Tuesday, January 18, 2011

Ahli Syurga,ahli Neraka by Zaini Sairi on Tuesday, January 11, 2011 at 4:29pm SIAPA mahu jadi calon neraka? Tiada siapa mahu. Soalnya, betul ke kita tidak mahu nak jadi calon neraka? Cuba teliti fenomena semasa yang melanda masyarakat kita. Pelbagai gejala negatif terjadi seperti buang bayi, rogol, samun dan derhaka kepada ibu bapa yang menjadi sajian media saban hari. Aduh..! banyaknya yang tidak kena dengan manusia sekarang. Inilah yang dimaksudkan manusia seakan-akan menempah tiket ke neraka dengan melakukan perbuatan keji yang bukan saja bertentangan adat norma masyarakat, malah sangat dikutuk Allah. Segala peringatan Allah dan wasiat Rasulullah saw dipinggirkan begitu saja. Inilah kesannya apabila manusia tidak mengendahkan ajaran agama maka akan berlaku cara hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam. Siapakah dia calon neraka itu? Jawabnya sudah tentu manusia yang melanggar perintah Allah dan ingkar dengan suruhan-Nya. Pertama ialah orang yang sombong atau takbur. Inilah sifat yang seharusnya dijauhi setiap mukmin agar terselamat daripada seksa Allah di akhirat kelak. Rasulullah ada berpesan: “Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya sebesar zarah perasaan takbur.’ (Hadis riwayat Muslim). Begitu juga Allah menegaskan: “Pada hari kiamat kamu lihat orang-orang yang berdusta terhadap ayat-ayat Allah, muka mereka hitam warnanya. Bukankah dalam neraka tempat tinggal orang- orang yang sombong.” (Surah Az-Zumar ayat 60). Ketahuilah dan kita kena insaf punca berlakunya sesuatu gejala negatif bermula dengan timbulnya perasaan sombong yang menguasai diri seseorang. Ciri ahli neraka yang kedua ialah orang yang meninggalkan solat fardu. Solat sebagaimana yang kita ketahui adalah tiang agama dan lambang keimanan dan kedudukan sebagai seorang mukmin yang taat kepada Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Muddaththir ayat 42-43: “Apakah sebabnya masuk neraka? Sahut mereka itu: Kami tidak mengerjakan sembahyang.” Begitu juga dalam Surah Al-Ma’un ayat 4-6 Allah memberi amaran berikut: “Maka celakalah orang- orang yang mengerjakan sembahyang iaitu orang- orang yang melalaikan sembahyangnya.” Bukan setakat itu, Allah juga akan mengazab hamba- Nya yang menunaikan solat, tetapi tidak khusyuk. Ini bermakna solat yang kita dirikan mesti dalam piawaian standard kualiti yang bermutu tinggi. Jangan ingat apabila kita sudah melakukan solat maka solat itu terus diterima Allah. Allah akan perhatikan kedudukan hati kita semasa menunaikan solat itu. Seandainya kita terawang-awang memikirkan hal dunia semasa bersolat, bermakna kita lalai dan tidak khusyuk. Allah berfirman: “Sesungguhnya telah berjaya orang- orang yang beriman, orang- orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah Al-Mukminun ayat 1-2). Inilah satu jaminan Allah kepada kita dan prasyarat diterima solat kita. Jadi, jangan sekali-kali tinggalkan solat dan apabila mendirikan solat pula, jangan sekali-kali lalai dan tidak khusyuk. Siapa lagi calon neraka? Manusia yang derhaka terhadap ibu bapanya antara golongan terlaknat dan pasti akan menerima balasan azab maha pedih di neraka kelak. Dalam hal ini Rasulullah meninggalkan pesan kepada kita: “Jauhkan dirimu daripada menderhakai kedua-dua ibu bapamu, kerana sesungguhnya syurga itu mempunyai bau yang jaraknya seribu tahun dan tidak dapat mencium baunya orang yang derhaka kepada ibu bapanya. Yang lain ialah orang yang memutuskan hubungan silaturahim, orang tua yang berzina dan orang yang melabuhkan pakaiannya kerana kesombongan. (Hadis riwayat Ad-Dailami). Oleh itu, dapatlah dikatakan memelihara dan menjaga ibu bapa dengan baik seolah-olah seseorang hamba itu sedang menguak pintu rahmat dan menanti sambutan meriah ke syurga kelak. Selain itu, Allah juga akan mendatangkan azab neraka kepada sesiapa yang berbuat zalim semasa hidupnya. Waspadalah! Maksud zalim di sini ialah melakukan kezaliman terhadap sesama manusia mahupun terhadap makhluk Allah yang lain. Juga Allah mengancam akan membenamkan pemimpin yang melakukan kezaliman kepada rakyat yang diperintahnya. Allah menegaskan dalam surah Maryam ayat 72: “Kemudian Kami selamatkan orang-orang bertakwa dan Kami biarkan orang-orang zalim dalam neraka dengan berlutut.” Allah menekankan lagi dalam Surah Asy-Syu’ara ayat 42 bermaksud: “Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanya terhadap orang- orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela menceroboh di muka bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” Manakala kepada pemimpin, Rasulullah ada mengatakan yang berikut: “Sesiapa saja pemimpin yang curang (zalim) terhadap rakyat, maka akan masuk neraka.” (Hadis riwayat At-Tabrani). Justeru, berwaspadalah dan ingatlah akan amaran Allah agar kita tidak termasuk dalam kategori manusia yang zalim. Jika mahu disusun kategori sifat manusia yang bakal menepati calon neraka memang banyak. Cukuplah setakat yang dibincangkan di sini sebagai pedoman kita agar diri kita menjadi insan yang tebal iman dan kukuh takwanya. Insya-Allah, iman dan takwa sajalah bekalan kita di hadapan Allah nanti.

No comments: