SUNNAH berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud jalan (tariqah/sirah). Ketika mendefinisikan maksud sunnah, Imam Ibnu Taimiah dalam kitabnya Majmu' Fatawa mengutarakan ucapan yang dibuat oleh Imam Abu Hasan bin Abdul Malik Al-Karajy: "Sunnah adalah jalan Rasulullah SAW. Menerapkan sunnah sesuai dengan jalan tersebut. Sunnah meliputi ucapan, perbuatan dan keyakinan."
Melalui pandangan ini dan beberapa pandangan ulama yang lain, dapat kita fahami bahawa sunnah bukan sahaja menyentuh persoalan ibadah seperti solat dan puasa sahaja, bahkan ia turut meliputi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah organisasi.
Allah SWT berfirman: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak. (al-Ahzab: 21).
Untuk membangunkan dan menghidupkan roh sunnah dalam organisasi, terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan.
Pertama, organisasi yang menepati sunnah ialah apabila ia meletakkan visi dan misinya sejajar dengan kehendak baginda SAW. Lebih tepat lagi, organisasi yang ingin menghidupkan sunnah perlu menjadikan Islam sebagai tunggak utama dalam penentuan hala tujunya.
Maka, rujukan utama kepada organisasi ini dalam menetapkan hala tuju dan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan yang berlaku ialah al-Quran dan hadis.
Oleh kerana itu, dasar dan pembawaan operasi organisasi perlu mengambil kira persoalan dosa dan pahala. Hukum-hakam Allah SWT tidak boleh dikesampingkan demi mencapai keuntungan yang disasarkan.
Islam tidak pernah menghalang kita untuk mendapatkan keuntungan. Namun biarlah keuntungan tersebut diperoleh dalam ruang lingkup batasan-batasan yang telah digariskan oleh Islam.
Kedua, pelaksanaan kepada visi dan misi perlu mengambil kira kepatuhan kepada syariah yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Ia perlu terus istiqamah dan tetap di atas jalan tersebut sampai ke akhirnya. Mana-mana organisasi yang ingin melaksanakan sistem pengurusan berteraskan prinsip dan nilai-nilai Islam pastinya akan diuji dengan pelbagai cabaran.
Ia telah menjadi ketetapan Allah SWT untuk mengetahui organisasi berkenaan adakah benar-benar ingin melaksanakan Islam ataupun hanya mengambil peluang terhadap Islam. Istiqamah memerlukan keazaman yang jitu dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Inilah golongan yang dipuji oleh Allah SWT dalam Al-Quran. (rujuk al-Ahqaf: 13)
Ketiga, setiap individu yang berkhidmat dalam organisasi berkenaan memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan visi dan misi yang disasarkan itu tercapai.
Tanggungjawab ini menuntut usaha yang bersungguh-sungguh dengan kualiti gerak kerja yang penuh iltizam.
Semua warga kerja organisasi, dari perspektif Islam, mereka adalah da'ie (pendakwah) yang menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Mereka merupakan kelompok yang secara langsung atau tidak langsung berinteraksi dengan pelanggan. Keinginan pelanggan untuk mendapatkan produk-produk yang ditawarkan banyak bergantung kepada mereka.
Tanggungjawab mereka bukan sahaja mempromosikan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, malahan mereka juga boleh menggunakan medium berkenaan untuk menyampaikan mesej Islam.
Tetapi, ia harus bermula dengan meyakinkan pelanggan dengan produk-produk yang ditawarkan. Ini adalah kerana, pelanggan adalah merupakan mad'u (orang yang diseru) dalam memasarkan produk yang berteraskan sistem muamalah Islam. (rujuk Ali-Imran: 104)
Oleh kerana itu, warga kerja organisasi berkenaan perlu membentuk kesatuan di kalangan mereka bagi merealisasikan cita-cita murni itu. Mereka juga perlu mematuhi akhlak Islamiah dengan menjaga aurat dan batasan pergaulan.
Keempat, organisasi berkenaan juga perlu mewujudkan biah solehah untuk kakitangannya. Kakitangan yang bekerja dalam organisasi berkenaan perlu dihidangkan dengan pengisian rohani agar mereka sentiasa sedar akan tanggungjawab dan amanah yang dipikul.
Oleh itu, syarikat perlu menganjurkan sesi tazkirah, kuliah dan penulisan-penulisan berbentuk ilmiah untuk semua kakitangan yang berkisar tentang kerjaya mereka dan hubungannya dengan agama. Di samping itu, sediakan tempat untuk kakitangan menunaikan solat secara berjemaah kerana dengan mendirikan solat berjemaah itu boleh menyatukan hati-hati mereka.
Kelima, elakkan sebarang maksiat dalam penganjuran program organisasi. Program-program seperti Hari Keluarga, Majlis Anugerah dan sebagainya perlu bertepatan dengan Syariah. Hindari sebarang aktiviti yang bercanggah dengan maksiat seperti tari-menari, nyanyian yang melalaikan, percampuran lelaki dan perempuan tanpa batasan, hidangan minuman keras, perjudian dan sebagainya. Program tersebut juga tidak sewajarnya melangkaui waktu solat.
Demikianlah beberapa perkara yang perlu kita sama-sama pertimbangkan untuk menghidupkan sunnah dalam organisasi. Semua perkara ini dilakukan semata-mata kasih kepada baginda SAW. Yakinlah bahawa apabila sunnah Rasulullah SAW diamalkan dan diperjuangkan, akan datangnya keberkatan daripada Allah SWT. Inilah jalan Rasulullah SAW (sunnah) yang wajib kita ikuti.