Di
antara profesion yang mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru.
Kerana guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat.
Guru mengajar masyarakat menjadi pandai dan berilmu, disamping itu mendidik
anak-anak didik menjadi insan yang baik dan mampu berjasa kepada keluarga dan
masyarakatnya.
Dengan demikian, kita haruslah berterima kasih kepada mereka, kerena jasa
merekalah, maka kita hari ini pandai menulis, membaca dan mengira. Dalam
masa yang sama, kita juga patut bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memasukkan
ilmu ke dalam dada kita dengan perantaraan para guru. Ayat 3 hingga 5
surah al-`Alaq sudah cukup terang dan jalas mengenai perkara ini.
Nabi dan rasul diutuskan oleh Allah sebagai guru untuk mengajar manusia dengan
ilmu yang benar, iaitu ilmu yang Allah wahyukan kepada mereka. Mereka
mengajar ilmu tentang ketuhanan, tentang perkara yang baik dan buruk, mereka
mengajak manusia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan yang buruk.
Mereka mengajar manusia supaya ingat bahawa hidup di dunia ini hanya sementara
sahaja. Semua akan mati dan kemudian akan dihidupkan semula untuk diberi
balasan terhadap perbuatan mereka semasa hidup di dunia.
Guru-guru
pun demikian juga. Mereka mengajar manusia supaya pandai membaca dan
menulis. Mengenal Tuhan, faham maksud adanya semua benda yang dapat
dilihat, faham tingkah laku yang baik dan yang buruk. Mengajar manusia supaya mereka dapat menjalani
hidup dengan kerjaya masing-masing dan mendapat keredaan Allah s.w.t.
Mengajar manusia supaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat,
bangsa dan negara. Melihat kepada aspek-aspek inilah dikatakan guru
mewarisi tugas para nabi.
Dewasa ini tidak semua guru dapat menjalankan tugasnya seperti
contoh yang tersenarai di atas. Ramai guru yang tidak
dapat menunjukkan akhlak yang baik kepada muridnya. Terdapat sebahagian
kecil yang tidak mampu mendidik dan menjadi contoh yang baik kepada murid atau
pelajarnya supaya mesreka juga menjadi insan yang baik dan mulia mengikut
perspektif Islam.
Guru memainkan peranan yang besar dalam pendidikan ummah. Justeru itu
guru harus mempunyai sifat-sifat pemimpin yang baik. Guru juga adalah
pendidik, kaunselor, pendakwah, ikutan dan pemimpin. Semua tugas
ini dijalankan secara serentak dan memerlukan kemahiran dan pengalaman dalam
bidang tersebut.
Oleh kerana guru tidak memiliki pengalaman dan kemahiran dalan bidang-bidang
berkenaan, maka mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan
sempurna. Harus difahami bahawa setiap guru Islam bertanggungjawab dengan
Allah Taala untuk mendidik muridnya menjadi insan muslim yang dapat menjalani
hidupnya sebagai seoragn muslim yang sejati.
Justeru itu, setiap guru muslim mestilah seorang yang sentiasa taat perintah
Allah serta menjauhi larangannya. Guru yang meninggalkan solat lima
waktu, yang suka berjudi, menipu, tidak menutup aurat dan sebagainya, maka
mereka tidaklah menjadi uswah dan qudwah (contoh &
kepimpinan) yang patut diikut. Malah mereka tidak layak menjadi guru
untuk mendidik anak-anak orang Islam.
Guru yang tidak dapat mengawal nafsu dan bertindak mengikut perasaan juga tidak
layak menjadi guru, kerena dirinya tidak stabil, jadi bagaimana mungkin mereka
hendak mendidik orang supaya stabil. Kerana adanya guru yang berperibadi
demikian, maka ia melahirkan pelajar yang berperibadi demikian juga.
Kita sering melihat laporan akhbar dan mendengar berita radio dan TV tentang
salah laku di kalangan pelajar sekolah menengah, dan ini sedikit sebanyak ada
hubungan dengan peribadi guru. Kita tidak dapat hendak menafikan seratus
peratus walaupun kita tidak menerima seratus peratus maksud daripada pepatah
Melayu lama; ”Kalau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari”, kerana
ini ada kebenarannya.
Dalam hal ini. pada hemat penulis, ada dua perkara yang mungkin boleh dibuat
alasan. Pertama kerana sikap dan personaliti guru itu sendiri, dan kedua
kerana guru tidak dapat mendisiplinkan pelajar sebab diganggu oleh ibu bapa
sebab ada ibu bapa yang suka masuk campur dalam urusan pentadbiran sekolah.
Misalnya, apabila guru memarahi pelajar kerana sesuatu kesalahan, maka
datanglah ibu bapa menyerang guru berkenaan. Ini bererti ibu bapa itu sendiri
yang tidak mahu anaknya jadi baik, sebab ibu bapa itu sendiri sudah begitu
sikapnya. Jadi, kedua-dua perkara ini sama-sama menyumbang ke arah
pendidikan yang tidak berkesan. Jadi, guru harus mempunyai alternatif
lain untuk mendidik anak-anak, di samping membuang sifat-sifat negatif serta
peribadi yang tidak cocok dengan pendidikan Islam. Hanya dengan ini
sahajalah kita dapat memertabatkan kembali peranan guru sebagai pemimpin,
pendidik, kaunselor, pendakwah dan sebagainya.
Kes-kes renungan
Pada awal sesi 1998/1999, ramailah ibu bapa datang ke sekolah menghantar
anak-anak yang baru masuk tahun satu. Di sebuah sekolah di daerah Ampang,
pada suatu pagi seorang guru perempuan membaling buku murid kerana sesuatu
kesalahan, dan buku yang dibaling itu hampir terkena seorang ibu lain yang juga
menghantar anak ke kelas berkenaan. Kerana melihat sendiri peristiwa itu,
ibu berkenaan terus membawa anaknya keluar dan membuat pertukaran sekolah di
Pejabat Pendidikan Daerah.
Persoalannya ialah, apakah itu caranya mendidik anak yang baru masuk
sekolah? Apakah teori yang dipakai oleh guru berkenaan? Teori
Islamkah, Yahudikah atau hawa nafsu? Apakah dengan cara demikian budak
kecil itu akan jadi baik atau sebaliknya? Apakah ini satu teori psikologi
yang dipelajari di maktab dahulu?
Dalam kes lain dalam tahun 1999 guru hilangkan buku latihan murid dan memarahi
murid kerana menulis dalam buku lain dan terus merotan murid itu (tahun 2)
kerana kononnya menghilangkan buku tersebut, walaupun budak itu mengatakan buku
ada pada cikgu. Selepas beberapa hari buku itu terjumpa semula di tempat
guru berkenaan bersama sama dengan buku darjah lain.
Persoalannya: Apakah tindakan cikgu itu betul sebagai pendidik?
Teori apa yang cikgu berkenaan ikut? Apakah dengan cara itu murid akan
sayang kepada cikgu? Atau, selesaikah masalah itu dengan memukul murid?
Kalau mengikut teori Islam (lihat al-Zarnuji, al-Qabisi, Ibnu Shahnun dan
al-Ghazali) kesalahan murid yang boleh dipukul ialah apabila murid itu
melakukan kesalahan yang salah mengikut syariat Islam, seperi mencuri,
merosakkan hartabenda sekolah dan sebagainya.
Dalam kes ini guru yang melakukan kesalahan dan
guru itu yang pukul murid. Kalau mengikut teori barat sekali pun
kesalahan itu tidak boleh dipukul sebaliknya diselidiki dan dinasihat.
Tetapi inilah jenis guru yang ada dan mengajar anak-anak orang Islam hari
ini.
Kes serupa ini berlaku juga di sekolah menengah dalam tahun 1999, di mana guru
memerintakhan pelajarnya supaya menyalin semula nota yang telah ditulis di
dalam buku tebal. Pelajar tidak mahu menyalinnya kerana bukan dia yang
hilangkan buku itu, sebaliknya buku itu ada pada guru. Setelah dihukum
pelajar ini, tiba-tiba buku itu terjumpa semula, ia ada dalam simpanan
guru. Apakah kena dan adil tindakan guru itu? Adakah profesional
tindakannya?
Guru memberi kerja rumah dan tak dapat siap sebab banyak dan banyak guru lain
juga memberi kerja rumah. Apabila datang ke sekolah besoknya murid ini
dipukul sebab tidak siap kerja rumah. Bayangkan guru yang belajar
psikologi tetapi tidak tahu mengamalkan psikologi. Dan ini menyebabkan
murid tidak mahu datang ke sekolah apabila kerjanya tidak siap.
Persoalannya: Apakah tindakan guru ini kena
mengikut prinsip Islam. Jika guru mengambil tindakan tidak stabil dengan
kesalahan yang dilakukan oleh murid apa pula hukumnya di sisi Allah? Inilah
perkara Fardhu Ain yang patut dimengerti oleh para guru.
Satu yang lumrah bagi sekolah sekarang ialah
budaya khutbah. Apabila ada sahaja perhimpunan, maka guru/guru
besar/pengetua mengambil masa yang begitu lama untuk memberi khutbah. Pelajar
berdiri di tengah panas, malah ada yang pengsan (di sebuah sekolah menengah)
kerana lama berdiri.
Bukankah pengetua dan guru besar telah belajar
di maktab dan universiti tentang aturcara mengajar. Mesti ada objektif
dan isi. Tetapi apabila sampai masanya tidak digunakan teori yang
dipelajari. Mengapa tidak diamalkan ilmu yang dipelajari.
Bercakaplah apa yang perlu dengan ringkas dan padat. Tidak payahlah
berkhutbah begitu lama yang menyebabkan pendengarnya bosan.
Pernah penulis berada di sekolah (rendah dan
menengah) pada hari pertama persekolahan. Empat puluh minit guru besar
berucap dalam perhimpunan yang terdiri daripada murid lama, murid baru dan ibu
bapa. Kepada siap ucapan itu ditujukan? Ibubapakah, murid lamahkah,
atau murid baru? Jika kepada murid baru, fahamkah anak-anak
itu ucapan yang panjang lebar demikian? Jika murid lama, apa yang hendak
disampaikan? Jika ibu bapa, adakah ibu bapa memberi tumpuan dalam keadaan
yang bising dan hingar bangar itu?
Ini semua tidak perlu dan buang
masa. Beri sahaja arahan kepada guru-guru dan masuk kelas. Tahulah
guru itu apa yang hendak dilakukan. Dalam keadaan anak menangis, yang
bercakap dan berbagai-bagai lagi siapakah yang mendegar khutbah?
Di awal tahun 2000, penulis hadis di majlis pendaftaran
pelajar baru tingkatan satu di sebuah sekolah menengah. Waktu pendaftaran
pelajar ialah jam 8.30 pagi. Apabila ibu bapa datang diberi dengan
satu booklet mengenai peraturan sekolah. Ini baik dan
patut dipuji. Kemudian semua dijemput masuk dalam dewan.
Dewan tidak dapat menampung semua yang hadir.
Dengan demikian ramai yaaang berdiri di luar dewan. Kemudian seorang demi
seorang guru naik ke pentas memberi taklimat, sehingga jam 10.00 pagi belum
mendaftar. Ibu bapa yang berdiri di luar tidak mendengar isi ucpan,
sebaliknya bercakap dan melahirkan rasa tidak setuju cara itu dan membuag
masa. Kenapa jadi begini? Kerana tidak jelas objektif. Dengan
demikian tindakan orang profesional tidak profesional namanya.
Penulis ialah bekas seorang guru. Jadi,
dengan kejadian yang berlaku dewasa ini menyebabkan penulis merasa sedih kerana
ia melibatkan profesion penulis sendiri dan kerja ini ialah kerja yang
mulia dan banyak pahala. Jika dijalankan dengan baik, banyak pahala Allah
sediakan. Sebaliknya, jika dijalankan dengan cara yang tidak kena
menyebabkan semua pahala batal, malah dalam banyak hal mengundang dosa pula,
kerana kita melakukan kesalahan terhadap makhluk.
Jadi, bersempena dengan hari guru tahun ini,
marilah sama-sama kita para pendidik melakukan muhasabah.
Kita lihat apa yang telah kita lakukan selama ini sama ada ia sesuai
dengan Islam atau bertentangan. Jika ada yang sesuai, kita
bersyukur. Jika ada yang bertentangan, kita Islahkan.
Jika ada teguran, kita lihat. Jika ada kebenarannya kita ambil, jika
tidak ada tinggalkan. Hanya dengan cara ini sahaja kita dapat mencapai
kesejahteraan dunia dan akhirat. Siapa yang mengikut Islam, ia akan
berjaya dan mendapat keredaan Allah. Siapa yang tidak ikut, ia mungkin
berjaya di dunia, tetapi tiada keredaan Allah, manakala di akhirat belum tentu
akan berjaya.
No comments:
Post a Comment