Wednesday, July 25, 2012

Kalimah suci di tapak sandal?


Kalimah Allah jelas terukir di tapak sandal wanita ini.

BANDAR SERI BEGAWAN - Apa pendapat awda mengenai sepasang sandal wanita yang tapaknya direka bentuk kalimah "Allah"?

Mungkin ada yang berpendapat ia hanya seolah-olah kalimah "Allah," maka di sini Media  memberikan awda peluang untuk menilainya sendiri melalui gambar secara dekat kepada reka bentuk bahagian bawah tapak sandal berkenaan.

Pada pengamatan Media, ia jelas memaparkan kalimah "Allah", namun cuba dikelirukan pandangan kita dengan reka bentuk seakan-akan huruf "g" kecil yang ditulis agak besar di depan dan di sambung terus kepada reka bentuk kalimah "Allah" berkenaan.

Berbeza dengan cubaan-cubaan lain dalam pelbagai bentuk pada produk-produk pengguna oleh pihak-pihak tertentu dalam hasratnya "menghina Islam", kalimah "Allah" di bawah tapak sandal merupakan cubaan yang ekstrem untuk meletakkan kalimah "Allah" yang suci di bawah kaki manusia.

Bukan itu saja, apabila sandal berkenaan digunakan berjalan di atas tanah atau pasir basah, pasti kalimah "Allah" itu akan 'terukir' di atas setiap permukaan tanah atau pasir basah yang dipijak oleh si pengguna sandal berkenaan, yang kemudiannya mungkin saja akan dipijak oleh orang lain yang kebetulan melalui jalan yang sama.

Sandal wanita yang mempunyai tapak dengan reka bentuk kalimah "Allah" berkenaan merupakan milik seorang warga emas yang tinggal di Kampung Jaya Bakti, walau bagaimanapun beliau enggan namanya disiarkan.

Menurutnya, sandal wanita berkenaan dibelinya di salah sebuah kedai kasut di negara ini, namun malangnya beliau sudah lupa nama dan di mana letaknya kedai berkenaan.

Beliau menceritakan pada asalnya tidak menyedari akan kewujudan kalimah "Allah" di tapak sandal berkenaan sehinggalah beliau memakainya di atas permukaan tanah, dan apabila melalui tempat yang sama beberapa ketika kemudian, beliau merasa hairan apabila ternampak banyak kalimah "Allah" di atas permukaan tanah yang telah beliau pijak sebelum itu.

Oleh itu beliau pun bergegas menanggalkan sandal berkenaan dan mengamat-amati tapaknya, dan alangkah terkejutnya beliau apabila mendapati jelas ketara kalimah "Allah" terukir di atas tapak sandal yang telah dipakainya itu.

Beliau berharap orang ramai akan berhati-hati apabila membeli produk-produk pengguna yang mempunyai ukiran, dengan memastikan setiap ukiran itu tidak diselitkan dengan kalimah-kalimah suci seperti nama-nama Allah dan Rasulullah.