Tuesday, April 9, 2013

Aurat Ketika Menjemur Pakaian



Apakah hukum membuka aurat bagi seseorang wanita ketika menjemur pakaian di ampaian?

Jawapan:

Aurat ialah sesuatu yang wajib ditutup ketika berhadapan dengan orang yang bukan mahram.Sempadan menutup aurat bagi lelaki ialah di antara pusat dan lutut. Manakala bagi perempuan ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Sempadan aurat seseorang itu apabila berada di hadapan orang yang bukan mahram ketika berada di luar solat adalah sama seperti keadaan auratnya ketika berada dalam solat. Akan tetapi sesuatu yang amat menyedihkan berlaku dalam masyarakat kita ialah apabila sebilangan umat Islam hanya menutup aurat di dalam solatnya sahaja, tetapi apabila selesai menunaikan solat, kewajipan menutup aurat terus dilupakan. Seolahnya seseorang itu hanya mengabdikan diri kepada Allah ketika menunaikan solat sahaja, sebaliknya ketika tidak menunaikan solat, dia terus melakukan penderhakaan kepada Allah. Fenomena ini merupakan sesuatu yang amat malang dan perlu diperbetulkan segera agar solat yang ditunaikan itu dapat membina keperibadian muslim yang unggul yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah swt.

Justeru, bagi seseorang wanita yang berada di halaman rumah atau di luar rumah ketika melakukan aktiviti menjemur pakaian, hendaklah mempastikan agar ia menutup aurat dengan sempurna kerana ia berhadapan dengan orang yang bukan mahram yang dapat melihatnya. Ia hanya boleh membuka aurat apabila masuk ke dalam rumah dan tidak berhadapan dengan orang yang bukan mahram.

Hukum Pakaian Yang Dibasuh Dengan Mesin Basuh Automatik


Adakah pakaian yang dibasuh menggunakan mesin basuh automatik telah suci dipakai untuk solat tanpa perlu dibilas terlebih dahulu?

Jawapan:

Dalam hal ini, perlu dilihat dalam beberapa aspek. Pertamanya, apakah pakaian yang dibasuh dengan menggunakan mesin basuh automatik itu merupakan pakaian yang bernajis atau tidak. Sekiranya pakaian tersebut bernajis seperti terkena air kencing anak dan sebagainya, maka pakaian tersebut hendaklah dicuci terlebih dahulu untuk menghilangkan najis pada pakaian tersebut sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Sekiranya tidak dicuci terlebih dahulu, maka pakaian yang bernajis itu akan bercampur dengan pakaian lain yang turut dibasuh, lalu mengakibatkan kesemua pakaian dan mesin basuh tersebut dikira bernajis. Oleh yang demikian, perlu dibilas dan dibasuh mesin basuh tersebut.

Sekiranya pakaian yang dimasukkan ke dalam mesin basuh automatik tidak bernajis (walaupun pada adat menganggapnya kotor), maka ia tidak mempunyai sebarang masalah untuk dipakai ketika solat walau pakaian tersebut tidak dibilas. Hal ini adalah kerana menurut hukum  syarak, pakaian yang tidak terkena najis adalah suci sama ada dibasuh atau tidak. Oleh yang demikian, sekiranya tidak dibilas sekalipun pakaian itu, ia masih dianggap suci.