Sunday, April 22, 2012

Masjid Omar Salmah tak terjejas pelan di Bukit Brown




Setiausaha Masjid Omar Salmah, Encik Yahya Mohd (baju putih), menunjukkan tempat mengambil wuduk sekarang yang bakal dirobohkan dan diganti, diperhatikan naib pengerusi, Encik Abdul Aziz Tahar (baju merah). Kawasan berumput akan disimen dan dijadikan ruang kegiatan, yang juga boleh digunakan sebagai ruang solat tambahan


SINGAPURA - MASJID Omar Salmah, yang terletak di pinggir kawasan Bukit Brown, dekat Thomson Road, tidak akan terjejas dengan rancangan pembinaan jalan raya di situ dan buat masa sekarang pemerintah juga tiada rancangan untuk membangunkan semula tapak masjid tersebut.

Rancangan pembangunan di kawasan Bukit Brown hanya akan dimulakan kemudian, namun dalam jangka masa terdekat ini kawasan selatannya, dekat Akademi Polis lama, akan dibangunkan bagi perumahan awam - satu lanjutan kepada estet Toa Payoh. Dalam pada itu, Masjid Omar Salmah, yang berusia 40 tahun, akan menjalani kerja-kerja peningkatan kecil dengan belanja sekitar $60,000.

 Jurucakap Kementerian Pembangunan Negara (MND) berkata: 'Masjid Omar Salmah tidak akan terjejas dengan rancangan membina jalan raya di situ dan tiada pelan terdekat untuk membangun semula tapak yang diduduki masjid itu.

' Bagaimanapun, masjid tersebut perlu melanjutkan tempoh sewanya daripada Penguasa Tanah Singapura (SLA) setiap tahun di bawah Lesen Penggunaan Sementara (TOL). Jurucakap SLA berkata, TOL masjid yang ada kini akan tamat pada 31 Disember 2012, namun boleh diperbaharui setiap tahun, 'kecuali terdapat rancangan pembangunan'.

 Mengulas tentang kenyataan MND itu, Setiausaha Masjid Omar Salmah, Encik Yahya Mohd, berkata ia membuatnya lebih bersemangat untuk memakmurkan masjid tersebut. 'Sebelum ini, kami hanya diberitahu secara lisan, tiada hitam putih. Dengan kenyataan ini, kami rasa syukur,' katanya.

Menurutnya, kerja-kerja peningkatan dijangka bermula bulan depan dan selesai sebelum Ramadan. Kerja-kerja peningkatan di masjid seluas 1,470 meter persegi itu akan dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama melibatkan pembinaan tempat wuduk baru, meluaskan tandas dan meluaskan kawasan kegiatan, yang boleh jadi ruang solat tambahan bagi 300 jemaah. Kerja memperbaiki longkang, rak-rak Al-Quran dan cat semula masjid juga dirancang. Di fasa kedua, ruang wanita baru dan stor sementara akan diadakan.

No comments: