Wednesday, March 28, 2012

Sistem Pajak Gadai Islam



Sistem pajak gadai konvensional telah mendominasi masyarakat Melayu Islam di negara kita sejak sekian lama terutama sejak pemerintahan British di Tanah Melayu. Tambahan pula, perniagaan pajak gadai juga banyak diusahakan oleh masyarakat Cina yang bukan Islam. Sehubungan dengan itu, orang Melayu Islam di negara ini yang memerlukan perkhidmatan mudah tunai telah berurusan dengan kedai-kedai pajak gadai konvensional yang kebanyakannya diusahakan oleh pengusaha-pengusaha Cina itu. Hal ini telah menyebabkan berlakunya transaksi perniagaan yang bertentangan dengan hukum syarak.

            Sistem pajak gadai konvensional adalah haram menurut ajaran Islam kerana ia mengandungi elemen-elemen yang diharamkan seperti riba, penindasan dan sebagainya. Dalam sistem pajak gadai konvensional, unsur riba amat jelas berlaku apabila ia diasaskan kepada perjanjian pinjaman yang dikaitkan dengan sesuatu ganjaran dan bukan pada gadaian itu sendiri. Oleh itu, pinjaman kewangan tersebut akan dikenakan ‘bunga’ atau faedah. Jelasnya, pajak gadai konvensional menjadikan ‘faedah’ sebagai sumber hasil kepada pemberi pinjaman dan ianya adalah riba yang diharamkan oleh Islam. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 275 bermaksud: “Orang yang makan (mengambil) riba  tidak dapat berdiri (di akhirat) melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila, keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba…”.    

 

            Selain itu, unsur penindasan dan ketidak-adilan berlaku dalam sistem pajak gadai konvensional apabila barang yang digadaikan akan lupus apabila ia tidak dapat ditebus. Ini menunjukkan berlaku pengambilan harta dengan secara tidak adil.  Sekiranya harta yang digadai itu dijual, maka lebihan harta jualan setelah dilunaskan hutang pemberi gadaian tidak akan dikembalikan kepada pemberi gadaian tersebut. Unsur penindasan seumpama ini jelas diharamkan di dalam ajaran Islam kerana ia melibatkan mengambil hak orang lain secara penindasan dan secara tidak adil. Ringkasnya, sistem pajak gadai konvensional adalah satu sistem yang tidak berteraskan prinsip syariah Islam dan ia adalah haram di sisi Islam. Maka, masyarakat Islam tiada pilihan melainkan wajib menerima sistem pajak gadai Islam yang dikenali sebagai ar-Rahnu.

Secara ringkasnya, sistem pajak gadai Islam memenuhi ciri-ciri berikut:

×  Bebas daripada  unsur riba, dan selari dengan kehendak dan hukum Islam.
×  Ianya berkonsepkan fardhu kifayah iaitu membantu sesama umat yang memerlukan pertolongan.
×  Meletakkan tanggungjawab sosial ke atas peminjam dan pemberi
pinjaman yang mana ianya hanya menggunakan konsep upah perniagaan yang dibenarkan oleh syarak.
×  Meningkatkan sikap amanah kepada pengusaha untuk menyimpan
barang gadaian tersebut dengan baik.
×  Transaksi perniagaan yang lebih telus iaitu dengan bersandarkan kepada harga
semasa barang gadaian (kebiasaannya barang gadaian ialah emas).
×  Bebas daripada unsur penindasan dan ketidak-adilan dengan memberikan lebihan harga jualan barang cagaran kepada pemberi gadaian setelah dilunaskan hutangnya.

Sistem Pajak Gadai Islam adalah sistem yang berteraskan kepada dasar dan prinsip tolong-menolong dan bantu-membantu antara satu sama lain yang sememangnya dianjurkan oleh ajaran Islam. Oleh yang demikian, tidak ada alasan lagi kepada masyarakat Islam untuk berurusan dengan skim pajak gadai konvensional, sebaliknya berurusan dengan skim pajak gadai Islam ar-Rahnu merupakan sesuatu yang wajib.

No comments: