Soalan:
Assamualaikum Ustaz. Saya hendakan kepastian berkaitan hukum suami isteri yang dah bercerai dengan talak satu tetapi masih duduk sebumbung ketika iddah? Adakah di bolehkan Ustaz?
Jawapan:
Apabila berlaku sesuatu perceraian maka haram bagi suami tinggal bersama-sama dengan bekas isterinya di dalam sebuah rumah atau masuk ke dalam rumah yang di diami bekas isterinya tanpa rujuk walaupun dalam iddah talak raj’i kerana di khuatiri akan menjurus kepada perbuatan khalwat. Hal ini kerana, berkhalwat dengan bekas isteri tanpa rujuk seolah-oleh berkhalwat dengan perempuan ajnabiah (perempuan asing yang boleh dinikahi).
Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat mahram kepada salah seorang daripada mereka bersama isteri berkenaan atau orang yang setaraf dengan mahram seperti isteri yang lain atau perempuan yang boleh dipercayai, maka suami diharuskan memasuki rumah tersebut dan duduk di situ. Begitu juga sekiranya rumah itu besar dan mempunyai bilik yang berasingan, tempat masak, tempat rehat, tempat lalu, pintu keluar masuk kesemuanya berasingan dan tidak boleh lalu-lalang di antara mereka dalam rumah itu disebabkan oleh dinding atau pintu yang telah dikunci atau dipaku, maka harus mereka tinggal di rumah itu.
Namun hukumnya adalah makruh walaupun tanpa mahram. Oleh itu, sekiranya rumah berkenaan tidak menepati syarat-syarat tersebut seperti rumah itu mempunyai satu bilik sahaja maka pasangan yang bercerai itu tidak harus tinggal di rumah tersebut melainkan jika ada mahram. Sehubungan itu, apabila seorang suami hendak tinggal bersama dengan bekas isterinya atau masuk ke tempat bekas isteri yang boleh membawa kepada khalwat yang diharamkan, maka isteri itu hendaklah mencegahnya mengikut kemampuannya (Raudhah al-Tolibin, I’anah al-Tolibin, Ahkam al-Iddah fi al-Islam).
Selain itu, haram ke atas suami berseronok-seronok dengan bekas isterinya yang ditalak raj’i sebelum dirujuk sama ada dengan persetubuhan atau lainnya hatta jikalau memandang tanpa syahwat sekalipun. Dalam permasalah ini, isteri yang telah diceraikan dengan talak raj’i adalah sepertimana hukum isteri yang diceraikan dengan talak bain. Keharaman bagi suami untuk menyetubuhi dan berseronok-seronok dengan bekas isterinya serta memandang bekas isteri walaupun tanpa syahwat adalah merupakan pendapat majoriti ulamak seperti ‘Ato’, Malik, Syafi’i, satu riwayat dalam Mazhab Hanbali dan lain-lain (I’anah al-Tolibin, Fath al-Fattah Syarh al-Miftah li Bab al-Nikah).
اليسع
Wallahu a’lam.