Terjemahan Sahih Muslim
Hadis Itban bin Malik r.a: Diriwayatkan daripada Mahmud bin Ar-Rabie' r.a katanya: Aku berjumpa Itban ketika aku pergi ke Madinah. Lalu aku meminta beliau meriwayatkan sebuah Hadis. Beliau berkata: Mataku ditimpa sejenis penyakit yang menyebabkan aku menghantarkan utusan kepada Rasulullah s.a.w yang mengatakan bahawa aku amat mengharapkan kedatangan Baginda untuk bersama-sama aku dan mendirikan sembahyang di rumah sehingga aku menjadikannya sebagai Musala iaitu tempat sembahyang. Itban berkata lagi: Ekoran dari itu Rasulullah s.a.w tiba bersama-sama para sahabat dan baginda terus masuk ke rumah. Aku mendirikan sembahyang sementara para sahabat masih lagi berbincang sesama mereka di mana sebahagian dari mereka memperkatakan tentang kemunafikan Malik bin Dukhsyum. Para sahabat menyebut: Harapan mereka agar Rasulullah s.a.w mendoakan ke atas Malik bin Dukhsyum agar ditimpa kecelakaan. Mereka juga inginkan supaya dia ditimpa mala petaka. Sebaik sahaja baginda selesai mendirikan sembahyang, baginda bertanya dengan bersabda: Bukankah dia mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ Para sahabat menjawab: Dia mengucapnya hanyalah di mulut semata-mata tetapi tidak di hati. Baginda bersabda: Seseorang yang tidak mengucap Dua Kalimah Syahadat nescaya dia akan dimasukan ke dalam Neraka atau dimakan oleh api Neraka. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #48,Bab Dalil Bagi Mereka Yang Mati Dalam Keadaan Tetap Mentauhidkan Allah s.w.t, Pasti Akan Dimasukkan Ke Syurga) Hadis Ibnu Abbas r.a: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Aku telah diperlihatkan oleh Allah beberapa golongan umat manusia. Maka aku telah melihat seorang Nabi bersamanya satu kumpulan manusia iaitu tidak lebih dari sepuluh orang. Seorang Nabi bersamanya seorang lelaki dan dua orang lelaki dan seorang Nabi tanpa seorang pun bersamanya. Tiba-tiba diperlihatkan kepada aku satu kumpulan yang ramai. Aku menyangka mereka adalah dari umatku. Tetapi dikatakan kepadaku mereka adalah Nabi Musa a.s dan kaumnya. Lihatlah ke ufuk, lalu aku pun melihatnya, ternyata terdapat satu kumpulan yang ramai. Dikatakan lagi kepadaku: Lihatlah ke ufuk yang lain. Ternyata di sana juga terdapat satu kumpulan yang ramai. Dikatakan kepadaku: Ini adalah umatmu dan bersama mereka ada tujuh puluh ribu orang yang akan memasuki Syurga tanpa dihisab dan diazab. Kemudian Rasulullah s.a.w bangkit lalu masuk ke dalam rumahnya. Orang ramai telah berbincang mengenai mereka yang akan dimasukkan ke dalam Syurga tanpa dihisab dan diazab. kemudian setengah dari mereka berkata: Mungkin mereka adalah orang-orang yang selalu bersama Rasulullah s.a.w. Ada pula yang mengatakan: Mungkin mereka adalah orang-orang yang dilahirkan dalam Islam dan tidak pernah melakukan perbuatan syirik terhadap Allah. Mereka mengemukakan pendapat masing-masing. Ketika itu Rasulullah s.a.w keluar menemui mereka lalu Baginda bertanya dengan bersabda: Apa yang telah kamu bincangkan? Mereka pun menerangkan keadaan tersebut. Maka Rasulullah s.a.w terus bersabda: Mereka adalah orang-orang yang tidak menggunakan jampi mentera, tidak meminta supaya dibuat jampi mentera, tidak meramalkan perkara-perkara buruk dan hanya kepada Allah mereka bertawakal. Ukkasyah bin Mihsan berdiri lalu berkata: Berdoalah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu termasuk dari kalangan mereka. Kemudian berdiri seorang lelaki yang lain lalu berkata: Berdoalah kepada Allah semoga aku termasuk dari kalangan mereka. Rasulullah s.a.w bersabda: Ukkasyah telah mendahului kamu supaya digolongkan dari kalangan mereka yang memasuki Syurga tanpa dihisab. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #323,Bab Dalil Yang Menunjukkan Beberapa Golongan Orang Islam Akan Memasuki Syurga Tanpa Dihisab dan Diseksa) Hadis Abdullah bin Umar r.a katanya: Ketika orang-orang Islam sampai di Madinah, mereka berkumpul lalu memperkatakan tentang waktu sembahyang. Tiada seorang pun yang menyeru kepadanya. Semasa mereka berbincang tentang perkara tersebut, sebahagian daripada mereka berkata: Bunyikanlah loceng sebagaimana loceng orang Nasrani. Manakala sebahagian lagi berkata: Bunyikanlah trompet seperti trompet orang Yahudi. Kemudian Umar berkata: Mengapa kamu tidak menyuruh seseorang agar menyerukan sembahyang? Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Bilal! Bangunlah dan serukan untuk sembahyang. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #568,Bab Permulaan Azan) Hadis Ummu Al-Fadhil binti Al-Harith r.a: Beberapa orang yang berada berhampirannya pada hari Arafah berbincang mengenai puasa Rasulullah s.a.w. Sebahagian dari mereka berkata baginda berpuasa. Sebahagian lain pula berkata tidak lalu aku mengirimkan segelas susu kepada baginda yang pada ketika itu kebetulan sedang berada di atas unta di Arafah lantas baginda meminumnya. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #1894,Bab Disunatkan Berbuka Bagi Jemaah Haji Yang Berada Di Arafah Pada Hari Arafah) Hadis Sayidina Ali r.a: Diriwayatkan daripada Abdullah bin Syaqiq katanya: Sayidina Othman r.a melarang dari mengerjakan Haji Tamattu' manakala Sayidina Ali k.w mengesyorkannya. Suatu hari Sayidina Othman menemui Sayidina Ali k.w dan berbincang mengenai masalah tersebut. Kemudian Sayidina Ali k.w berkata: Kamu telah mengetahui bahawa kita telah mengerjakan Haji Tamattu' ketika bersama Rasulullah s.a.w. Dia menjawab: Benar! Tetapi ketika itu kita dalam keadaan ketakutan. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2146,Bab Harus Mengerjakan Haji Tamattu') Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a: Diriwayatkan daripada Alqamah r.a katanya: Aku pernah berjalan-jalan di Mina bersama Abdullah r.a. Kami bertemu dengan Othman r.a yang kemudian menghampiri Abdullah r.a. Setelah berbincang beberapa ketika, Othman r.a bertanya: Wahai Abu Abdul Rahman: Mahukah aku jodohkan kamu dengan seorang perempuan muda? Mudah-mudahan perempuan itu akan dapat mengingatkan kembali masa lampaumu yang indah. Mendengar tawaran itu Abdullah r.a menjawab: Apa yang kamu ucapkan itu adalah sejajar dengan apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w kepada kami: Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #2485,Bab Galakan Supaya Berkahwin Kepada Orang Yang Terlalu Ingin Berkahwin Dan Telah Mempunyai Perbelanjaan Iaitu Saraan Hidup. Sementara Orang Yang Tidak Mempunyai Perbelanjaan Iaitu Saraan Hidup Hendaklah Selalu Berpuasa) Hadis Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan daripada Asy-Syaibani katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa r.a mengenai daging keldai peliharaan. Beliau menjawab: Pada hari Khaibar kami telah dilanda kelaparan dan waktu itu kami bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Kami mendapatkan beberapa ekor keldai dari luar Madinah lalu menyembelihnya. Ketika periuk-periuk kami yang berisikan binatang tersebut sudah hampir masak, tiba-tiba juru seru Rasulullah s.a.w menyeru agar kami mematikan api periuk-periuk tersebut dan jangan memakan daging keldai itu sedikit pun. Aku bertanya: Bagaimanakah pengharamannya? Katanya: Kami telah berbincangsesama kami dan kami katakan pengharaman tersebut adalah pasti dan sebab pengharamannya adalah ia tidak boleh dibahagi lima. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3585,Bab Haram Memakan Daging Keldai Yang Dipelihara Untuk Kerja Dan Sebagainya) Hadis Abu Said Al-Khudriy r.a: Nabi s.a.w bersabda: Hindarilah dari duduk di tepi-tepi jalan. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah! Kami tidak boleh menghindarinya kerana kami duduk berbincang-bincang di sana iaitu di tepi jalan. Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya kamu ingin duduk juga, maka berikanlah pada jalan itu haknya. Para sahabat bertanya: Apakah haknya? Rasulullah s.a.w bersabda: Mencegah dari melihat sesuatu yang dilarang, menghindarkan perkara-perkara yang merugikan, menjawab salam serta membuat perkara yang baik dan mencegah perbuatan mungkar. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #3960,Bab Larangan Duduk Di Tepi Jalan Umum Dan Hendaklah Menjaga Hak haknya) Hadis Abdullah bin Abbas r.a: Sesungguhnya Umar bin Al-Khattab pergi ke Syam. Apabila sampai ke sebuah dusun yang bernama Sarghi, beliau telah dikunjungi oleh penduduk di sekitarnya, iaitu Abu Ubaidah bin Al-Jarrah dan para pengikutnya. Mereka mengkhabarkan bahawa wabak (penyakit taun) telah berjangkit di Syam. Ibnu Abbas berkata setelah mendengar berita itu, Umar berkata: Cuba panggilkan para sahabat Muhajirin yang pertama. Aku melaksanakan perintah Umar. Umar mengajak mereka berbincang dan memberitahu kepada mereka bahawa wabak telah berjangkit di Syam. Mereka telah berbeza-beza pendapat mengenai berita tersebut. Sebahagian di antara mereka berkata: Engkau pergi untuk suatu urusan yang besar, jadi kami tidak sependapat sekiranya engkau pulang. Sebahagian yang lain pula berkata: Engkau diikuti oleh orang ramai dan para sahabat Rasulullah s.a.w, jadi kami tidak bersetuju apabila engkau membawa mereka menuju ke wabak ini. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Kemudian beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para sahabat Ansar. Aku pun memanggil mereka. Ketika mereka diminta berbincang, mereka telah berbeza-beza pendapat sebagaimana para sahabat Muhajirin. Umar berkata: Tinggalkanlah aku! Lalu beliau berkata lagi: Tolong panggilkan para pembesar Quraisy yang berhijrah sewaktu penaklukan dan sekarang mereka berada di sana. Aku memanggil mereka dan ternyata mereka telah sepakat kemudian berkata: Menurut kami, sebaik-baiknya engkau bawa sahaja mereka pulang dan tidak mengajak mereka memasuki kawasan wabak ini. Lalu Umar menyeru di tengah-tengah orang ramai: Aku akan memandu tungganganku untuk pulang, pulanglah bersamaku. Abu Ubaidah bin Al-Jarrah bertanya: Apakah itu bererti lari dari takdir Allah? Umar menjawab: Harapnya bukan engkau yang bertanya wahai Abu Ubaidah! Memang Umar tidak suka berselisih pendapat dengan Abu Ubaidah. Ya, kita lari dari ketentuan (takdir) Allah untuk menuju kepada takdir Allah yang lain. Apakah pendapatmu seandainya engkau mempunyai seekor unta yang turun di suatu lembah yang mempunyai dua keadaan, satunya subur dan satu lagi tandus. Adakah jika engkau mengembalanya pada tempat yang subur itu bukan bererti engkau mengembalanya kerana takdir Allah? Begitu pula sebaliknya, bukankah engkau mengembalanya kerana takdir Allah juga? Lalu datanglah Abdul Rahman bin Auf yang baru saja tiba dari suatu keperluan. Beliau berkata: Sesungguhnya aku mempunyai pengetahuan mengenai masalah ini. Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mendengar terdapat wabak di suatu daerah, janganlah kamu datang ke tempatnya. Sebaliknya, sekiranya wabak itu berjangkit di suatu daerah sedangkan kamu berada di sana maka janganlah kamu keluar melarikan diri daripadanya. Mendengar kata-kata itu Umar bin Al-Khattab memuji Allah, kemudian beredar meninggalkan tempat itu. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4114,Bab Penyakit Taun, Tanda tanda Atau Firasat, Mempelajari Dukun Dan Sebagainya) Hadis Saad r.a katanya: Umar meminta kebenaran daripada Rasulullah s.a.w untuk menemui baginda s.a.w. Pada ketika itu, beberapa orang wanita Quraisy sedang berbincang dengan Rasulullah s.a.w dengan suara yang tinggi. Apabila mendengar suara Umar meminta izin wanita-wanita itu berlari menuju ke balik tabir. Rasulullah s.a.w mengizinkan Umar masuk. Rasulullah s.a.w tersenyum ketika melihat beliau. Umar berkata: Semoga Allah memanjangkan usiamu wahai Rasulullah! Rasulullah s.a.w berkata: Aku hairan dengan wanita-wanita yang berada di sampingku itu, apabila terdengar suaramu mereka berlari menuju ke balik tabir. Lalu Umar berkata: Wahai Rasulullah! Engkaulah orang yang paling berhak untuk di takuti. Umar berkata kepada wanita-wanita yang bersembunyi itu: Wahai wanita-wanita yang menjadi musuh diri sendiri, adakah kamu merasa takut kepadaku tetapi tidak takut kepada Rasulullah. Mereka menjawab: Benar, kerana tingkah laku dan pertuturan kamu lebih kasar daripada Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat aku yang berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak ada syaitan yang akan melalui jalan yang dilalui olehmu, melainkan mereka berusaha melalui jalan yang tidak dilalui olehmu. (Nombor hadith dalam Sahih Muslim : #4410,Bab Sebahagian Dari Kelebihan Umar r.a |