Tuesday, October 2, 2012

MEMAHAMI MAKSUD BID‘AH HASANAH

 Sebelum kita menyelidiki maksud Bid‘ah Hasanah yang disebutkan dalam beberapa teks para ulama, terlebih dahulu kita wajar mendengar peringatan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berhubung dengan bid‘ah. Sabda baginda: ...فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا. فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kalian berpegang kepada sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ia dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama) kerana setiap yang diada-adakan itu adalah bid‘ah dan setiap bid‘ah adalah sesat.[1] Berdasarkan hadith ini, baginda menggunakan perkataan (كلّ) yang bermaksud semua. Berpandukan hadith ini dan kefahaman kita terhadap maksud bid‘ah seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Syatibi, maka bid‘ah dari segi istilah syarak tidak sepatutnya dibahagikan kepada hasanah(baik) dan saiyyiah (buruk). Yang benar kesemuanya adalahsaiyyah dan dhalalah (kesesatan). al-Imam Malik bin Anas rahimahullah (179H) berkata:[2] من ابتدع في الإسلام بدعة يراها حسنة فقد زعم أن محمدا صلى الله عليه وسلم خان الرسالة، لأن الله يقول: (اليَومَ أكْمَلْتُ لَكُم دِينَكُمْ) فما لم يكن يومئذ دينا فلا يكون اليوم دينا. Sesiapa yang membuat bid‘ah dalam Islam dan menganggapnya baik maka dia telah mendakwa Muhammadshallallahu ‘alaihi wasallam mengkhianati risalah. Ini kerana Allah telah berfirman: “Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu”. Apa yang pada hari tersebut tidak menjadi agama, maka dia tidak menjadi agama pada hari ini. Perbahasan Bid‘ah Hasanah Ada beberapa tokoh sarjana Islam, terutamanya tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i, yang telah menyebut dalam kitab-kitab mereka istilah Bid‘ah Hasanahatau yang hampir dengannya, seperti Bid‘ah Mahmudah (بدعة محمودة), bid‘ah wajib, bid‘ah sunat dan bid‘ah harus. Antara tokoh tersebut ialah al-Imam al-Syafi’i (204H), al-Imam al-‘Izz ‘Abd al-Salam (660H), al-Imam al-Nawawi (676H) dan al-Imam al-Sayuti (911H) rahimahumullah. Akan tetapi apabila diteliti ucapan-ucapan mereka, kita dapati bid‘ah yang mereka maksudkan merujuk kepada Bid‘ah Hasanah dari sudut bahasa, bukan bid‘ah dari segi syarak. Marilah kita mengkaji lebih lanjut ucapan-ucapan mereka: Perbahasan Ucapan al-Imam al-Syafi‘i rahimahullah(204H)[3] Berkata Ibn Rajab al-Hanbali rahimahullah (795H): al-Syafi‘i berkata, “Bid‘ah itu ada dua jenis: Bid‘ah Mahmudah(dipuji) dan Bid‘ah Mazmumah(مذمومة) (dikeji). Apa yang menepati sunnah maka ia dipuji. Apa yang menyanggahi sunnah maka ia dikeji.” (Ibn Rajab meneruskan) Maksud al-Syafi‘i rahimahullah ialah seperti yang kita sebutkan sebelum ini, bahawa Bid‘ah Mazmumah ialah apa yang tiada asal dari syariat untuk dirujuk kepadanya. Inilah bid‘ah pada istilah syarak. Adapun Bid‘ah Mahmudah ialah apa yang bertepatan dengan sunnah. Iaitu apa yang ada baginya asal untuk dirujuk kepadanya. Ia adalah bid‘ah dari segi bahasa, bukannya dari segi syarak kerana ia menepati sunnah. [4] Justeru itu ketika menghuraikan maksud pembahagian bid‘ah oleh al-Imam al-Syafi‘i, al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalanirahimahullah (852H) berkata: Maka bid‘ah pada ta’rifan syarak adalah dikeji. Ini berbeza dengan (maksud bid‘ah dari segi) bahasa di mana setiap yang diada-adakan tanpa sebarang contoh dinamakan bid‘ah sama ada dipuji ataupun dikeji.[5] Antara bukti al-Imam al-Syafi‘i tidak memaksudkan bid‘ah dalam ibadah sebagai Bid‘ah Mahmudah ialah bantahan beliau terhadap golongan yang berterusan dalam berzikir secara kuat selepas solat. Amalan ini dianggap Bid‘ah Hasanaholeh sesetengah pihak. Ketika mengulas hadith Ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh: إنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنَ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. Sesungguhnya mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai solat fardu berlaku pada zaman Nabi shallallahu 'alaihi wasallam… al-Imam al-Syafi’i dalam kitab utamanya al-Umm berkata:[6] وأختار للامام والمأموم أن يذكرا الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان الذكرَ إلا أن يكون إماما يُحِبُّ أن يتعلّم منه فيجهر حتى يُرى أنه قد تُعُلِّمَ منه ثم يُسِرّ. Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (mengajar bacaan-bacaan zikir tersebut), maka ketika itu dikuatkan zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari daripadanya, maka selepas itu hendaklah dia perlahankan. Adapun hadith Ibn ‘Abbas di atas, al-Imam al-Syafi’i menjelaskan seperti berikut: وأحسبه إنما جهر قليلا ليتعلّم الناس منه وذلك لأن عامة الروايات التي كتبناها مع هذا وغيرها ليس يذكر فيها بعد التسليم تَهليلٌ ولا تكبير، وقد يذكر أنه ذكر بعد الصلاة بما وصَفْتُ، ويذكر انصرافَه بلا ذكر، وذكرت أمُّ سلمةَ مُكْثَه ولم يذكر جهرا، وأحسبه لم يَمكُثْ إلاّ ليذكرَ ذكرا غير جهْرٍ. فإن قال قائل: ومثل ماذا؟ قلت: مثل أنه صلّى على المنبر يكون قيامُه وركوعُه عليه وتَقهْقَرَ حتى يسجدَ على الأرض، وأكثر عمره لم يصلّ عليه، ولكنه فيما أرى أحب أن يعلم من لم يكن يراه ممن بَعُد عنه كيف القيامُ والركوعُ والرفع. يُعلّمهم أن في ذلك كله سعة. وأستحبُّ أن يذكر الإمام الله شيئا في مجلسه قدر ما يَتقدم من انصرف من النساء قليلا كما قالت أم سلمة ثم يقوم وإن قام قبل ذلك أو جلس أطولَ من ذلك فلا شيء عليه، وللمأموم أن ينصرفَ إذا قضى الإمام السلامَ قبل قيام الإمام وأن يؤخر ذلك حتى ينصرف بعد انصرافِ الإمام أو معه أَحَبُّ إلي له. Aku berpendapat baginda menguatkan suara (zikir) hanya untuk seketika untuk orang ramai mempelajarinya daripada baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini[7] atau selainnya, tidak menyebut selepas salam terdapat tahlil [8] dan takbir. Kadang-kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadang-kala disebut baginda pergi tanpa zikir. Umm Salamah pula menyebut duduknya baginda[9] (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda berzikir secara kuat. Aku berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak kuat. Jika seseorang berkata: “Seperti apa?”[10]. Aku katakan, sepertimana baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana baginda berdiri dan rukuk di atasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda tidak solat di atasnya (mimbar). Akan tetapi aku berpendapat baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda dapat mengetahui bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua. Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya. Nyata sekali al-Imam al-Syafi’i rahimahullah tidak menamakan ini sebagai Bid‘ah Hasanah, sebaliknya beliau berusaha agar kita semua kekal dengan bentuk asal yang dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Seandainya maksud Bid‘ah Mahmudah yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i merangkumi perkara baru dalam cara beribadah yang dianggap baik, sudah tentu beliau akan memasukkan zikir secara kuat selepas solat dalam kategori Bid‘ah Mahmudah. Dengan itu tentu beliau juga tidak akan berusaha menafikannya. Ternyata bukan itu yang dimaksudkan oleh beliau rahimahullah.[11] Perbahasan Ucapan al-Imam ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salamrahimahullah (660H)[12] Dalam kitabnya Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam (قواعد الأحكام في مصالح الأنام) al-Imam ‘Izz Abd al-Salam rahimahullahmembahagikan bid‘ah kepada lima kategori:[13] 1. Bid‘ah Wajibah (bid‘ah wajib), 2. Bid‘ah Muharramah (bid‘ah yang diharamkan), 3. Bid‘ah Mandubah (bid‘ah yang disunatkan), 4. Bid‘ah Makruhah (bid‘ah makruh) dan 5. Bid‘ah Mubahah (bid‘ah yang diharuskan). Beliau mungkin orang yang paling awal membuat pembahagian ini. Sebenarnya faktor utama yang menyebabkan beliau menyebut bid‘ah dalam pembahagian yang sedemikian merujuk kepada ta’rif bid‘ah yang disebutnya pada awal buku tersebut yang merangkumi bid‘ah dari segi syarak dan bahasa. Buktinya beliau menyebut ta’rif bid‘ah dengan berkata:[14] البدعة فعل ما لم يعهَدْ في عصر رسول الله Bid‘ah adalah perbuatan yang tidak ada pada zaman Rasulullah. Ta’rif beliau begitu luas merangkumi perkara ibadah, cara baru dalam syarak dan urusan keduniaan yang tidak membabitkan penambahan syarak. Sedangkan bid‘ah dari segi syarak hanya tertumpu dalam persoalan cara taqarrub(menghampirkan diri kepada Allah melalui ibadah) dan perubahan atau penambahan pada jalan syarak. Ta’rif yang begitu luas tersebut menyebabkan beliau membuat pembahagian ke atas maksud bid‘ah sepertimana di atas. Oleh itu kita dapati ketika menyentuh tentang Bid‘ah Wajibah(bid‘ah wajib) beliau berkata: Bagi bid‘ah wajib itu beberapa contoh, salah satu daripadanya ialah menyibukkan diri dengan ilmu nahu yang dengannya difahami kalam Allah (firman Allah, iaitu al-Qur’an) dan kalam Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (sabda Rasulullah, iaitu hadis).[15] Berdasarkan penjelasan al-Imam al-Syatibi rahimahullahyang telah kita kaji sebelum ini, jelas bahawa ini tidak termasuk dalam bid‘ah dari segi syarak. Marilah kita ulangi apa yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi: Dengan ikatan ini maka terpisahlah (tidak dinamakan bid‘ah) segala yang jelas –walaupun bagi orang biasa – rekaan yang mempunyai kaitan dengan agama seperti ilmu nahu, saraf, mufradat bahasa, Usul al-Fiqh, Usul al-Din dan segala ilmu yang berkhidmat untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun tiada pada zaman yang awal tetapi asas-asasnya ada dalam syarak… Justeru itu tidak wajar sama sekali dinamakan ilmu nahu dan selainnya daripada ilmu lisan, ilmu usul atau apa yang menyerupainya yang terdiri daripada ilmu-ilmu yang berkhidmat untuk syariat sebagai bid‘ah. Sesiapa yang menamakannya bid‘ah, sama ada atas dasarmajaz (bahasa) seperti ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anhyang menamakan “bid‘ah” solat orang ramai pada malam-malam Ramadhan atau atas dasar kejahilan dalam membezakan sunnah dan bid‘ah, maka pendapatnya tidak boleh dikira dan dipegang.[16] Dengan itu perbuatan sesetengah pihak mempergunakan pembahagian ini kepada bid‘ah-bid‘ah yang tidak dimaksudkan oleh al-Imam ‘Izz ‘Abd al-Salam rahimahullah adalah penyelewengan dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai. Di samping itu perlu ditambah bahawa al-Imam al-Syatibi telah menolak pembahagian yang dibuat oleh al-Imam al-‘Izz ‘Abd al-Salam dengan katanya: Sesungguhnya pembahagian ini adalah sesuatu yang hanya direka, tidak ada dalil syar‘i yang menunjukkannya. Bahkan ia sendiri saling bercanggahan. Ini kerana hakikat bid‘ah ialah sesuatu yang tidak ditunjukkan oleh dalil syar‘i, sama ada daripada nas-nas syarak atau kaedah-kaedahnya. Kalau di sana ada dalil daripada syarak yang menunjukkan wajib, sunat, atau harus, maka itu bukanlah bid‘ah. Ia termasuk dalam keumuman amalan yang disuruh atau diberi pilihan. Mencampur aduk dalam menyenaraikan perkara-perkara tersebut adalah bid‘ah, iaitu mencampurkan antara perkara yang memiliki dalil yang menunjukkan kepada wajib, sunat atau harus dengan dua lagi (makruh dan haram) yang menyanggahinya.[17] Maksud al-Imam al-Syatibi, jika ada dalil yang menunjukkan sesuatu perkara itu adalah wajib atau sunat, maka tidak wajar ia dinamakan bid‘ah. Lebih tegas lagi, al-Imam al-Syatibi menganggap pembahagian itu sendiri adalah bid‘ah. Perbahasan Ucapan al-Imam al-Nawawi rahimahullah(676H)[18] al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya Tahzib al-Asma` wa al-Lughat (تهذيب الأسماء واللغات) mengulangi dan menyetujui pembahagian yang dibuat oleh al-Imam al-‘Izz ‘Abd al-Salam rahimahullah. Untuk menguatkannya, beliau menambah dalam tulisannya itu apa yang dibahagikan oleh al-Imam al-Syafi’irahimahullah seperti disebutkan sebelum ini.[19] Jawapan kita terhadap perkara ini sama seperti yang telah disebutkan di atas. Jika diteliti karya-karya al-Imam al-Nawawi rahimahullah, beliau tidak pernah menganggap Bid‘ah Hasanah sebagaimana yang disangka oleh orang ramai masa kini. Di sini dinyatakan beberapa contoh: Pertama: Di dalam kitabnya al-Azkar, al-Imam al-Nawawirahimahullah menyebut:[20] • Ketahui sesungguhnya yang betul lagi terpilih yang menjadi amalan al-Salaf al-Salih radhiallahu 'anhum ialah diam ketika mengiringi jenazah. Jangan diangkat suara dengan bacaan, zikir dan selainnya. Hikmahnya nyata, iaitu lebih menenangkan hati dan menghimpunkan fikiran mengenai apa yang berkaitan dengan jenazah. Itulah yang dituntut dalam keadaan tersebut. Inilah cara yang betul. Jangan kamu terpengaruh dengan banyaknya orang yang menyanggahinya. • Sesungguhnya Abu ‘Ali al-Fudail bin ‘Iyad rahimahullahpernah berkata: “Berpegang dengan jalan petunjuk, jangan engkau tewas disebabkan sedikit yang melaluinya. Jauhilah jalan yang sesat. Jangan engkau terpengaruh dengan banyaknya golongan yang rosak (yang melakukannya).” • …… Adapun apa yang dilakukan oleh golongan jahil di Damsyik, iaitu melanjutkan bacaan al-Quran dan bacaan yang lain ke atas jenazah dan bercakap perkara yang tiada kaitan, ini adalah haram dengan ijma’ ulama. Sesungguhnya aku telah jelaskan dalam bab Adab al-Qiraah tentang keburukannya,besar keharamannya dan kefasikannnya bagi sesiapa yang mampu mengingkarinya tetapi tidak mengingkarinya. Nyata bahawa al-Imam al-Nawawi rahimahullah tidak menamakan perbuatan mem-bacakan al-Qur’an ketika mengiringi jenazah sebagai Bid‘ah Hasanah. Maka perbuatan sesetengah pihak mengiringi jenazah dengan bacaan al-Fatihah setapak demi setapak sebanyak beberapa kali dibantah berdasar teks imam yang agung ini. Pun begitu ramai di kalangan mereka menamakannya Bid‘ah Hasanah. Kedua: Dalam Syarh Sahih Muslim,[21] al-Imam al-Nawawirahimahullah menyebut:[22] • Sesungguhnya yang menjadi sunnah bagi salam dalam solat ialah dengan berkata: السلام عليكم ورحمة الله sebelah kanan, السلام عليكم ورحمة الله sebelah kiri. Tidak disunatkan menambah وبركاته. Sekalipun ia ada disebut dalam hadith dhaif dan diisyaratkan oleh sebahagian ulama. Namun ia adalah satu bid‘ah kerana tidak ada hadith yang sahih (yang menganjurkannya). Bahkan yang sahih dalam hadith ini[23] dan selainnya ialah meninggalkan tambahan itu. Tidakkah penambahan “waBarakatuh” merupakan satu penambahan yang pada zahirnya nampak baik? Jika Bid‘ah Hasanah ialah melabelkan semua yang nampak baik pada andaian manusia, tentu al-Imam al-Nawawi menamakan ini sebagai Bid‘ah Mustahabbah (yang disunatkan). Ketiga: Ketika mensyarahkan hadis berikut: عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِي اللَّه عَنْه عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَ تَخْتَصُّوا لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ بِقِيَامٍ مِنْ بَيْنِ اللَّيَالِي وَلَا تَخُصُّوا يَوْمَ الْجُمُعَةِ بِصِيَامٍ مِنْ بَيْنِ الأَيَّامِ إِلاَّ أَنْ يَكُونَ فِي صَوْمٍ يَصُومُهُ أَحَدُكُمْ. Daripada Abi Hurairah radhiallahu 'anh, daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda: “Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan solat yang berbeza dengan malam-malam yang lain. Jangan kamu mengkhususkan hari Jumaat dengan puasa yang berbeza dengan hari-hari yang lain kecuali ia dalam (bilangan hari) puasa yang seseorang kamu berpuasa.”[24] al-Imam al-Nawawi rahimahullah berkata: [25] Pada hadith ini larangan yang nyata bagi mengkhususkan malam Jumaat dengan sesuatu solat yang tiada pada malam-malam yang lain dan puasa pada siangnya seperti yang telah dinyatakan. Sepakat para ulama akan kemakruhannya. Para ulama berhujah dengan hadith ini mengenai kesalahan solat bid‘ah yang dinamakanSolat al-Raghaib[26]. Semoga Allah memusnahkan pemalsu dan pereka solat ini. Ini kerana sesungguhnya ia adalah bid‘ah yang munkar daripada jenis bid‘ah yang sesat dan jahil. Padanya kemunkaran yang nyata. Sesungguhnya sejumlah para ulama telah mengarang karangan yang berharga sebegitu banyak dalam memburukkannya dan menghukum sesat orang menunaikan solat tersebut dan perekanya. Para ulama telah menyebut dalil-dalil keburukannya, kebatilannya dan kesesatan pembuatnya. Perhatikan bahawa al-Imam al-Nawawi rahimahullahtidak menamakan solat sunat yang tidak wujud dalam hadith sebagai Bid‘ah Hasanah. Bahkan beliau menghukum sebagai sesat. Ketika ditanya mengenai solat ini (Solat al-Raghaib),al-Imam al-Nawawi pernah berkata: Bid‘ah yang buruk lagi sangat munkar… jangan terpengaruh dengan ramai yang melakukannya di banyak negeri. Juga jangan terpengaruh disebabkan ia disebut dalam Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din.[27] Keempat: Dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (المجموع شرح المهذب), al-Imam al-Nawawi rahimahullah menyetujui tokoh-tokoh mazhab al-Syafi’i yang membantah jamuan atau kenduri sempena kematian. Katanya:[28] “Adapun menyediakan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai kepadanya adalah tidak diriwayatkan daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sedikit pun. Ia adalah bid‘ah yang tidak disukai.” al-Imam al-Nawawi tidak menamakan amalan penyediaan makanan oleh keluarga si mati dan menghimpunkan orang ramai padanya sebagai satu Bid‘ah Hasanah. Bahkan kitab-kitab mazhab al-Syafi’i begitu kuat menentang hal ini.[29] Perbahasan Ucapan al-Imam al-Sayuti rahimahullah(911H)[30] al-Imam al-Sayuti (السيوطي) telah menulis kitab khas berhubung dengan bid‘ah yang berjudul al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ (الأمر بالاتباع والنهي عن الابتداع) Di dalamnya beliau menyebut maksud Bid‘ah Hasanah, katanya: Bid‘ah Hasanah disepakati keharusan membuatnya. Juga disunatkan demi mengharapkan pahala bagi sesiapa yang baik niatnya. Iaitu setiap pembuatan bid‘ah yang bertepatan dengan kaidah-kaidah syarak tanpa menyanggahinya sedikit pun. Perbuatannya tidak menyebabkan larangan syarak. Ini seperti membina mimbar, benteng pertahanan, sekolah, rumah (singgahan) musafir dan sebagainya yang terdiri dari jenis-jenis kebaikan yang tidak ada pada zaman awal Islam. Ini kerana ia bertepatan dengan apa yang dibawa oleh syariat yang memerintahkan membuat yang ma’ruf, tolong menolong dalam kebaikan dan taqwa.[31] Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, apa yang disebut di atas tidak sepatutnya dinamakan bid‘ah sama sekali. Bahkan ia termasuk dalam perkara-perkara yang disuruh dalam agama. Namun persoalan yang lebih penting adalah, apakah al-Imam al-Sayuti rahimahullah akan menganggap sesetengah perbuatan yang dianggap Bid‘ah Hasanah pada hari ini sebagai satu Bid‘ah Hasanah? Untuk memastikan hal ini marilah kita lihat beberapa contoh: Pertama: Sebagaimana al-Imam al-Nawawi dan lain-lain tokoh, al-Imam al-Sayuti turut menolak solat sunat Raghaib. Beliau berkata:[32] • Ketahuilah olehmu, semoga Allah merahmatimu, sesungguhnya membesarkan hari tersebut dan malamnya (hari dan malam Jumaat pertama bulan Rejab) hanya perkara baru yang dibuat dalam Islam selepas 400 tahun. Diriwayatkan mengenainya hadith yang palsu dengan sepakat ulama yang mengandungi kelebihan berpuasa pada siangnya dan bersolat pada malamnya. Mereka menamakan solat Raghaib … Ketahuilah sesungguhnya solat yang bid‘ah ini menyanggahi kaedah-kaedah Islam dalam beberapa bentuk. Perhatikan bahawa al-Imam al-Sayuti rahimahullah tidak menamakan solat ini sebagai Bid‘ah Hasanah sekalipun ia disebut dalam beberapa kitab seperti Ihya ‘Ulum al-Din. Jika setiap yang dianggap baik dilabelkan sebagai Bid‘ah Hasanahmaka solat ini juga patut dianggap Bid‘ah Hasanah. Namun mengada-adakan perkara baru dalam cara ibadah bukanlahBid‘ah Hasanah. <="" p="" style="line-height: 24px; font-family: Verdana; "> Kedua: Berkata al-Imam al-Sayuti rahimahullah ketika membantah amalan Nisfu Sya’ban:[33] • Apa yang memuliakan bulan Sya’ban ialah amalan Rasulullahshallallahu 'alaihi wasallam berpuasa pada kebanyakan harinya. Hadith-hadith Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan athar para sahabat yang diriwayatkan menunjukkan ia malam yang ada kelebihan, (namun) tiada padanya solat yang khusus. Jelas bahawa solat sunat khusus bersempena Nisfu Sya’ban tidak dianggap oleh al-Imam al-Sayuti sebagai Bid‘ah Hasanah. Ketiga: Berkata al-Imam al-Sayuti rahimahullah berkenaan melafazkan niat sebelum solat:[34] • … Daripada bid‘ah (yang saiyyah) itu adalah, was-was dalam niat solat. Itu bukan daripada perbuatan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat baginda. Mereka tidak pernah melafaz sedikit pun niat solat melainkan hanya (terus) takbir. Allah telah berfirman: • لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ • “Sesungguhnya bagi kamu pada Rasulullah itu contoh yang baik.” [al-Ahzab 33:21] Walaupun sesetengah pihak ada yang berpendapat menyebut lafaz niat dalam solat sebagai Bid‘ah Hasanah, namun tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal ini tidak menganggapnya sedemikian. Ini kerana ia adalah sesuatu yang tidak dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallammahupun para sahabat baginda. Kesimpulan Perbincangan Perbincangan kita di atas secara jelas menunjukkan telah berlaku salah faham di kalangan masyarakat, termasuk di kalangan para penceramah dan agamawan, terhadap istilahBid‘ah Hasanah yang digunakan oleh para tokoh mazhab al-Syafi’i rahimahumullah. Apa yang dimaksudkan oleh para tokoh tersebut adalah jauh berbeza. Oleh itu adalah wajar untuk merujuk semula kepada apa yang ditulis oleh tokoh-tokoh ini. BAB 3: SALAH FAHAM TERHADAP UCAPAN ‘UMAR AL-KHATTAB DAN HADITH SUNNAH HASANAH. ________________________________________ [1] Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, berkata al-Tirmizi: “Hadis ini hasan sahih”. Juga diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Darimi dalam kitab Sunanmereka. Demikian juga oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi (Tahqiq al-Mustadrak, jld. 1, m.s. 288). [2] al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 35. [3] Beliau ialah Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Idris bin ‘Abbas al-Qurasyi. Lahir di Ghazzah, Palestin pada tahun 150H. Kata al-Imam Ahmad bin Hanbal: “Sesungguhnya Allah melimpahkan untuk manusia pada setiap permulaan seratus tahun orang yang mengajar mereka sunnah dan menafikan pembohongan terhadap Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam. Kami dapati pada seratus pertama ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz dan pada seratus kedua al-Syafi'i.” (al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, jld. 1, m.s. 157) [4] Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam (جامع العلوم والحكم), jld. 2, m.s. 52. [5] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld. 15, m.s. 179. [6] al-Syafi'i, Mausu‘at al-Imam al-Syafi'i: al-Umm (موسوعة الإمام الشافعي), jld. 1, m.s. 353. [7] Maksud al-Imam al-Syafi'i ialah apa yang beliau tulis dalam al-Umm tersebut dalam bab Kalam al-Imam wa Julusihi Ba’d al-Salam (كلام الإمام وجلوسه بعد السلام) yang mana beliau telah mengemukakan beberapa hadith yang menunjukkan baginda tidak menguatkan suara ketika zikir selepas solat. [8] Tahlil maksudnya ialah ucapan: لا إله إلا الله. [9] Maksud al-Imam al-Syafi'i ialah hadith riwayat Umm Salamah yang beliau sebutkan pada awal bab berkenaan: كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا سلم من صلاته قام النساء حين يقضي تسليمه ومكث النبي صلى الله عليه وسلم في مكانه يسيرا قال ابن شهاب فنرى مكثه ذلك والله أعلم لكي ينفذ النساء قبل أن يدركهن من انصرف من القوم Adalah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam apabila memberi salam dari solat maka kaum wanita akan bangun apabila baginda selesai memberi salam. Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pula duduk sekejap ditempatnya selepas solat. Kata Ibn Syihab: Kami berpendapat – Allah lebih mengetahui – tujuannya agar kaum wanita dapat pergi sebelum kaum lelaki keluar. Hadith ini turut diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, al-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain. [10] Maksudnya, apakah contoh perkara yang pernah baginda lakukan hanya seketika kemudian setelah orang ramai mempelajarinya baginda tinggalkan. al-Imam al-Syafi'i menyebut contoh ini untuk menyokong pendapat beliau bahawa zikir selepas solat secara kuat hanya dilakukan oleh baginda pada seketika sahaja, kemudian zikir baginda berzikir secara perlahan. [11] Oleh itu perlu dibetulkan salah faham sesetengah pihak yang mendakwa sesiapa yang tidak berzikir secara kuat selepas solat ialah orang-orang yang tidak mengikut Mazhab al-Syafi’i. Ternyata bahawa dakwaan mereka adalah salah, bahkan menunjukkan pihak yang mendakwa itu tidak meneliti kitab al-Imam al-Syafi'i. [12] Beliau lahir pada 577H atau 578H, bermazhab al-Syafi'i. Seorang tokoh ulama yang masyhur, pernah menjadi khatib masjid Damsyik dan pernah memegang jawatan ketua hakim Mesir. (Abu Taiyyib, Zail al-Taqyid, jld. 2, m.s. 128). [13] ‘Izz al-Din ‘Abd al-Salam, Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, jld. 2, m.s. 133. [14] Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, jld. 2, m.s. 133. [15] Qawa‘id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, jld. 2, m.s. 133. [16] al-Syatibi, al-I’tishom, m.s. 27-28. (nukilan berpisah) [17] al-I’tishom, m.s. 145-146. [18] al-Imam al-Nawawi ialah seorang tokoh besar mazhab al-Syafi’i. Namanya Yahya bin Syaraf, lahir pada 631H. Menulis pelbagai karangan yang bermanfaat. Antara yang lazim dijadikan buku pengajian di majlis-majlis tempatan ialahHadis 40 Imam Nawawi dan Riyadus Salihin. (al-Sayuti, Tabaqat al-Huffaz, jld. 1, m.s. 513) [19] al-Nawawi, Tahzib al-Asma` wa al-Lughat, jld. 3, m.s. 21. [20] al-Nawawi, al-Azkar, m.s. 225-226. (nukilan berpisah) [21]<="" span="">. Namun ia lebih dikenali dengan nama ringkas: شرح صحيح مسلم. [22] al-Nawawi, Syarh Shahih Muslim, jld. 1, m.s. 115. [23] Maksudnya hadith dalam Shahih Muslim yang tidak menyebut penambahan itu. [24] Rujuk Shahih Muslim – hadith no: 1144 (Kitab Puasa, Bab tegahan berpuasa hanya pada hari Jumaat). [25] al-Nawawi, Syarh Shahih Muslim, jld. 3, m.s. 211. [26] Iaitu solat yang dilakukan pada malam Jumaat pertama bulan Rejab. Sedih sekali amalan dan hadith palsu ini digalakkan dan disebut di dalam kitab Ihya ‘Ulum al-Din. al-Hafizd Zain al-Din al-‘Iraqi rahimahullah (806H) ketika mentakhrij kitabal-Ihya telah memberitahu kepalsuan hadith ini. (Ihya ‘Ulum al-Din bersama takhrijal-Hafizd al-‘Iraqi, jld. 1, m.s. 268). Semoga Allah mengampuni kita dan al-Imam al-Ghazali rahimahullah (505H). Kita bersangka baik kepadanya dengan menganggap beliau tidak mengetahui hadith ini palsu. Ini kerana beliau bukan ahli dalam bidang hadith seperti yang dinyatakan oleh tokoh-tokoh hadith yang lain. [27] Nukilan berpisah daripada buku ‘Ali Hasan ‘Ali, Kitab al-Ihya ‘Ulum al-Din fi al-Mizan, m.s. 21. [28] al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, jld. 5, m.s. 320. [29] Antaranya Ibn Naqib dalam Anwar al-Masalik (أنوار المسالك) menyebut: “Apa yang dilakukan oleh keluarga si mati dengan menyediakan makanan dan menghimpunkan manusia kepadanya (makanan) adalah bid‘ah”. (m.s. 182). [30] Beliau imam yang masyhur, ‘Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Misri. Bermazhab al-Syafi'i. Lahir pada 849H. Membesar di Kaherah. Pakar dalam berbagai ilmu. Pada umurnya 40 tahun, beliau mengasingkan diri dan menulis berbagai karya. (‘Umar Kahalah (كحالة), Mu’jam al-Muallifin (معجم المؤلفين), jld. 2, m.s. 82). [31] al-Sayuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’, m.s. 25. [32] al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’, m.s. 52 & 54 (nukilan berpisah) [33] al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’, m.s. 57. [34] al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’, m.s. 100.

Wednesday, September 26, 2012

PERSOALAN DALAM HUKUM HAKAM ISLAM


Akidah.Tauhid.Fekah
Bid'ah, Khilafiah & Maslahah
Soalan-soalan:
  1. Roh Keluar Dari Jasad Ketika Tidur
  2. Tahlil Arwah
  3. Hukum Penggunaan Alat Muzik
  4. Upah/Gaji dari Sumber yang Dilarang
  5. Hukum Klon Manusia, Binatang Dan Tumbuh-tumbuhan
  6. Hukum Makan Ayam Goreng Di KFC, A & W dan Sebagainya 
  7. Mengadakan Majlis Perkahwinan Berserta dengan Niat Aqiqah
  8. Masak Sotong dengan Cecair Hitam
  9. Pembedahan Guna Ayat Al-Quran 
  10. Perhubungan Negara Islam dengan Yahudi
  11. Hukum Mencampuradukkan Mazhab 
  12. Memberi Salam Kepada Bukan Islam
  13. Salam dari Bukan Islam
  14. Makan dan Minum Ketika Mayat di Rumah
  15. Tempat Beriktikaf
  16. Bekerja di Kilang Kondom
  17. Menyambut Maulidur Rasul (Hari Lahir Nasi SAW) 
  18. Muzik Menurut Pandangan Islam



1. Roh Keluar Dari Jasad Ketika Tidur
Soalan: 
Semasa tidur adakah benar roh telah keluar daripada jasad seseorang itu?
Fauziah ,KL
Jawapan: 
Di dalam ayat Al Quran ada dijelaskan tentang kedudukan roh ketika tidur ini, dan memang Allah SWT memegang roh orang yang mati dan ketika tidurnya, dan melepaskan kembali sampai waktu yang ditentukan.
Firman Allah SWT maksudnya: "Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan memegang jiwa orang yang belum mati di waktu tidurnya; maka Dia tahanlah jiwa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir". (Az Zumar ayat 42)


2. Tahlil Arwah 
Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan tahlil arwah. Adakah amalan ini dizaman Nabi SAW?
Abdullah Abu Bakar ,KL
Jawapan: 
Tidak ada satu dalil dan nash yang menunjukkan bahawa pada zaman Nabi ada melakukan tahlil arwah. Setengah ulama mengatakan amalan ini merupakan bid'ah. Namun setengahnya membolehkan kerana mereka menggunakan pendekatan hadis yang maksudnya. "Apabila mati anak Adam maka putuslah segala amalannya, kecuali tiga perkara, pertama sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya". Tahlil arwah mereka identikkan dengan doa anak yang soleh terhadap orang tuanya. Namun setengah ulama memberikan adab-adab tertentu dalam membaca tahlil ini, seperti tidak terlalu mengeraskan suara dan sebagainya. Wallahu A'lam.


3. Hukum Penggunaan Alat MuzikSoalan: 
Apakah hukum penggunaan alat-alat muzik bertali seperti gitar dan alat tiupan seperti serunai? 
Dan bagaimana pula dengan penggunaan alatan elektronik seperti keyboard yang boleh menghasilkan bunyi seperti gitar dan serunai?
Kamarul Hakim, Kota Bharu
Jawapan: 
Bagi pandangan kami alat-alat muzik ini tiada salahnya. Walaupun kita mendapati di dalam kitab-kitab fikah ada menentukan alat begitu dibolehkan dan begini diharamkan. Contohnya, gendang yang tertutup sebelah itu dibolehkan dan tertutup kedua-dua itu tidak dibolehkan. Kami tidak nampak yang benda itu menjadi haram. Yang  kami nampak ialah penggunaan alat tersebut. Apakah penggunaan alat tersebut melalaikan kita atau ia digunankan di waktu-waktu yang tidak semestinya. Itu hukumnya haram.
Umpamanya, dalam waktu kita mesti beribadah seperti solat, ketika itu kita bermain muzik. Walaupun hanya gendang yang kita main ataupun hanya belakang timba yang kita pukul tetapi oleh kerana penggunaannya di waktu-waktu ibadah ia menjadi haram. Jika semata-mata untuk hiburan seperti menyatakan kegembiraan umpamanya selepas mendapat anak, hari raya dan sebagainya tidak menjadi kesalahan. Tetapi bila kita menyanyi atau melalak 24 jam di tengah padang, atau pentas sampai tengah malam, itu sudah melalaikan dan menjadi pekerjaan yang tidak baik. Kerana di situ kita kumpulkan muda-mudi sehingga timbul pergaulan bebas. Jadi kalaupun muzik tidak haram, tetapi berada di dalam tempat, waktu dan keadaan yang salah akhirnya menjadi haram, atau mendorong kepada perbuatan haram, hukumnya tetap sama.
Yang paling penting cara menggunakan alat tersebut, bukan alat itu sendiri, sebab seni dan muzik itu merupakan fitrah yang dianugerahkan Allah. Namun fenomena dalam masyarakat ketika ini telah menggunakan muzik jauh dari batas yang dibolehkan oleh syarak. Wallahu A'lam.


4. Upah/Gaji dari Sumber yang DilarangSoalan: 
Saya adalah seorang guru peribadi yang sedang membimbing seorang pelajar yang beragama Hindu. Bapa kepada pelajar itu seringkali mendapat habuan dari berjudi. Sekiranya, keluarga itu membayar gaji saya dengan duit haram itu dan saya mengetahuinya, adakah gaji yang saya terima itu halal?
Mahadir, Singapura
Jawapan: 
Pekerjaan mengajar merupakan pekerjaan yang mulia, apatah lagi yang kita ajar itu bukan beragama Islam. Mungkin sahaja dengan keperibadian kita yang mulia dan dakwah kita yang menarik dapat menyebabkan pelajar kita itu memeluk Islam, jika niat yang mulia ini kita semaikan dalam usaha kita, maka Insya Allah, kita akan dimudahkan oleh Allah SWT. Menerima upah atau gaji dari usaha kita yang baik (mengajar) tidaklah salah dan dibolehkan. Mengenai upah yang anda terima dari bapa palajar tersebut tidaklah berdosa kerana sumber rezeki mereka bukan dari judi semata, tapi ada juga dari sumber pekerjaannya yang lain, sedangkan judi itu merupakan kebiasaan buruk yang bersifat kadang-kadang yang dilakukan oleh bapa pelajar tersebut.     Jadi jelaslah jika berjudi itu sebagai hobi bukan pekerjaannya, maka kita boleh menerima gaji dari mereka. Anggaplah bahawa upah yang kita terima itu merupakan hasil pekerjaannya bukan dari hasil hobi judinya. Namun jika timbul was-was dalam diri anda adalah lebih baik anda mencari pekerjaan yang lain atau mengajar di tempat yang sudah pasti sumber pendapatannya dari pekerjaan yang halal.


5. Hukum Klon Manusia, Binatang Dan Tumbuh-tumbuhanSoalan: 
Apakah sebenarnya klon? Apa pula hukumnya mengklonkan manusia dan binatang? Harap ustaz dapat menyelesaikan persoalan saya ini.
Izzat, Dungun
Jawapan: 
Klon ialah proses menghasil dan menyalin sesuatu makhluk yang baru dari spesis makhluk yang sama dengannya melalui proses pengembangan sel-sel tertentu melalui kaedah tertentu. Ia melibatkan klon manusia, binatang dan juga tumbuh-tumbuhan. Organisma hidup terbina daripada unit-unit sel. Begitu juga dengan badan manusia. Setiap sel itu 
mengandungi molekul-molekul asid nukleik deoksiri (DNA). Proses klon biri-biri umpamanya dilakukan dengan mengambil sel daripada biri-biri dewasa.
Sel yang lengkap dengan DNA ini kemudiannya diletakkan di dalam kultur iaitu bahan genetik sel dengan kurang makanan supaya ia berhenti membahagi dam mendormankan gen-gennya. Satu sel daripada telur biri-biri yang lain yang belum disenyawakan diambil. Semua ciri DNA dalam telur kedua ini dibuang. Dua sel ini kemudian diletakkan berdekatan dan diberi denyutan eletrik, menyebabkan kedua-duanya bergabung. Denyutan eletrik kedua memulakan pembahagian sel dan emberio yang terhasil setelah beberapa hari diletakkan ke dalam rahim biri-biri tumpang.
Proses mengandung berjalan seperti biasa dan seterusnya seekor biri-biri yang kandungan gennya sama seperti biri-biri pertama dihasilkan. Begitulah juga proses klon yang melibatkan manusia. Dalam Islam klon tumbuh-tumbuhan bagi meningkatkan lagi mutu pengeluaran pertanian tidak menjadi kesalahan, malah hukumnya adalah harus. Begitu juga klon binatang, asal sahaja tidak memudaratkan binatang tersebut. Tetapi klon manusia tidak dibenarkan sama sekali, malah hukumnya adalah haram kerana memudaratkan kehidupan manusia itu sendiri.
Dalam Islam setiap kemudaratan itu perlu dihilangkan. Ini kerana klon akan melibatkan berlakunya perubahan kepada struktur kehidupan manusia. Manusia membiak melalui proses beranak pinak. Ini adalah sunnah Allah yang telah ditetapkan kepada mereka. Merosakkan sunnah ini akan menimbulkan kemudaratan kepada manusia itu sendiri. Selain itu klon juga boleh menghapuskan sistem kekeluargaan dan menimbulkan masalah dalam penentuan keturunan bayi yang dilahirkan melalui cara ini. Al-Quran melarang kita mencampakkan diri kita kepada kemusnahan.


6. Hukum Makan Ayam Goreng Di KFC, A & W dan SebagainyaSoalan: 
Assalamualaikum. Saya nak tanya  pendapat ustaz tentang restoran -restoran ala barat contohnya KFC, McDonald, A&W dan sebagainya, adakah dijamin halal walaupun ada logo tanda halal dan apakah halal ayam yang disembelih dengan elektrik dan saya telah banyak mendengar bahawa ayam goreng yang dijual di KFC ada campuran gelatin dan penyembelihannya tidak mengikut syarat islam.?
Zue, Air Hitam
Jawapan: 
Di negara kita Malaysia, pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan logo halal ialah JAKIM. Dengan adanya tanda ini pada barangan makanan yang dijual di pasaran bererti an makanan itu memang halal di makan, kerana pihak JAKIM tidak akan mengeluarkan logo itu jika benar-benarnya ianya tidak halal samaada dari segi teknik pembuatannya mahupun dari segi teknik penyembelihannya.
Sehubungan dengan itu umat Islam di negara ini tidak perlu ragu dengan logo itu. Jika mereka ragu tentang logo itu adakah benar ianya dikeluarkan oleh JAKIM atau tidak, mereka boleh berhubung terus dengan JAKIM untuk mendapatkan pengesahan. Tetapi jika mereka merasa was-was dan syubhah, lebih baik ditinggalkan.Dalam sebuah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim menjelaskan perkara yang halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Manakala perkara yang berada di tengah-tengahnya adalah perkara syubhah.
Barangsiapa yang terlibat dengan syubhah bererti ia terlibat dengan perkara yang haram. Hadis ini dengan jelas menyuruh umat Islam supaya mengelakkan dari menghampirkan diri dengan perkara yang masih tidak jelas. Ayam yang disembelih dengan menggunakan kejutan eletrik adalah tidak sah dan tidak halal untuk dimakan, malah hukumnya menyamai bangkai sahaja. Begitu juga ayam goreng yang digoreng dengan bahan yang bercampur dengan gelatin adalah tidak halal memakannya.
Namun begitu pihak yang bertanya disarankan supaya memeriksa terlebih dahulu kebenaran maklumat itu. Kerana di dalam sebuah hadis menjelaskan mendengar berita semata-mata tidak sama dengan melihat sendiri. Kaedah mantiq pula ada menjelaskan: Hukuman ke atas sesuatu itu tidak boleh dilakukan kecuali setelah mendapat gambaran sebenar perkara tersebut. Jika sudah dipastikan maklumat ini betul, pihak yang bertanya hendaklah segera menghubungi Pihak JAKIM bagi urusan penyiasatan.
Tindakan ini diambil sebagai membendung kemungkaran. Orang yang melihat kemungkaran berlaku di hadapan matanya wajib menegahnya, malah hukumnya adalah fardu 'ain kepada beliau merubah dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah dengan lidah dan jika tidak mampu juga hendaklah dengan hati. Itu adalah selemah-lemah iman. Begitulah yang dijelaskan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim.


7. Mengadakan Majlis Perkahwinan Berserta dengan Niat Aqiqah
Soalan:
Saya inginkan kepastian mengenai satu kemusykilan iaitu satu majlis perkahwinan hendak dilangsungkan dan keterlanjuran kenduri itu satu ekor lembu telah disembelih dengan berniat aqiqah.  Saya telah difahamkan oleh seorang guru bahawa niat aqiqah itu tidak sah kerana majlis perkahwinan kita menerima sumbangan iaitu wang ringgit sedangkan aqiqah hendaklah ikhlas.  Yang menjadi kemusykilan saya ialah niat aqiqah itu memanglah ikhlas dan sumbangan yang diberikan oleh para jemputan itu adalah kerana majlis perkahwinan itu. Harap ustaz jelaskan. Terima kasih.
Ishak, KL
Jawapan: 
Seseorang yang mengadakan majlis perkahwinan, kemudian terlanjur majlis itu diadakan seekor lembu telah disembelih dengan niat aqiqah, perbuatan ini tidaklah menjadi kesalahan malah hukumnya adalah harus. Soal pemberian wang yang diberikan oleh orang-orang yang datang ke majlis perkahwinan itu sedangkan daging aqiqah tidak boleh menerima bayaran tidak timbul, kerana pemberian wang itu adalah atas nama hadiah dan tuannya pula ikhlas dalam berbuat demikian.
Dalam mazhab Asy-Syafi'i berbeza niat dalam sembelihan korban adalah diharuskan dan tidak menjadi kesalahan. Isu yang dibincangkan ini juga ada kaitannya dengan perbezaan niat. Hanya ulama' Hanafi sahaja yang menghukumkan tidak sah korban seseorang apabila  sesetengahnya bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah manakala sesetengah yang lain pula untuk mendapatkan dagingnya. Dalam Mazhab Hambali apabila bertembung hari penyembelihan korban dengan hari aqiqah, maka memadai seseorang itu berniat dengan salah satu darinya iaitu samaada untuk korban atau untuk aqiqah.
Kesimpulannya dalam isu di atas tidaklah menjadi kesalahan kepada pihak yang bertanya berbuat demikian. Namun begitu jika ia dapat mengadakan majlis perkahwinan dan majlis aqiqah secara berasingan adalah lebih baik. Kecuali jika melibatkan dua perkara yang wajib atau pun nazar . Umpamanya korban nazar bertembung dengan aqiqah nazar, dikala itu tidak boleh dibuat secara sekaligus, sebaliknya hendaklah secara berasingan.


8. Masak Sotong dengan Cecair HitamSoalan: 
Apakah hukumnya memakan sotong yang dimasak tanpa dibuang benda hitam dari dalam badannya?
Izzat, Dungun
Jawapan: 
Dalam surah Al-Maidah ayat 4 menjelaskan Allah SWT memerintahkan kita memakan makanan yang baik-baik yang dihalalkan olehNya. Para ulamak memutuskan semua binatang laut adalah halal dimakan kecuali yang mendatangkan mudarat kepada manusia. Mereka berhujjahkan dengan ayat 66 dari surah Al-Maidah yang menjelaskan Allah SWT menghalalkan binatang perburuan di laut manakala makanannya adalah halal untuk umat manusia.
Dalam madhhab Asy-Syafi'i binatang-binatang laut seperti sotong, udang dan ketam adalah halal di makan, kerana ia tidak memudaratkan badan dan termasuklah ke dalam umum ayat 66 di atas. Bagaimanapun cecair berwarna hitam yang ada pada sotong hendaklah dihilangkan dan dibersihkan kerana ia dikhuatiri boleh memudaratkan badan. Cecair ini hendaklah dibuang di saat sotong itu hendak dimasak. Jika dimasak juga bersamanya tidaklah menjadi masalah memakannya. Bagaimanapun hukumnya adalah makruh, kerana dibimbangi boleh mendatangkan kemudaratan kepada badan. Islam adalah agama yang mengutamakan kesejahteraan. Dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan " Tidak ada kemudaratan dan boleh memudaratkan dalam Islam".


9. Pembedahan Guna Ayat Al-Quran
Soalan  :

Isteri saya mengalami masalah dengan paru-paru sebelah kiri. Pakar paru-paru mencadangkan supaya diadakan pembedahan dan mencadangkan saya membuat pembedahan diluar negara kerana masalah seumpama ini jarang berlaku di Malaysia .
Kerana masalah kewangan saya berusaha juga mencari rawatan di Malaysia juga dan telah mendapatkan nasihat dari seorang doktor yang membuka klinik di Shah Alam. Beliau berkata boleh melakukan pembedahan namun pembedahan beliau tidak menggunakan bius dan pesakit sedar ketika pembedahan dilakukan. Beliau juga tidak melakukan jahitan pada tempat pembedahan sebaliknya menutup dengan minyak gamat dan ayat al-Quran.
Persoalan saya : Adakah kaedah rawatan seumpama ini dibenarkan dalam Islam?
NorAzhar, Selangor
Jawapan: 
Ajal dan maut di tangan Allah SWT, namun Islam menyuruh umatnya berikhtiar apabila sakit. Nabi sendiri pernah mengubati kaum keluarga, sahabat-sahabatnya dan masyarakat pada masa itu dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran serta ubat tradisional.
Untuk tujuan pengubatan kita dibenarkan menggunakan apa jua cara asalkan ia tidak mengandungi unsur-unsur syirik, penggunaan bahan yang haram, cara pengubatan yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar dan dalam suasana yang menimbulkan fitnah seperti berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan. Cuba pastikan kaedah rawatan yang akan dijalani oleh isteri saudara, andai tiada unsur-unsur yang disebutkan di atas maka ia diharuskan oleh Islam walaupun tanpa ubat bius dan jahitan.



10. Perhubungan Negara Islam dengan Yahudi
Soalan:

Apakah pandangan tuan dan pandangan Islam sendiri mengenai hubungan negara Islam dengan Israel dan pengumuman seseorang pemimpin yang beliau bukan musuh yahudi?
Mariam, Subang
Jawapan: 
Pada dasarnya Islam tidak membenarkan umatnya membuat sebarang hubungan dengan musuh-musuh Islam terutamanya orang Yahudi dan Kristian. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud: " Dan sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Kristian itu tidak sekali-sekali akan reda kepada kamu sehinggalah kamu mengikuti jejak mereka ". 
Namun hubungan luar diantara kerajaan Islam dengan kerajaan-kerajaan lain dibenarkan dengan maslahat tertentu walaupun dengan musuh-musuh Islam. Nabi Muhamad SAW sendiri pernah membuat perjanjian dengan orang Yahudi ketika beliau baru berhijrah ke Madinah disamping meminta bantuan dari beberapa kabilah musyrik untuk membantu beliau berperang melawan orang-orang musyrikin Mekah.
Selain dari itu  terdapat banyak lagi contoh-contoh perhubungan yang dibuat oleh kerajaan Islam dengan orang bukan Islam. Dalam suasana politik hari ini, kita tidak boleh tersalah langkah. Apa yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin kita tentu ada maslahat di sebaliknya oleh itu kita tidak boleh membuat sebarang tuduhan yang melulu kecuali jika terdapat bukti-bukti kukuh apa yang dilakukan oleh mereka adalah bertentangan dengan kehendak Islam.



11. Hukum Mencampuradukkan Mazhab
Soalan:

Boleh tak kita mencampuradukkan keempat empat mazhab, dalam lain perkataan kita mengikuti kesemua mazhab demi untuk keselesaan dan kemudahan. Rasullah ada bersabda yang menyuruh sahabat mengambil hukum yang termudah. 
Contohnya: Adalah batal wudhuk jika bersentuhan tangan laki dan perempuan dalam mazhab Shafi'e tetapi Mazhab Hanafi (tak salah saya) hanya batal sekiranya bersentuhan dengan nafsu?
Azizan, Melaka
Jawapan: 
Dalam memahami suruhan Allah SWT, masyarakat terbahagi kepada 4 golongan iaitu mujtahid mutlak, mujtahid mazhab, mujtahid fatwa dan muqallid. 3 kelompok pertama tadi ialah mereka yang mempunyai pengetahuan yang luas dan dapat menyelesaikan masalah agama dengan pemahaman tentang nas-nas Al-Quran dan hadis.
Mereka dibenarkan mengeluarkan fatwa dan mengikut pendapat yang lebih kukuh dalam kehidupan seharian. Adapun golongan keempat, mereka hanyalah orang awam yang mengetahui asas-asas penting tentang ajaran islam. Mereka diwajibkan meminta fatwa dari kelompok mujtahid jika berlaku masalah ketika mengerjakan suruhan Allah, jika tidak mereka boleh berpegang kepada salah satu dari mazhab yang masyhur ( orang yang berjaya membentuk satu-satu mazhab hanyalah mujtahid mutlak seperti imam Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali ).
Mengikut pendapat ulamak-ulamak yang masyhur, golongan muqallid tidak boleh mencampuradukkan mazhab-mazhab (atau dipanggil talfiq) mengikut kehendak mereka demi untuk keselesaan dan kemudahan selagi mereka tidak boleh membezakan bagaimana kaedah pengambilan hukum dibuat oleh setiap mujtahid mutlak serta memahami dalil-dalil yang digunakan.
Kecuali dalam keadaan tertentu seperti darurat dan sebagainya. Contohnya seperti bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan bukan muhrim, akan membatalkan wuduk mereka mengikut imam Shafie. Bagi pengikut-pengikut yang berpegang kepada Shafie hendaklah beramal dengan fatwanya kecuali jika dalam keadaan terdesak seperti ketika bertawaf di Kaabah, pada masa ini mereka boleh talfiq kepada mazhab lain seperti mazhab Hanafi yang mengatakan wuduk tidak batal.


12. Memberi Salam Kepada Bukan Islam
Soalan: 
Seorang yang bukan Islam telah datang bertanya kepada saya, apakah hukumnya seseorang yang beragama Islam memberi salam kepada orang yang bukan Islam? Ini adalah kerana setiap kali beliau menelefon sahabatnya yang beragama Islam, sekiranya yang mengangkatnya ibu kepada sahabat beliau sering memberi salam kepadanya. Saya memberitahu beliau agar tidak memjawab salam itu dan saya menerangkan kepadanya bahawa ucapan salam ini terbahagi kepada 3 iaitu Wajib, Sunat dan Haram dan lagi "Salam" itu adalah diantara 99 nama Allah. Saya mengharapkan agar pihak tuan dapat memberi pandangan dan hukum terhadap soalan saya ini.
Salleh, Gelugor
Jawapan: 
Salam disyariatkan kepada umat Islam sebagai tanda perkenalan antara mereka dan menyalahi cara bertegur sapa yang dilakukan oleh mereka yang tidak beriman kepada Allah dan rasulNya. Salam itu sendiri sebenarnya adalah doa. Ini bermakna jika setiap pagi dan petang kita menerima salam dari saudara seIslam dengan kita samada yang kita kenali mahupun yang tidak kita kenali, kita sudah didoakan rahmat yang banyak dari mereka.
Orang yang hidupnya dalam keadaan sentiasa didoakan oleh saudara seIslam dengannya bererti hidupnya adalah berkat. Islam menggariskan hukum memberi salam adalah sunat, tetapi menjawabnya adalah wajib berdasarkan nas dari Al-Quran sendiri. Memandangkan besar kelebihan yang terdapat pada salam itu, kita dilarang dari menyampaikannya kepada orang-orang yang bukan Islam. Malah jika orang yang bukan Islam memberi salam kepada kita, kita hendaklah menjawab : "Waalaikum" sahaja.
Namun begitu jika seseorang itu tersalah memberi salam kepada seseorang yang disangkanya adalah muslim, tetapi pada hakikatnya tidak begitu, hukumnya tidaklah berdosa, kerana ia dilakukan tanpa sengaja. Dalam sebuah hadis sahih menjelaskan, sesuatu perbuatan yang dilakukan tanpa sengaja tidak membuahkan sebarang dosa kepada pelakunya. Keadaan ini biasanya banyak berlaku kepada pengguna-pengguna telefon di rumah-rumah, padahal orang yang menelefon itu bukan Islam. Seeloknya hendaklah dipastikan terlebih dahulu adakah pemanggil itu Islam atau tidak.
Itulah cara terbaik untuk mengelakkan dari terlibat dengan perkara syubhah. Ini boleh dilakukan dengan mengecam suara pemanggil. Melalui suara ini dan gaya bahasa bercakap kita dapat mengetahui biasanya adakah ia Islam atau tidak.


13. Salam dari Bukan IslamSoalan: 
Bolehkah orang bukan Islam memberi salam kepada orang islam? 
Apakah perkataan atau kalimah yang patut kita jawab salam dari orang bukan islam?
Zamri, K Kinabalu
Jawapan: 
Tidak wajar kepada seseorang yang bukan Islam mengucapkan salam apabila bertemu dengan seseorang yang beragama Islam, kerana ucapan salam adalah ucapan dan syiar hidup orang-orang Islam, yang mana-mana sesiapa menyampaikannya kepada saudara seIslam dengannya ia beroleh pahala.
Ia juga merupakan doa seseorang Islam kepada saudara seIslam dengannya. Walau bagaimanapun jika seseorang yang bukan Islam memberi salam kepada seseorang Islam, maka orang yang beragama Islam itu 
hendaklah menjawab "Wa'alaikum" sahaja. Sila rujuk jawapan terdahulu pada soalan 12.


14. Makan dan Minum Ketika Mayat di Rumah
Soalan:

Apakah hukumnya jika kita makan atau minum ketika mayat masih berada di rumah?
Hasley, Samarahan
Jawapan: 
Dibolehkan makan dan minum bagi ahli keluarga si mati, bahkan dianjurkan bagi yang berziarah membawa makanan untuk mereka, kerana ketika itu keluarga tersebut sedang dalam keadaan duka cita. Menurut fuqaha' Hanbali disunatkan membuat makanan untuk keluarga si mati selama 3 malam kerana berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW yang maksudnya: "Buatlah makanan untuk keluarga Jaafar, kerana mereka sekarang sedang berdukacita". (HR. Abu Daud dan Tarmizi)
Menyediakan makanan untuk keluarga si mati adalah kerja kebajikan dan makruf, malah keluarga si mati hendaklah dipaksa memakan makanan yang disediakan itu, kerana perasaan dukacita yang melampaui batas sehingga meninggalkan keperluan makanan akan membuat mereka menjadi lemah. Tidak wajar disediakan makanan untuk orang yang berkumpul di rumah, malah makhruh berbuat demikian. Imam Ahmad menganggap perbuatan berkumpul di rumah si mati sebagai amalan jahiliyah. Menurut Imam Malik jika keluarga si mati berada dalam kekurangan diharamkan menyediakan makanan bagi orang yang datang.
Syeikh Ali Mahfuz menjelaskan, perbuatan yang dilakukan oleh masyarakat sekarang dengan membuat makanan untuk orang yang datang mengucapkan takziah dan berbelanja besar untuk mengadakan malam-malam kenduri kemudian diikuti kenduri untuk setiap malam Jumaat dan jamuan yang ke 40 hari adalah termasuk ke dalam bid'ah yang keji dan bercanggah dengan sunah Rasulullah SAW dan amalan salafussoleh.


15. Tempat Beriktikaf
Soalan: 
Apakah benar iktikaf hanya boleh dilakukan di masjid sahaja dan tidak boleh di surau?
Khairuddin, Kuantan
Jawapan: 
Iktikaf boleh dikerjakan baik di masjid, di surau atau mushalla, kerana semuanya merupakan tempat beribadah atau rumah Allah. Fungsi tempat-tempat ini sama saja iaitu sebagai tempat untuk sujud (masjid) atau sebagai tempat solat (mushalla) kepada Allah SWT.
Cuma saja di kalangan kita membezakan tempat ini lantaran masjid itu lebih besar daripada mushalla dan kerana di masjid tempat dilaksanakan solat Jumaat sedangkan di mushalla atau surau tidak melaksanakan solat Jumaat. Walaupun begitu pada asasnya kedua-duanya merupakan tempat menyembah Allah dan tergolong ke dalam rumah Allah yang membolehkan kita beriktikaf di dalamnya, insya Allah.


16. Bekerja di Kilang Kondom
Soalan: 
Sahabat ibu saya bekerja di salah sebuah kilang membuat kondom. Adakah rezeki yang diterimanya itu halal sekiranya dia tidak ada peluang untuk bekerja ditempat lain memandangkan usianya yang agak lanjut dan dia terpaksa menyara anak-anaknya yang masih bersekolah?
Jawapan: 
Pada asasnya salah satu tujuan kondom dibuat untuk memenuhi kemaslahatan manusia dalam mengatur hubungan suami isteri. Seperti mengatur jarak kehamilan atau mencegah kehamilan bagi isteri yang tidak mampu melakukan tugas untuk hamil keranakemudaratan terntentu. Jika tujuan ini tidak diubah, maka pembuatan kondom hukumnya harus atau boleh. Jika kebetulan kita bekerja di kilang tersebut sedangkan bahan membuat kondom itu bukan dari sesuatu yang najis maka halal rezeki yang kita perolehi melalui usaha kita tersebut. Wallahu 'alam.


17. Memakai Cincin Suasa
Soalan: 
Saya musykil dengan pemakaian cincin suasa bagi orang lelaki. Ada sesetengah ustaz kata boleh dan ada sesetengahnya kata tak boleh. Boleh tak ustaz jelaskan?
Zakaria, Kuala Terengganu
Jawapan: 
Bagi lelaki diharamkan memakai perhiasan dalam bentuk emas dan sutera.Selain daripada itu seperti perak dan suasa dibolehkan bagi kaum lelaki memakainya, sebab baginda Rasulullah SAW pernah memakai cincin yang terbuat daripada perak. Wallhu a'lam.



18. Menyambut Maulidur Rasul (Hari Lahir Nasi SAW)
Soalan: 
Bolehkah Maulidur Rasul diadakan dan apakah hukumnya?
Rahmat, KL
Jawapan: 
Menurut Imam As Sakhawi, sambutan maulid Nabi berlaku selepas kurun ke 3. Sejak itu umat Islam di seluruh kota dan bandar-bandar besar mengadakannya. Mereka bersedekah di malam harinya dengan berbagai sedekah, mereka mengambil berat dalam soal membaca maulid nabi. Ibnu Jawzi pula menegaskan diantara keistimewaan sambutan maulid nabi ini ialah beroleh keamanan kepada masyarkat dan negara disamping termakbul segala yang diimpikan.
Al Imam Sayuti dan Ibn Hajar Al Haithami berpendapat perayaan maulid nabi adalah bid'ah tetapi bid'ah hasanah. Al Imam ibnu Hajar berdalilkan dengan sabda Rasulullah SAW ketika tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu baginda bersabda: "Hari apa ini yang kamu sedang berpuasa untuknya ? Mereka menjawab: "Ini adalah hari yang agung, hari dimana Allah menyelamatkan Musa as. dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun dan kaumnya, lantas Musa as. berpuasa kerana bersyukur kepada Allah. Kami turut berpuasa. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Kami lebih berhak dan lebih awal mengukuti jejak langkah Musa as. daripada kamu". Lantas Rasulullah SAW berpuasa dan menyuruh umatnya berpuasa". (Riwayat Bukhari dan Muslim) Menurut Ibn Al Haj, Nabi SAW dan para salafussaleh meninggalkan sambutan maulid Nabi, sebagai menunjukkan rahmat terhadap umatnya dan belas kasihan baginda ke atas mereka. Nabi tidak berbuat demikian kerana takut diwajibkan ke atas umatnya.
Ibnu Hajar menjelaskan juga perayaan sambutan maulid dan pembacaan zikir-zikir sebagaimana yang dilakukan masyarkat kita sekarang, kebanyakannya mengandungi unsur-unsur kebaikan seperti bersedekah, berzikir, berselawat dan salam ke atas Rasulullah SAW. Tetapi ada juga sambutan itu mengandungi keburukan seperti antara kaum wanita dan lelaki asing (tidak muhrim) meraikan secara bersama. Maka jika ini yang terjadi membuat sambutan itu dilarang. Ini berdasarkan kaedah yang masyhur: "Membendung kefasadan (kemungkaran) hendaklah didahulukan dari mengutamakan kemaslahatan".
Orang yang yakin berlaku sesuatu keburukan dalam sambutan majlis Maulid Nabi yang diadakan, tetapi diadakan juga majlis tersebut, ia dikira telah melakukan maksiat. Wallhu A'lam.


19. Muzik Menurut Pandangan Islam
Soalan: 
Saya ingin tahu lebih lanjut tentang kedudukan muzik dalam Islam. Adakah ia diharamkan atau dibenarkan oleh Islam?
zsz, Shah Alam
Jawapan: 
Menurut Imam Syafei telah berkata dalam kitab Adabul Qadhi; sesungguhnya nyanyian adalah makruh menyerupai batil. Barangsiapa yang banyak menyanyi maka dia itu tergolong orang bodoh yang ditolak kesaksiannya. Kemudian mendengar nyanyian dari perempuan yang bukan muhrim hukumnya tidak boleh dalam keadaan apapun jua. Samada perempuan itu terdedah atau disebalik tabir, samada perempuan merdeka atau hamba.
Menurut Imam Syafei makruh menggunakan sejenis alat atau benda yang diketuk dengan kayu (at taqtagah) dan mengatakan bahawa alat itu dicipta oleh orang-orang zindiq yang melalaikan manusia daripada Al Quran. Menurut Imam Syafei lagi, dimakruhkan menurut hadis bermain muzik dengan nard lebih besar makruhnya permainan dengan alat yang lain.
Menurut Imam Abu Hanifah mendengar nyanyian itu termasuk sebahagian dari dosa. Mengenai alat muzik dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukahri ada disebutkan bahawa seperti gitar dan seruling dengan tegas dilarang oleh syarak.