Wednesday, March 27, 2013

Hukum Wanita Haid Ziarah Kubur



Soalan

Saya ingin menziarahi kubur arwah suami saya, Cuma saya ingin bertanya apakah wanita yang haid tidak boleh ziarah kubur? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:

Menurut ulama’ aliran mazhab Hanafi, ziarah kubur adalah disunatkan kepada lelaki dan wanita. Rasulullah s.a.w. sendiri telah pergi menziarahi perkuburan Baqi’ dan mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda yang bermaksud: ‘Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami kelak Insya Allah akan menyusuli kamu’. Nabi s.a.w juga bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang boleh kamu menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh mengingatkan kamu kepada kematian” (Hadis riwayat Imam Muslim), dan pada lafaz yang lain “(menziarahi kubur) mengingatkan kamu kepada akhirat."
Manakala Jumhur fuqaha’ pula, mereka menyatakan bahawa ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ada ‘keinginan ‘, maka hukumnya sama seperti lelaki.

Ringkasnya, ziarah kubur adalah sunat juga bagi wanita sekiranya ia dapat mempastikan tidak melakukan perkara-perkara larangan seperti meratap dan meraung. Begitu juga, perlu menutup aurat dan tidak bercampur bebas dengan lelaki yang bukan mahram. Tidak pula disyaratkan bersuci daripada hadas kecil atau hadas besar bagi mereka yang menziarahi tanah perkuburan. Justeru, diharuskan wanita haid untuk menziarahi kubur.

Hukum Tidak pakai Telekung Ketika Solat



Soalan

Saya seorang wanita yang selalu ditugaskan untuk bekerja di luar kawasan. Kadang-kala saya terlupa membawa telekung sembahyang, jadi apakah dibolehkan saya menunaikan solat tanpa telekung?

Jawapan:

 Seseorang wanita yang ingin mengerjakan solat, hendaklah mempastikan bahawa ia menutup aurat dengan sempurna. Aurat bagi wanita ialah menutup seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan (pergelangan tangan). Allah swt telah berfirman dalam surah al-A’raf ayat 31, bermaksud: ”Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid...”. Ibnu Abbas telah menyatakan bahawa maksud daripada ayat ini ialah memakai pakaian (menutup aurat) ketika menunaikan solat. (Sila Rujuk Mughni Muhtaj dan al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuh).

Daripada Ummu Salamah, bahawasanya beliau pernah bertanya kepada rasulullah saw: ”Apakah seseorang wanita itu boleh menunaikan solat dengan memakai baju panjang dan penutup kepala tanpa memakai kain sarung?”. Jawab baginda Rasulullah: ”Boleh sekiranya baju itu luas yang boleh menutupi bahagian atas telapak kakinya”. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud).

Selain menutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan pergelangan tangan , syarat yang perlu dipenuhi bagi menutup aurat bagi wanita ialah memakai pakaian tebal yang sekurang-kurangnya boleh menutup warna kulit badan. Sekiranya pakaian yang dipakai itu nipis dan menampakkan warna kulit, maka ia tidak dianggap menutup aurat dan solat tidak sah. Begitu juga disyaratkan pakaian yang dipakai tidak terlalu ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh pemakainya.

Kadang-kala berlaku kekeliruan terutamanya bagi wanita yang menganggap bahawa solat tidak sah tanpa memakai ’telekung sembahyang’. Oleh itu, apabila seseorang wanita itu terlupa untuk membawa ’telekung sembahyangnya’, maka dia akan meninggalkan solat dengan anggapan tidak dapat menutup aurat. Ini merupakan persepsi yang salah terhadap aurat. Sebenarnya, apabila seseorang muslimah itu beriltizam dengan menutup aurat apabila berada di luar rumah iaitu dengan menutup seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan, maka dia boleh menunaikan solat dengan menggunakan pakaian tersebut asalkan ianya bersih, tanpa diperlukan ’telekung sembahyang’!.