Tuesday, January 18, 2011
10 perkara sifat manusia yg di celah Allah
by Zaini Sairi
SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:
1. Gelojoh ketika makan
—————————-
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.
2. Banyak bercakap
———————
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.
3. Suka marah-marah
———————–
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.
4. Hasad dengki
—————-
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: `Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat Muslim).
5. Kedekut & bakhil
———————
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.
6. Bermegah-megah
———————
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.
7. Cintakan dunia
——————-
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).
8. Ego atau sombong
———————–
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.
9. Ujub dan suka bangga diri
———————————-
Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.
10. Gemarkan pujian atau riak
———————————–
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.
* Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk
dalam kategori melakukan dosa besar.
Hati-hati dgn riba jahiliah
by Zaini Sairi
Menurut definisi, riba jahiliah adalah sebarang manfaat atau kadar tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok dikenakan ke atas peminjam akibat kegagalan membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan di dalam tempoh dipersetujui.
Hasil daripada kelewatan itu pemberi pinjaman memberikan kata dua iaitu melangsaikan hutang serta merta atau satu kadar bunga akan dikenakan bagi memanjangkan tempoh pembayaran semula. Kadar bunga itu boleh dianggap sebagai denda.
Contoh semasa riba jahiliah yang boleh dilihat adalah:
1. Apabila pelanggan gagal membayar hutangnya kepada bank atau pemberi pinjam pada bulan tertentu seperti tiga bulan berturut-turut, pelanggan dikenakan denda atau penalti sebanyak tiga peratus dari jumlah hutang yang berbaki.
2. Apabila peminjam buku di perpustakaan gagal memulangkan buku pada waktunya, pihak perpustakaan mengenakan denda RM5 setiap hari yang lewat, ini juga satu bentuk riba. Justeru, jangan sesekali lewat memulangkan buku sehingga dikenakan denda riba. Undang-undang ini turut digunakan oleh hampir seluruh perpustakaan di seluruh dunia termasuk di pusat pengajian tinggi Islam yang nyata menunjukkan kurang peka di dalam hukum.
3. Bagi mereka yang dikenakan saman atas kesalahan meletak kenderaan di tempat yang salah, atau lain-lain kesalahan memandu, pihak pemandu diberikan nilai saman mengikut minggu. Contohnya, jika dibayar dalam tempoh 14 hari, nilai saman adalah RM15, jika melebihi 30 hari, nilai saman naik kepada RM40 dan seterusnya. Semua cara kiraan ini tergolong di dalam riba Al-Jahiliyyah.
Disebabkan ini, mungkin akan ada pihak yang keliru dan mempersoalkan cara sesuai untuk mengelakkan peminjam melewatkan pembayaran dan pemulangan buku.
Bagaimanapun, topik ini sudah dibincangkan panjang lebar oleh para ulama sedunia, dan pandangan yang sepakat oleh majoriti ulama sedunia adalah hukuman yang dikenakan bagi pesalah yang sengaja melewatkan pemulangan dan segala jenis hukuman tidak ditentukan dalam bentuk mata wang tetapi lain-lain bentuk. seperti didenda tidak boleh memasuki perpustakaan selama dua bulan, dirampas pasport, disenarai hitam dan sebagainya.
Jika ia membabitkan denda dalam bentuk wang, terdapat beberapa ijtihad di kalangan ulama semasa yang akan disebutkan di bawah.
Jadi, bagaimana pula konsep dalam perbankan Islam? Dalam konsep perbankan Islam, mereka turut mengenakan sejumlah wang sebagai ganti rugi atau denda. Jumlah ini sebenarnya dianggap sebagai bayaran kos rugi (ta’widh atau compensation) yang dihadapi oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang dijanjikan. Oleh itu, pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.
Ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam adalah terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.
Menurut sebahagian ulama seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Mani’, Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan dan Fatwa Persidangan dallah Al-Barakah, keharusan itu berdasarkan ‘Maslahat Mursalat’.
Jadi, tindakan mengenakan ganti rugi itu adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan ‘mumatil’ yang disebut oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Riwayat Al- Bukhari) Manakala, hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban pula menyatakan: “Bagi orang berkemampuan dan melewatkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka dihukum.
Kedua-dua hadis itu menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan. Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya. Ringkasnya, hukuman seperti disenarai hitamkan nama, dirampas pasportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang adalah dibenarkan oleh Islam.
Namun, untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada di antaranya yang sesuai, manakala tidak sebahagian lainnya.
Justeru itu, memandangkan lemahnya sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, maka ta’widh (ganti rugi) akan dikenakan.
Sebahagian ulama mengharuskan jumlah ganti rugi itu dibayar dalam bentuk wang, digunakan oleh bank dengan syarat ia adalah jumlah sebenar kerugian. Jadi, sebarang wang lebih daripada kerugian sebenar tidak boleh digunakan oleh bank-bank Islam. Manakala, sebahagian besar ulama lain berpendapat bahawa ta’widh yang dikenakan oleh bank-bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan bank Islam, malah mestilah diagihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan fakir saja. Bagi beberapa buah bank Islam, mereka lebih cenderung untuk menuruti keputusan majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Konsep yang digunakan adalah konsep sedekah duit (ta’widh) kepada fakir miskin adalah dibuat atas konsep ‘Iltizam at-tabarru’ yang disebut di dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Sebagaimana, kata Imam Malik: “Dan perkara yang baik (ma’ruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikan olehnya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya.
Ia bermakna semua pelanggan perlu memberikan komitmen jika mereka gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang dipersetujui, maka ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.
Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa institusi perbankan Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak hadkan penggunaan wang ta’widh kepada fakir miskin saja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka. Perkara ini mungkin disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing. Justeru, ia selesai dengan ijtihad Majlis Penasihat Syariah masing-masing.
Di kebanyakan bank Islam, Jabatan Syariah dan Majlis Penasihat Syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis berkenaan juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan itu. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta’widh akan terus masuk ke akaun khas seperti bagi tujuan sumbangan sebagai contohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada sumbangan kecuali selepas disahkan layak oleh majlis penasihat Syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.
Kesimpulannya, isu ini dibawa ke persidangan ilmuan Syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusannya menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja itu, maka diharuskan mengenakan denda ta’widh dengan syarat ia adalah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. Selain itu kadarnya adalah satu peratus saja dan ia tidak bersifat gabungan. Dan jauh lebih rendah berbanding kadar denda yang dikenakan oleh bank konvensional.
Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah gabungan iaitu penalti itu akan dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman dan jika penalti dikenakan lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalti. Ia amat pedih dan perit serta zalim dan menindas.
Juha memegang janji
by Zaini Sairi on Friday, December 31, 2010 at 1:21pm
Pada suatu hari aku(si Juha) telah bertelagah dengan isteriku tentang giliran untuk mengikat serta memberi makan kepada keldai kepunyaan kami di kandang. Akhirnya kami mengambil keputusan siapa yang mula bercakap selepas ini, maka dialah yang mesti pergi ke kandang untuk mengikat serta memberi makan keldai.
Maka aku dan isteriku terus duduk di dalam rumah, masing-masing mendiamkan diri tidak mahu bercakap. Setelah lebih kurang sejam lamanya isteriku pun menjadi bosan, lalu dia terus keluar dari rumah pergi ke salah sebuah rumah jiranku, jadi tinggallah aku sendirian. Tidak lama kemudian aku terdengar satu suara seakan-akan ada perompak masuk ke dalam rumahku. Maka aku pun nak melaungkan suara untuk meminta tolong, tiba-tiba aku teringatkan perjanjian dengan isteriku tadi, terus aku tak jadi nak menjerit. Aku pun terus duduk dan langsung tidak bergerak-gerak. Perompak tersebut terus masuk ke dalam bilikku, mulalah dia menggeledah sana sini, sebelum itu dia terpandang ke arahku dan dia menyangkakan bahawa aku diserang penyakit lumpuh sebab langsung tidak bergerak-gerak.
Lalu terus dia mengambil apa yang boleh diambilnya, apa saja yang dapat dicapai oleh tangannya dia memasukkan ke dalam karung yang dibawa. Kemudian sebelum perompak itu meninggalkan rumahku dia datang menghampiri aku lalu mengambil serban yang ada di kepalaku dan kemudian dia terus lari menghilangkan diri. Aku langsung tidak bergerak-gerak ataupun berkata apa-apa sebab berpegang pada janji aku dengan isteriku. Tidak lama selepas itu datang seorang anak jiran rumahku kerana isteriku telah menyuruhnya agar membawakan untukku semangkuk bubur supaya aku tidak mati kelaparan. Aku pun memberi isyarat kepada anak jiranku itu bahawa serbanku dan seluruh perkakas rumahku telah dicuri perompak.
Bila dia melihat aku memberi isyarat sedemikian, disangkanya aku berkata: “Tuangkanlah bubur itu ke atas kepalaku!” Habis basah kuyup aku dibuatnya. Tiba-tiba si budak tadi terus faham dengan apa yang telah aku isyaratkan kepadanya, tanpa berlengah terus dia berlari serta memanggil-manggil isteriku. Isteriku terus datang untuk melihat apa yang telah berlaku... bila dia terlihat terus dia berkata kepadaku dalam keadaan terperanjat serta marah: “Apa yang telah berlaku ke atasmu wahai Juha... suamiku?” Aku pun terus melompat bangun dari tempatku dan kukatakan kepadanya: “Ha!... kamu yang mula bercakap, jadi kamulah yang kena pergi ke kandang untuk mengikat dan memberi makan si keldai tu nampaknya, cepatlah pergi...! dan janganlah kamu berdegil lagi!”
Ahli Syurga,ahli Neraka
by Zaini Sairi on Tuesday, January 11, 2011 at 4:29pm
SIAPA mahu jadi calon neraka? Tiada siapa mahu. Soalnya, betul ke kita tidak mahu nak jadi calon neraka? Cuba teliti fenomena semasa yang melanda masyarakat kita. Pelbagai gejala negatif terjadi seperti buang bayi, rogol, samun dan derhaka kepada ibu bapa yang menjadi sajian media saban hari.
Aduh..! banyaknya yang tidak kena dengan manusia sekarang. Inilah yang dimaksudkan manusia seakan-akan menempah tiket ke neraka dengan melakukan perbuatan keji yang bukan saja bertentangan adat norma masyarakat, malah sangat dikutuk Allah. Segala peringatan Allah dan wasiat Rasulullah saw dipinggirkan begitu saja. Inilah kesannya apabila manusia tidak mengendahkan ajaran agama maka akan berlaku cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Siapakah dia calon neraka itu? Jawabnya sudah tentu manusia yang melanggar perintah Allah dan ingkar dengan suruhan-Nya.
Pertama ialah orang yang sombong atau takbur. Inilah sifat yang seharusnya dijauhi setiap mukmin agar terselamat daripada seksa Allah di akhirat kelak. Rasulullah ada berpesan: “Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya sebesar zarah perasaan takbur.’ (Hadis riwayat Muslim). Begitu juga Allah menegaskan: “Pada hari kiamat kamu lihat orang-orang yang berdusta terhadap ayat-ayat Allah, muka mereka hitam warnanya. Bukankah dalam neraka tempat tinggal orang- orang yang sombong.” (Surah Az-Zumar ayat 60). Ketahuilah dan kita kena insaf punca berlakunya sesuatu gejala negatif bermula dengan timbulnya perasaan sombong yang menguasai diri seseorang.
Ciri ahli neraka yang kedua ialah orang yang meninggalkan solat fardu. Solat sebagaimana yang kita ketahui adalah tiang agama dan lambang keimanan dan kedudukan sebagai seorang mukmin yang taat kepada Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Muddaththir ayat 42-43: “Apakah sebabnya masuk neraka? Sahut mereka itu: Kami tidak mengerjakan sembahyang.” Begitu juga dalam Surah Al-Ma’un ayat 4-6 Allah memberi amaran berikut: “Maka celakalah orang- orang yang mengerjakan sembahyang iaitu orang- orang yang melalaikan sembahyangnya.” Bukan setakat itu, Allah juga akan mengazab hamba- Nya yang menunaikan solat, tetapi tidak khusyuk. Ini bermakna solat yang kita dirikan mesti dalam piawaian standard kualiti yang bermutu tinggi. Jangan ingat apabila kita sudah melakukan solat maka solat itu terus diterima Allah. Allah akan perhatikan kedudukan hati kita semasa menunaikan solat itu. Seandainya kita terawang-awang memikirkan hal dunia semasa bersolat, bermakna kita lalai dan tidak khusyuk. Allah berfirman: “Sesungguhnya telah berjaya orang- orang yang beriman, orang- orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah Al-Mukminun ayat 1-2). Inilah satu jaminan Allah kepada kita dan prasyarat diterima solat kita. Jadi, jangan sekali-kali tinggalkan solat dan apabila mendirikan solat pula, jangan sekali-kali lalai dan tidak khusyuk.
Siapa lagi calon neraka? Manusia yang derhaka terhadap ibu bapanya antara golongan terlaknat dan pasti akan menerima balasan azab maha pedih di neraka kelak.
Dalam hal ini Rasulullah meninggalkan pesan kepada kita: “Jauhkan dirimu daripada menderhakai kedua-dua ibu bapamu, kerana sesungguhnya syurga itu mempunyai bau yang jaraknya seribu tahun dan tidak dapat mencium baunya orang yang derhaka kepada ibu bapanya. Yang lain ialah orang yang memutuskan hubungan silaturahim, orang tua yang berzina dan orang yang melabuhkan pakaiannya kerana kesombongan. (Hadis riwayat Ad-Dailami). Oleh itu, dapatlah dikatakan memelihara dan menjaga ibu bapa dengan baik seolah-olah seseorang hamba itu sedang menguak pintu rahmat dan menanti sambutan meriah ke syurga kelak.
Selain itu, Allah juga akan mendatangkan azab neraka kepada sesiapa yang berbuat zalim semasa hidupnya. Waspadalah! Maksud zalim di sini ialah melakukan kezaliman terhadap sesama manusia mahupun terhadap makhluk Allah yang lain. Juga Allah mengancam akan membenamkan pemimpin yang melakukan kezaliman kepada rakyat yang diperintahnya. Allah menegaskan dalam surah Maryam ayat 72: “Kemudian Kami selamatkan orang-orang bertakwa dan Kami biarkan orang-orang zalim dalam neraka dengan berlutut.” Allah menekankan lagi dalam Surah Asy-Syu’ara ayat 42 bermaksud: “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanya terhadap orang- orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela menceroboh di muka bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Manakala kepada pemimpin, Rasulullah ada mengatakan yang berikut: “Sesiapa saja pemimpin yang curang (zalim) terhadap rakyat, maka akan masuk neraka.” (Hadis riwayat At-Tabrani). Justeru, berwaspadalah dan ingatlah akan amaran Allah agar kita tidak termasuk dalam kategori manusia yang zalim.
Jika mahu disusun kategori sifat manusia yang bakal menepati calon neraka memang banyak. Cukuplah setakat yang dibincangkan di sini sebagai pedoman kita agar diri kita menjadi insan yang tebal iman dan kukuh takwanya. Insya-Allah, iman dan takwa sajalah bekalan kita di hadapan Allah nanti.
Subscribe to:
Posts (Atom)