THURSDAY, JUNE 21, 2012
Sedar tak sedar kita kini sudah berada pada bulan Syaaban . Masa berlalu
dirasakan begitu pantas sekali. Ini juga bermakna umur kita semakin meningkat
dan sewajarnya kita sentiasa bermuhasabah iaitu sudahkah kita melaksanakan
tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita dengan sempurna,
dan sudahkah kita bersedia dengan amalan-amalan yang akan dibawa menemui Allah?
Bulan Syaaban menyusul selepas daripada bulan Rejab. Manakala selepas itu,
akan datang pula bulan yang mengandungi penuh rahmat iaitu bulan Ramadhan al-Mubarak.
Peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa
yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis
ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah
dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:
"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit,
maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai,
oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah)
dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"
Selain daripada peristiwa tersebut, sesuatu yang sahih daripada nabi pada
bulan Syaaban ini ialah nabi saw memperbanyakkan berpuasa sunat sebagai
suatu persediaan menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak. Dalam
satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Aisyah r.a menyatakan bahawa:
"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda
akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga
kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak
pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan,
dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih
banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."
Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw,
wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada
lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan
(Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab
dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada
Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya
amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.''
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).
Justeru, daripada hadis-hadis di atas, kita mendapati bahawa nabi saw
amat mengambil berat untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Syaaban.
Di samping itu, sesiapa yang masih berhutang puasa pada Ramadhan yang
sebelumnya seperti wanita yang meninggalkan puasa kerana 'datang bulan',
maka inilah waktu yang sesuai untuk mempastikan agar segala 'hutang'
dilunaskan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Sebagai mencontohi
sunnah nabi, kita juga sewajarnya memperbanyakkan berpuasa sunat
pada bulan Syaaban yang mulia ini.
Di samping berpuasa, kita juga boleh memperbanyakkan amalan-amalan
sunat yang lain untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan
kepada Allah dan sebagai suatu persediaan untuk memperbanyakkan
lagi amalan pada bulan Ramadhan. Antara amalan yang boleh dilakukan
selain daripada berpuasa ialah membaca al-Quran, bertaubat, beristighfar,
berzikir, memperbanyakkan solat sunat, bersedekah bagi menolong
meringankan penderitaan fakir miskin atau anak-anak yatim, melakukan
amalan kebajikan, memohon keampunan untuk ibu-bapa, memohon restu
kehadrat Allah s.w.t. bagi keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di
akhirat dan sebagainya.
Persoalan seterusnya yang selalu timbul dalam masyarakat kita ialah amalan
pada malam nisfu syaaban. Menurut al-Qadhi Abu Bakar Ibnul Arabi ,
tidak ada satu hadis sahih mengenai keutamaan malam nisfu syaaban,
dan semua hadis mengenainya bertaraf dhaif yang tidak boleh diamalkan.
Walau bagaimanapun terdapat hadis mengenai fadilat malam nisfu syaaban
yang dianggap Hasan oleh sebahagian ulamak . Hadis tersebut ialah:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban,
maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik
(orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)
(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan
hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah.
Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan pada malam berkenaan.
Oleh itu, amalan-amalan tertentu pada malam tersebut
(sekiranya dianggap sebagai satu kemestian dan wajib seperti ‘mesti’
membaca Yasin sebanyak tiga kali, dan menunaikan solat-solat tertentu
sempena nisfu syaaban) adalah bukan ajaran Nabi s.a.w.
Inilah juga pendapat majoriti ulamak seperti Sayyid Sabiq,
Prof Mutawalli Sya'rawi, Dr Abdul Karim Zaidan dan sebagainya.
Oleh yang demikian, kita tidak boleh melakukan amalan-amalan
yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan
hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk
panjang umur pada malam nisfu syaaban.
Akan tetapi, ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh
melakukan amalan tertentu pada malam nisfu syaaban seperti
bacaan Yasin, sebaliknya amalan tersebut boleh diteruskan,
namun dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin
sebanyak 3 kali dan seumpamanya. Di samping itu, alangkah
baiknya juga kalau pada malam itu juga diisi dengan program
pengajian ilmu agar pemahaman terhadap ajaran Islam
semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Justeru, amalan-amalan sunat seperti membaca al-Quran,
berzikir, solat sunat, berpuasa dan yang seumpamanya
hendaklah dilaksanakan bukan sahaja pada malam nisfu syaaban,
akan tetapi kita hendaklah beristiqamah melaksanakan
amalan-amalan kebajikan tersebut pada bila-bila masa
sahaja siang ataupun malam. Sesungguhnya apabila kita
dapat melaksanakan sesuatu amalan dengan penuh keikhlasan
dan amalan tersebut bertepatan dengan hukum syara',
maka kita akan tergolong daripada umat Islam yang menuju
ke arah kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Perbanyakkanlah
amalan sunat di bulan Syaaban sebagai suatu persediaan
menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak!
No comments:
Post a Comment