Semenjak berusia enam tahun saya telah bercita-cita untuk menziarahi Pulau Bawean, tanah kelahiran datuk moyang saya. Kedua-dua orang tua saya berketurunan Bawean dari Desa Kelompang Gubuk. Dari zaman kanak-kanak lagi, saya telah mendengar cerita-cerita tentang pulau yang penuh dengan mistik ini dari mereka yang bergelar ''Orang-orang Pondok'' termasuklah arwah datuk dan nenek saya. (Orang-orang pondok adalah mereka yang tinggal atau pernah tinggal di pondok-pondok Bawean Singapura.)
Arwah datuk dan nenek saya sering bercerita tentang keindahan Pulau Bawean.... Danau Kastoba, rusa Axil Kuhlii, pantai yang cantik, perairan yang jernih, desa yang permai dan pulau yang penuh dengan kehijauan. Setiap kali mereka bercerita, dari seraut air muka dan nada suara jelas menunjukkan kerinduan mereka terhadap kampung halaman yang ditinggalkan sekian lama. Dan di akhir setiap sesei bercerita, saya pula telah berjanji untuk pulang ke Pulau Bawean dan membawa mereka bersama. Arwah datuk dan nenek hanya tersenyum lebar apabila mendengar janji-janji saya itu.
Alhamdulillah, pada tahun 2010 cita-cita saya telah tercapai. Saya telah pulang ke Pulau Bawean selama lima hari semasa cuti sekolah pertengahan tahun. Sejurus sahaja kaki saya memijak bumi Bawean, saya merasa sangat puas kerana dapat menunaikan janji yang saya kota semasa kanak-kanak dahulu. Tambahan pula ibu yang disayangi ada berdiri di sebelah saya dengan senyuman yang lebar.
Ibu saya telah menggantikan tempat arwah datuk dan nenek yang telah lama meninggal dunia. Jelas terlukis kegembiraan yang tidak terhingga di seraut muka ibu apabila dia menemui pak cik bongsu kesayangannya. Dia juga sempat menziarahi pusara arwah datuk dan neneknya yang tidak pernah ditemui dan dikenali.
Melihat akan keindahan dan ketenangan suasana di Pulau Bawean, saya terkenang akan arwah datuk dan nenek yang selalu ceria apabila bercerita tentang pulau ini. Pemandangan-pemandangan di pulau kesayangan saya ini serupa dengan apa yang saya gambarkan sewaktu kanak-kanak dahulu. Seumur hidup saya melancong ke luar negeri, selain dari kota Makkah dan Madinah, tidak pernah saya merasakan ketenangan seperti yang saya rasakan di pulau santri ini. Saya berharap dapat pulang lagi ke Pulau Bawean di masa-masa hadapan. Insya'Allah.
Kisah Warga Bawean ini dipetik dari blogspot
No comments:
Post a Comment