Thursday, January 26, 2012

Tetap orang Bawean!


MUSLIM DI BANDAR HO CHI MINH


MASYARAKAT keturunan Bawean bermastautin dan duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan warga Vietnam di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.
Namun, bilangan mereka hanyalah sekitar 500 keluarga dan hampir pupus identiti - tidak lagi boleh 'bercakap Boyan' dan mempertahankan budaya leluhur.Soalnya, bagaimana orang Bawean yang terkenal sebagai bangsa perantau boleh 'terkandas' di negara berfahaman komunis-sosialis itu?Menurut sejarah, pada zaman penjajahan Perancis di Vietnam, pemerintah kolonial telah membawa ratusan orang Indonesia asal Pulau Bawean menjadi buruh kebun kelapa di Vietnam dalam 1880-an.Pendatang Bawean itu jugalah yang dikatakan banyak membantu dalam pertanian kopi di negara itu.Namun, berpegang pada pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, masyarakat Bawean itu hidup beranak pinak dan berkahwin campur dengan orang Melayu keturunan Champa.Tidak seperti warga sesuku yang berhijrah ke Singapura dan Malaysia dan masih rapat dengan Pulau Bawean, suku Bawean di Vietnam hanya tinggal nama.Imam Masjid Al-Rahim, Haji Ally, 83 tahun, antara suku Bawean generasi kedua di Vietnam, sendiri tidak lagi lancar berbahasa Bawean.'Saya dah lupa bahasa Bawean apatah lagi orang-orang muda anak keturunan Bawean.'Macam mana dan dengan siapa nak cakap Bawean kerana orang Bawean yang mula-mula datang ke sini semuanya dah tiada. Lagipun, kami dah putus hubungan dengan Pulau Bawean dan tiada orang Bawean datang ke sini,' tambah ayah tiga anak itu yang tidak tahu asal kampungnya di Pulau Bawean.Haji Ally berkata beliau datang ke Vietnam bersama ayahnya pada 1939 ketika beliau berusia 11 tahun - waktu Perang Dunia Kedua bermula.Pada masa itu, Masjid Al-Rahim sudah pun dibina dan menjadi tumpuan masyarakat pendatang asal Bawean.Menurutnya, selain menggunakan bahasa Vietnam, pendatang dari Indonesia dan Malaysia kekal menggunakan bahasa Melayu hasil interaksi meluas dengan Melayu Champa yang ramai di Vietnam.Vietnam hanya membuka 'pintunya' kepada negara luar pada 1986 - selepas 10 tahun meraih kemenangan menentang Amerika Syarikat.Diminta menyingkap penghijrahannya ke negara tersebut, Haji Ally hanya berkata:'Saya dah lupa dan tak ingat kerana dah tua!'Beliau menetap di rumah bersebelahan dengan Masjid Al-Rahim.Menurutnya lagi, terdapat sekitar 24 keluarga asal Indonesia dan Malaysia yang menetap di sekitar masjid yang kini giat dibangunkan semula.Laporan media sebelum ini menyebut bahawa dianggarkan terdapat sekitar 500 keluarga keturunan Bawean di Bandar Ho Chi Minh yang mempunyai sekitar lima juta penduduk.Masyarakat Islam keseluruhannya berjumlah 5,000 orang, sebahagian besar Melayu Champa dan masjid pula sebanyak 16 buah.Masyarakat Melayu Champa merupakan pelarian daripada kerajaan Cham yang pernah memerintah sebahagian kawasan Vietnam selatan dan tengah.Pada 1471, kerajaan Cham ditewaskan kerajaan Vietnam dan kebanyakan penduduk Cham melarikan diri ke Kemboja.Isteri Haji Ally, Hajah Nikmah, 60-an tahun, adalah keturunan Melayu Champa.'Meskipun saya tidak boleh cakap Bawean tetapi saya tetap orang Bawean!' tegas Haji Ally.

No comments: