Friday, June 22, 2012

Hikmah Sembelih binatang yang hendak di makan


Masa kecik dulu, aku selalu tertanya-tanya. Kenapa perlu sembelih ayam, lembu, kambing dan kerbau? Kesian bila tengok binatang tersebut di sembelih dan meronta-ronta selepas di sembelih. Tetapi Allah Maha Mengetahui segala sesuatu kerana Dialah yang menjadikan semua makhluk, oleh itu setiap perintah dan peraturanNya mesti mempunyai kebaikan dan hikmah disebaliknya. Sedangkan kita yang kurang ilmu tidak mengetahuinya.
Sembelihan haiwan ternakan yang diwajibkan dalam Islam, walaupun nampak kejam dari kaca mata orang barat kerana kita menggunakan pisau yang tajam untuk menyembelih leher haiwan secara terus, tapi ternyata ia mempunyai banyak kebaikan dan menghasilkan daging yang lebih selamat untuk dimakan berbanding dengan cara yang diamalkan oleh orang barat yang membuatkan haiwan pengsan dengan kejutan elektrik atau ubat pelali terlebih dahulu.
Cara sembelihan Islam ialah dengan memotong vena jugular, arteri karotid, trakea dan esofagus supaya darah dapat dikeluarkan dengan cepat dan banyak sekali. Orang barat mendakwa cara sembelihan mereka dapat mengurangkan rasa kesakitan binatang. Walau bagaimanapun, dakwaan mereka ini ternyata salah berdasarkan kepada hasil kajian perbandingan kedua-dua cara sembelihan yang dijalankan secara saintifik di Jerman.
Hasil kajian perbandingan ini menunjukkan:
1. Cara sembelihan Islam menghasilkan daging yang bersih daripada darah kerana semua darah disalurkan keluar dengan cepat, manakala cara sembelihan barat menyebabkan terdapat darah beku di dalam daging sebanyak 45% yang mana ini adalah berbahaya apabila dimakan, terutamanya kanak-kanak.
2. Cara sembelihan Islam, pada 3 saat pertama, haiwan yang disembelih tidak merasa sakit kerana lehernya dihiris dengan cepat menggunakan pisau yang tajam.
3. Pada 3 saat berikutnya, haiwan yang disembelih tidak sedarkan diri kerana semua darah keluar dengan cepat dari badan.
4. Selepas 6 saat ini, haiwan yang disembelih tidak merasa sakit langsung kerana hampir semua darah telah keluar dari badan. Dalam masa yang sama, jantung masih berdenyut lagi, dan dengan denyutan ini darah yang berbaki ditolak keluar lagi dari badan, dan ini menghasilkan daging yang bersih daripada darah dan ia selamat untuk pengguna. Sebaliknya, cara sembelihan barat menyebabkan haiwan berasa sakit kerana proses kematiannya mengambil masa yang lebih lama dan darah sempat membeku di dalam daging.
Begitulah kelebihan cara sembelihan Islam yang diamalkan. Dengan hasil kajian ini, maka tertolaklah dakwaan barat bahawa cara sembelihan adalah kejam kepada haiwan, walhal cara sembelihan mereka lebih kejam kerana menyakitkan haiwan yang disembelih.

No comments: