka sana.)3. AbangnyaApabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya.. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.(Duhai lelaki yg mempunyai adik perempuan, jgn hanya menjaga amalmu, dan jgn ingat kau terlepas.kau juga akan dipertanggungjawabk an diakhirat kelak…jika membiarkan adikmu bergelumang dgn maksiat… dan tidak menutup aurat.)4. Anak-anak lelakinyaApabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram disisi Islam. bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengatai dan sebagainya.. .maka anak itu akan disoal dan dipertanggung jawabkan di akhirat kelak….dan nantikan tarikan ibunya ke neraka.(Duhai anak2 lelaki…. sayangilah ibumu…. nasihatilah dia jika tersalah atau terlupa…. krn ibu juga insan biasa… x lepas dr melakukan dosa… selamatkanlah dia dr menjadi ‘kayu api’ neraka….jika tidak, kau juga akan ditarik menjadi penemannya.)Lihatlah…. .betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah diakhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yg bergelar ayah/suami/abang/adik atau anak harus memainkan peranan,tanggungjawab & amanah mereka dengan sebaik yang mungkin.Mari muhasabah diri masing-masing (termasuk diri saya sendiri).
Wednesday, July 7, 2010
6 PERKARA MENDORONG SESEORANG?
8 Julai 2010 by Zaini Sairi
“Kalau aku nak mengumpat,aku hanya akan mengumpat ibuku sendiri”-kata Imam al-Ghazali.Begitu halus pemikiran Imam al-Ghazali itu..Perkataan ‘kalau’ tu bukan la menunjukkan Imam al-Ghazali buat,tapi oleh kerana mengumpat seseorang itu akan menyebabkan pahala orang yang mengumpat akan diberikan kepada orang yg diumpat,maka lebih baik umpat ibu sendiri kerana pahala akan diberikan kepada ibu…daripada diberikan kepada orang yang tidak ada kaitan dengan kita..tapi jangan la pula pakat mengumpat ibu sendiri plk nanti..itu hanya perumpamaannya sahaja.
Sikap suka mengumpat atau menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain dilaknat oleh Allah. Mereka yang bersikap demikian, secara disedari atau tidak mencela dan mengaibkan orang lain yang hukumnya berdosa besar. Ketika berbual, sama ada secara sengaja atau tidak, mereka menceritakan keburukan ketuanya, jiran, saudara mara dan orang yang lalu di hadapan mereka. Firman Allah bermaksud : “ Hai orang yang beriman, kalau datang kepada kamu orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan sampai mencelakakan suatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal di atas perbuatamu itu. “ (Surah al-Hujurat, ayat 6) Sabda Rasulullah saw seperti yang diriwayatkan oleh Al- Thabrani daripada Abu Hurairah bermaksud : “ Yang paling dikasihi Allah antara kamu ialah mereka yang baik akhlaknya, merendah diri, suka pada orang dan disukai orang. Dan yang paling dimarahi Allah ialah mereka yang membawa fitnah, mencerai beraikan di antara sesame saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah. Imam Al- Ghazali ada menyebut enam perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat : 1) Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain.Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam 2) Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang 3) Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah 4) Disebabkan dengki, iri hati dengan orang lain yan lebih beruntung dan berjaya, ia seoerti dinaikkan gaji dan pangkat 5) Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain dan 6) Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain. Harus sedar dan insaf mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar serta hendaklah berasa malu apabila memperli kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca Tuhan yang menciptakan.
Anak atau bapa yang derhaka?
8 Julai 2010 by Zaini Sairi
Seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab r.a. mengadukan hal kederhakaan anaknya. Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak-hak bapanya. Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?” Umar menjawab: “Ya.” Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?” Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).” Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapaku tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam. Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran. Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anakmu, walhal kamulah yang telah menderhakainya. Kamulah yang telah berlaku buruj dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadapmu.” Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.
Musibah bagaimana menanganinya?
8 Julai 2010 by Zaini Sairi
Pagi tadi ana ada mendengar Ustaz Zahazan menghuraikan tajuk sabar dalam menghadapi musibah..terus ana muatkan dlm blog ini untuk dikongsi bersama.Akhir-akhir ini,kita sering terdengar atau terbaca musibah yang melanda di serata tempat. Pelbagai bencana alam yang menimpa kat merata-merata tempat, isu Palestin yang tidak sudah-sudah dan banyak lagi musibah yang berlaku akhir-akhir ini.
Kita juga seringkali ditimpa musibah,walaupun ianya bukanlah musibah sehebat gempa bumi dan seumpamanya,namun setiap kesusahan yang menimpa kita juga dinamakan musibah,dan setiap musibah menuntut kesabaran bagi orang yang menghadapinya. Persoalannya,apakah kita sabar dan redha melaluinya???. Kalau musibah itu kena pada orang lain, dengan mudah kita akan katakan ia sebagai bala dari Tuhan. Kalau musibah itu kena pada kita sendiri, mulalah kita menyalahkan takdir. “Mengapa aku yang kena?” “Aku dah berusaha kenapa aku masih gagal?” “Aku dah banyak doa, solat. Kenapa aku yang dapat musibah?” Soalan-soalan yang tidak munasabah mula terpacul di mulut, paling tidak pun berlegar-legar dalam fikiran, sebagai tanda tidak puas hati terhadap kesudahan yang menimpa dirinya. Seolah-olah dia berhak mempersoalkan keputusan Allah yang menentukan qada’ dan qadar. Seolah-olah dia layak menentukan kesudahan mana yang dia suka..
Kita mesti menerima hakikat bahawa hidup kita merupakan ujian. Susah senang yang berlaku dalam kehidupan kita semuanya telah diatur rapi oleh Allah untuk kita. ia mewarnai kehidupan kita sebagai seorang manusia. Hidup mudah tanpa kesusahan pasti membosankan. Kesusahan yang berterusan pasti mengecewakan. Lumrah kehidupan pasti ada naik dan turun, menang dan kalah, berjaya dan gagal. Itu sudah menjadi sunnatullah, Allah yang lebih memahami sifat makhlukNya. Tugas kita (sebagai hamba Allah) hanyalah menjalankan apa yang disuruhNya bukan menentukan kesudahan sesuatu perkara. Biarlah ketetapan/kesudahan sesuatu perkara itu menjadi hak milik Allah semata. Dan sesungguhnya Allah Maha Adil. Teringat ana sebuah drama melayu yang memaparkan kesusahan yang dihadapi oleh seorang suami,namun dia sabar menghadapinya dan sering berkata”…hanya insan-insan terpilih sahaja yang diuji oleh Allah dengan musibah…”’
Sikap kita sebagai orang yang beriman hendaklah sepertimana yang diucapkan oleh Rasulullah saw.
Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan ra berkata, Rasulullah saw bersabda: ”Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak akan terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman di mana bila mendapatkan kesenangan ia bersyukur maka yang demikian itu sangat baik baginya, dan bila ia tertimpa kesusahan ia sabar maka yang demikian itu sangat baik baginya”.
(Riwayat Muslim)
Hendaklah kita menerima segala apa yang berlaku di dunia ini dengan keredhaan yang mutlak kepada Allah. Syukur dan sabar adalah respon kita yang paling baik untuk setiap perkara, senang atau susah. Syukur kerana pasti ada rahmat disebalik kesusahan yang menimpa, sabar kerana itulah tanda orang yang beriman.
Abdullah ibn Umar ra apabila ditimpa musibah akan mengucapkan alhamdulillah dan redha kerana:
musibah yang datang bukan urusannya
tahu musibah yang lebih besar boleh terjadi
Allah akan kasih padanya
Allah akan beri pahala
Antara rahmat Allah yang akan kita dapati apabila ditimpa musibah ialah sebagai penghapus dosa, menambah pahala dan pencetus hidayah. Semua ini boleh kita dapati hanya apabila kita syukur dan sabar. Apabila kita bersikap sebaliknya, yang kita dapati juga adalah sebaliknya. Ia akan menambah dosa kita, mengurangkan pahala dan kita akan semakin jauh dari hidayah Allah. Na’uzibillah, moga dijauhkan.
Subscribe to:
Posts (Atom)