Tuesday, April 24, 2012

Taharah- (Bersuci)


1. Definisi :

i) Dari segi bahasa : Suci dan bersih
ii) Dari segi istilah syarak : Suci dan bersih daripada najis atau hadas.
2. Taharah ialah anak kunci dan syarat sah salat.
3. Hukum taharah ialah WAJIB di atas tiap-tiap mukallaf lelaki dan perempuan.
4. Dalil naqli tentang suruhan bersuci adalah sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Anfal, ayat 11 yang bermaksud :
" Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan daripada langit untuk mensucikan kamu dengannya... "
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud :
" Agama islam itu diasaskan di atas kebersihan "
5. Tujuan taharah ialah bagi membolehkan seseorang itu menunaikan solat dan ibadah-ibadah yang lain.
6. Hikmah disuruh melakukan taharah ialah kerana semua ibadah khusus yang kita lakukan itu adalah perbuatan mengadap dan menyembah Allah Ta'ala. Oleh itu untuk melakukannya, maka wajiblah berada di dalam keadaan suci sebagai mengagungkan kebesaran Allah s.w.t. .
7. Faedah melakukan taharah ialah supaya badan menjadi bersih, sihat dan terjauh daripada penyakit serta mendatangkan kegembiraan kepada orang yang melaksanakannya.
8. Syarat wajib taharah ialah :
  • Islam
  • Berakal
  • Baligh
  • Masuk waktu ( Untuk mendirikan solat fardhu ).
  • Tidak lupa
  • Tidak dipaksa
  • Berhenti darah haid dan nifas
  • Ada air atau debu tanah yang suci.
  • Berdaya melakukannya mengikut kemampuan.
9. Taharah adalah sebagai bukti bahawa Islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian.
10. Ahli fiqh bersepakat mengatakan harus bersuci dengan air yang suci (mutlaq) sebagaimana firman Allah:
Maksudnya :
"Dialah yang meniupkan angin (sebagai) pembawa khabar gembira dekat sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); dan Kami turunkan dari langit air yang amat bersih "
11. Selain itu, harus menggunakan kertas atau batu ketika beristinja' dan tanah atau debu tanah sebagai ganti air bagi mengharuskan solat yang dikenali sebagai tayammum.
12. Jelasnya, alat–alat untuk bersuci itu ialah:
  • Air mutlaq, iaitu air semata-mata tanpa disertakan dengan sesuatu tambahan atau sesuatu sifat. Air mutlaq ini terbahagi kepada beberapa bahagian:
    • Air yang turun daripada langit. Ia terbahagi kepada tiga, iaitu air hujan, air salji yang menjadi cair dan air embun.
    • Air yang terbit daripada bumi. Ia terbahagi kepada empat, iaitu air yang terbit daripada mata air, air perigi, air sungai dan air laut.
  • Tanah, boleh menyucikan jika tidak digunakan untuk sesuatu fardhu dan tidak bercampur dengan sesuatu. Firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan berjunub), terkecuali sekadar berlalu sahaja, hingga kamu mandi. Dan jika kamu sakit atau dalam bermusafir atau kembali dari tempat buang air atau kamu telah menyentuh perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan tanah yang baik (suci); sapulah mukamu dan tanganmu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun. ” 
(Surah Al-Nisa’, 4:43)
3. Samak, iaitu membuang bahan-bahan lebihan yang melekat pada kulit dan yang merosakkannya sekira-kira jika direndam atau dibasuh dengan air sesudah disamak, maka kulit itu tetap tidak busuk atau rosak.
4. Takhallul, iaitu arak bertukar menjadi cuka tanpa dimasukkan sesuatu bahan ke dalamnya.

Pembahagian jenis Air

Air dari segi hukum terbahagi kepada tiga jenis, Iaitu:
ii) Dari segi istilah syarak : Suci dan bersih daripada najis atau hadas.
1. Air yang suci dan boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air Mutlaq:

  • Air yang suci lagi menyucikan ialah air mutlaq yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan oleh Allah s.w.t.
  • Air tersebut masih dikatakan air mutlaq walaupun ia sudah berubah disebabkan lama terbiar , disebabkan tanah, lumut dan tempat bertakung atau tempat mengalirnya mengandungi belerang . Hal ini kerana air itu sukar untuk dielakkan daripada perkara tersebut .
  • Dalil yang menunjukkan kesucian air mutlaq, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
  • Daripada Abu Hurairah r.a.h. katanya , seorang Badwi berdiri lalu terkencing di dalam masjid, kemudian para sahabat pergi mencegahnya . Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, biarkan dia dan curahkanlah di atas air kencingnya setimba air . Sesungguhnya kamu disuruh untuk mempermudahkan bukan menyusahkan
  • Perintah Rasulullah s.a.w. supaya menjiruskan air ke tempat air kencing tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa air tersebut mempunyai sifat menyucikan.
b) Air Musyammas:
  • iaitu air yang suci lagi menyucikan tetapi makruh menggunakannya.
  • Air yang suci lagi menyucikan yang lain tetapi makruh digunakan pada tubuh badan tidak pada pakaian.
  • Air Musyammas bermaksud air yang panas yang terdedah kepada cahaya matahari iaitu pada negeri-negeri yang beriklim panas yang mana ia boleh mendatangkan karat seperti besi, tin dan lain-lain yang mana ia memberi mudharat apabila terkena kulit atau tubuih badan menyebabkan ianya sopak, kusta dan sebagainya. Sebagaimana Sabda Rasullah s.a.w. yang bermaksud :-

    "Dari Aisyah sesungguhnya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari maka telah bersabda Rasullah s.a.w kepadanya janganlah engkau berbuat demikian wahai Aisyah sesungguhnya air yang dijemur itu dapat menimbulkan penyakit sopak." (Riwayat Baihaqi)
2. Air yang suci tetapi tidak boleh menyucikan benda lain. Ia terbahagi kepada dua:
a) Air Musta'amal:
Iaitu air yang suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain yang mana maksudnya dengan perkataan air itu boleh diminum tetapi tidak sah dipakai untuk menyucikan sesuatu.
  • Yang dikatakan air Musta'amal pada mengangkatkan hadas ialah basuh kali yang pertama pada mandi atau wudhu' yang wajib dan sudah bercerai daripada anggota.
  • Yang dikatakan air Musta'amal pada menghilangkan najis iaitu jika air itu tidak berubah dan tidak bertambah.
  • Air daripada pokok-pokok dan air buah-buahan seperti daripada pucuk kelapa yang dibuat nira atau akar-akar kayu.
Air yang berubah ada dua cara :-
  • Berubah dengan Taqdiri - Air yang berubah dengan Taqdiri iaitu air yang berubah hanya pada Taqdir sahaja yang tidak dapat dilihat akan perubahannya.
  • Berubah dengan Hissi - Air yang berubah pada Hissi iaitu berubah air itu dengan sesuatu yang dapat dilihat akan perubahannya.
- Cara mentaqdirkan hukum air yang bercampur dengan sesuatu yang sama rupanya dengan seperti air mawar yang telah hilang bau, rasa dan warnanya.
- pada bau hendaklah ditaqdirkan dengan bau kemenyan Arab.
- pada rasa hendaklah ditaqdirkan dengan rasa delima.
- pada warna hendaklah ditaqdirkan dengan warna anggur.
Jika berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air musta'amal dan jika tidak berubah dengan taqdir ini maka hukumnya air mutlak.
Air yang bercampur itu ada dua cara :-
  • Majawir
    Bercampur dengan cara Mujawir iaitu air yang berubah dengan sebab termasuk di dalamnya dengan sesuatu yang dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air termasuk di dalamnya sebatang kayu cendana dan kayu itu boleh dipisahkan daripada air tersebut, maka hukum air itu ialah air mutlak.
  • Mukhalit
    Bercampur dengan cara Mukhalit iaitu benda yang masuk ke dalam air itu tidak dapat dipisahkan daripada air, contohnya sebuah baldi yang penuh dengan air maka termasuk ke dalamnya nila maka dihukumnya air Musta'amal.
b) Air Muqayyad:
  • Air yang bercampur dengan sesuatu yang suci yang mengubah salah satu sifatnya (warna, rasa dan bau) menyebabkan ia tidak dipanggil air mutlaq lagi seperti air yang dicampur dengan madu, sirap dan lain-lain.
3. Air yang najis atau mutanajjis, iaitu air yang terkena benda najis. Ia terbahagi kepada dua:

a) Air yang sukatannya kurang dari dua kolah dan terkena benda najis kecuali yang dimaafkan, sama ada berubah sifat (warna, rasa dan bau) atau tidak.
b) Air yang sukatannya lebih dari dua kolah dan berubah sifat (warna, rasa dan bau) sama ada perubahan itu sedikit atau banyak.
  • Ukuran air dua kolah itu ialah sebagai berikut :-
    1. Kalau dikira dengan tin minyak tanah, maka air dua kolah itu adalah sebanyak 9 2/3 tin
    2. Kalau dikira dengan timbangan, maka berat air dua kolah itu adalah seberat 162.72 kg.
    3. Kalau dikira dengan ukuran tempat empat persegi, maka air dua kolah itu memerlukan tempat yang berukuran 60 x 60 cm.

Bersugi (bersiwak)

1. Bersugi atau bersiwak adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi
2. Bersugi hukumnya adalah sunat dan masanya ialah bila-bila masa tetapi masa yang paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan sembahyang , ketika hendak membaca Al-Quraan dan ketika berubah bau mulut.
3. Dihukumkan makruh bersugi apabila telah gelincir matahari ( masuk waktu Zohor ) bagi orang yang berpuasa , sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“ Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu disisi Allah s.w.t. itu lebih harum daripada kasturi “.
( Riwayat Muslim )
- Pada pendapat Imam Nawawi r.a.h bahawa tidak makruh bersugi bagi orang yang berpuasa sama ada telah gelincir matahari atau belum gelincir matahari.
4. Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan kesat seperti berus gigi , kayu arak ( siwak ) , rotan manggar kelapa dan lain-lain.
5. Hadith Rasulullah s.a.w. tentang bersugi :
1) Dari Aisyah r.a.h. “ Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya “.
( Riwayat Baihaqi )
2) Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi s.a.w. telah bersabda :
“ Kalau tidaklah akan menyusahkan umatku akan aku suruh
mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk “.
( Riwayat Ahmad )
6. Cara perlaksanaan bersugi hendaklah dengan tangan kanan dan dimulakan dengan sebelah kanan mulut dan terus dilakukan atas langit-langit mulut dengan perlahan-lahan serta ke atas gusi dan gigi.
7. Di antara kelebihan bersugi ialah :

1) Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“ Dua rakaat sembahyang dengan bersugi itu terlebih
baik pahalanya daripada tujuh puluh rakaat sembahyang
dengan tidak bersugi “.
( Riwayat Muslim ) 


2) Dapat menambahkan akal.
3) Dapat mencerahkan mata.
4) Melambatkan tumbuh uban .
5) Dapat menggandakan pahala.
6) Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal .
7. Sekiranya tidak dapat bersugi pada tiap-tiap waktu yang dituntuti hendaklah ia bersugi sekali dalam sehari.
8. Di antara sebab-sebab sembahyang orang yang bersugi itu lebih afdhal dan lebih besar fadhilatnya kerana ia akan mendatangkan lebih khusyuk sembahyangnya serta dapat memelihara pergaulan yang baik di dalam jemaahnya semasa sembahyang dengan bau mulut yang bersih dan harum serta cahaya gigi yang segar .

( Rujukan Kitab - Kitab Matla’al Badraian – Syeikh Daud Fattani )

Menyamak Kulit

1. Tujuan menyamak ialah untuk menyucikan kulit yang najis (bangkai).
2. Hukum menyamak kulit adalah harus.
3. Menyamak tidak tertentu kepada orang Islam sahaja bahkan orang kafir pun boleh menyamak asalkan ia mengikut cara yang dilakukan oleh orang Islam.
4. Hubungan menyamak kulit dengan kehidupan manusia:
  • Untuk menambahkan ekonomi bagi mereka yang melakukannya.
  • Untuk mengelakkan daripada pembaziran.
5. Hanya kulit sahaja yang boleh disamak, tidak boleh pada kuku, gigi dan tulang.
6. Takrif dan pengenalan bangkai :
  • Binatang yang halal dimakan yang mati tidak disembelih mengikut cara-cara Islam.
  • Binatang yang haram dimakan yang mati sama ada disembelih atau tidak, tetap ia menjadi bangkai.
7. Binatang-binatang yang mati termasuk dalam jumlah bangkai:-
  • Binatang yang disembelih dengan menggunakan tulang.
  • Binatang yang disembelih oleh orang Majusi (orang yang menyembah api)
  • Sembelihan orang-orang yang berihram (Ihram haji atau umrah)
8. Binatang yang tidak suci kulitnya walaupun disamak:
  • Babi
  • Anjing
  • Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan di antara anjing dan babi
  • Anak yang dilahirkan daripada perkahwinan binatang yang halal dengan anjing atau babi.
9. Alat-alat yang digunakan untuk menyamak kulit iaitu sesuatu yang tajam rasanya atau kelat seperti tawas, cuka, asam, limau dan sebagainya.
10. Cara menyamak kulit binatang :
  • Terlebih dahulu hendaklah disiat kulit binatang daripada anggota badan binatang (setelah disembelih)
  • Dicukur semua bulu-bulu dan dibersihkan segala urat-urat dan lendir-lendir daging dan lemak yang melekat pada kulit.
  • Kemudian direndam kulit itu dengan air yang bercampur dengan benda-benda yang menjadi alat penyamak sehingga tertanggal segala lemak-lemak daging dan lendir yang melekat di kulit tadi.
  • Kemudian diangkat dan dibasuh dengan air yang bersih dan dijemur.
11. Kulit yang disamak itu haram dimakan kerna boleh mendatangkan mudarat pada anggota badan manusia.

12. Maksud perkataan suci zahir dan batin pada menyamak kulit binatang:
  • Suci pada zahir itu ialah ialah sebelah luar tempat tumbuh bulu yang telah dicukur dan kulit itu melekat pada daging.
  • Suci pada batin ialah di sebelah dalam kulit yang bermakna kulit itu dibelah maka bekas belahan itu suci.
13. Bulu-bulu binatang yang telah disamak dan terlekat pada kulit kiranya sedikit adalah dimaafkan.
14. Hubungan menyamak kulit binatang dengan ilmu-ilmu yang lain:
  • Pada Ilmu Muamalat kulit yang telah disamak boleh dijualbeli.
  • Pada Ilmu Jinayat kulit yang telah disamak boleh dipotong tangan apabila dicuri.
  • Pada Ilmu Faraid kulit yang telah disamak boleh dipusakakan
15. Kesimpulan ialah menyamak kulit binatang adalah bertujuan menyucikan kulit.

( Kitab Matlaal Badrain - Syeikh Daud Fattani )

No comments: