Monday, December 21, 2009
Juha Membalas Dendam
Dec 22th, 2009 by pejinggahan blog
Suatu hari aku telah bersetuju dengan beberapa orang sahabatku iaitu untuk mengadakan satu pertandingan. Jika aku dapat mengalahkan mereka, maka mereka kena menjamu aku makan dengan satu hidangan yang sedap-sedap dan bermacam-macam makanan. Dan jika aku yang kalah maka akulah yang kena jamu mereka makan.
Dengan satu syarat iaitu aku di kehendaki duduk di satu kawasan yang lapang di waktu malam di musim sejuk dan mereka tidak akan mengawasi aku bermakna aku mesti amanah tidak boleh menipu. Dan ada syarat yang lebih penting lagi iaitu jangan ada langsung tanda-tanda bahawa pada malam itu aku menyalakan api untuk memanaskan badan aku dari kesejukan, ini yang paling penting. Aku pun bersetuju oleh kerana aku yakin bahawa aku akan mampu menyahut cabaran tersebut dan aku berjanji akan benar-benar menepati syarat-syarat sebagaimana yang telah ditentukan. Maka pada malam itu aku pun berbuat sebagaimana yang telah diminta kepadaku.
Kemudian pada keesokan paginya mereka pun beramai-ramai datang menemui aku dan meminta kepadaku agar menceritakan apa yang telah berlaku pada malam tadi dengan amanah dan jujur. Aku pun menceritakan kepada mereka: “Sesungguhnya pada malam tadi tidak ada yang aku dengar melainkan desiran dedaunan pokok yang ditiup angin. Selain itu aku juga mendengar tiupan angin yang agak kencang hingga menyebabkan aku merasakan kedinginan yang sangat dan juga aku terlihat dari kejauhan iaitu lebih kurang sebatu di depanku kelihatan api yang aku rasakan mungkin itu longgokan api.”
Tiba-tiba salah seorang dari mereka bangun dan berkata: “Bukankah kita dah berjanji jangan langsung kamu menyalakan api ataupun ada apa-apa unsur yang boleh mendatangkan kepanasan bagi kamu, bermakna api itu dapat memanaskan badan kamu dan kamu telah menyalahi syarat perjanjian kita!” Bangun seorang lagi, dia juga berkata, menguatkan kata-kata kawannya itu tadi dan akhirnya mereka memberi keputusan akulah yang kena menyediakan kepada mereka makanan yang sedap-sedap. Aku pun bersetuju tanpa banyak cakap. Maka tibalah pada hari yang ditetapkan iaitu mereka akan ke rumahku untuk menjamu selera, sesampai sahaja mereka aku pun mempersilakan mereka masuk.
Setelah agak lama mereka menunggu, perut-perut mereka pula telah berkeroncong, maka terus mereka bertanya kepadaku: “Wahai Juha…! mana dia hidangan, kami dah lama menunggu ni?” Oleh kerana mereka sudah bertanya, aku pun mengajak mereka ke kebun yang berada di belakang rumahku. Tiba-tiba mereka terkejut kerana melihat sebuah periuk yang besar tergantung di dahan salah satu pokok yang ada di kebunku. Lalu terus mereka bertanya: “Wahai Juha… apa ini?” Aku pun berkata di samping ingin mengenakan mereka: “Takkanlah kamu sudah lupa dulu kamu katakan padaku bahawa aku akan dapat memanaskan badanku yang kesejukan di musim dingin dengan longgokan api yang jauhnya sebatu, jadi sekarang ini di depan mata kamu semua, kamu menyaksikan sebuah periuk yang berisi makanan, takkanlah dia tak boleh masak dengan kepanasan api pelita yang ada di bawahnya yang jaraknya hanya sehasta. Jadi tunggulah sampai ia masak dulu!”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment